Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Ada ruang selamat untuk pegawai Home Team mengadu tentang diskriminasi: Shanmugam

Aug 26, 2023 | 05:30 AM



Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, membincangkan isu diskriminasi di tempat kerja dalam podcast #NoTapis Berita Harian (BH) baru-baru ini. Selepas podcast itu, beliau turut ditanya mengenai pelbagai perkara termasuk kepercayaan terhadap pemimpin dan usaha mendapatkan ruang sementara bagi jemaah Masjid Darul Makmur di Yishun. Ikuti laporan berikut.


Terdapat pelbagai ruang selamat untuk pegawai Home Team mengadu tentang diskriminasi di tempat kerja secara sulit, dengan proses yang jelas untuk berbuat demikian.

Ini termasuk mengadu kepada jabatan sumber manusia dan peruntukan reviu bebas untuk menyiasat kes tertentu, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang juga Menteri Undang-Undang.

Selain itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menjalankan tinjauan secara kerap untuk mendapatkan maklum balas dan mencongak sentimen pekerja dan ini dijalankan tanpa mendedahkan nama.

Antaranya ialah tinjauan Pulse yang diadakan dua kali setahun, tinjauan untuk mengukur penglibatan pekerja dan tinjauan 360 darjah yang memberi peluang kepada pegawai rendah memberi maklum balas terhadap pegawai kanan.

Selain itu, setiap pegawai berhak membuat aduan pada bila-bila masa.

“Ada hak untuk mengadu dan aduan akan dirahsiakan. Orang ramai boleh membuat aduan ke mana-mana peringkat dan dalam pertubuhan.

“Jika mereka rasakan tiada tindakan wajar telah diambil, mereka boleh langsung membuat rayuan ke Jabatan Sumber Manusia di Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

“Dan jika mereka rasa itu tidak mencukupi, mereka boleh ke Ketua Perkhidmatan Awam,” kata Encik Shanmugam dalam podcast #NoTapis baru-baru ini.

Encik Shanmugam juga boleh menubuhkan panel semakan bebas untuk menyiasat.

Katanya lagi undang-undang tegas diperuntuk di Singapura untuk mencegah diskriminasi dan ucapan kebencian.

Dalam pada itu, menyentuh tentang kes pegawai polis Sarjan Uvaraja Gopal, 35 tahun, yang meninggal dunia di hospital selepas ditemui di kaki blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Yishun pada Julai, Encik Shanmugam berkata kejadian itu amat menyedihkan.

Sebelum meninggal dunia, Sarjan Uvaraja mendakwa beliau berdepan dengan perkauman dan menjadi mangsa buli di tempat kerja.

Menulis di Facebook, Sarjan Uvarajan juga berkata beliau telah meminta bantuan tetapi tidak menerima bantuan yang diharapkannya itu.

“Separuh kisah ini adalah dakwaannya, separuh lagi, kami perlu mendengar apa yang dikatakan pihak lain.

“Saya telah memberikan arahan supaya kes ini diberikan perhatian tertinggi dan hasilnya akan dilaporkan kepada saya. Dan kami akan mengadakan perbincangan awam,” ujar Encik Shanmugam.

Menurut Encik Shanmugam, kenyataan polis menunjukkan polis telah cuba membantu Sarjan Uvaraja melalui kaunseling dan pelbagai jenis bantuan lain.

“Kami akan melihat semua yang beliau katakan. Dan kami akan memberikan maklumat dan kemudian orang ramai boleh menilai. Kami akan menangani perkara ini dengan serius,” ujarnya.

Dalam pada itu, Encik Shanmugam berkata pemerintah banyak bekerjasama bersama masyarakat untuk mencipta rangka kerja agar orang ramai memahami antara satu sama lain.

Ini termasuk dasar penyepaduan etnik di estet perumahan, sekolah yang disepadukan serta tempat kerja yang melibatkan individu berbilang bangsa dan agama.

Baru-baru ini juga, Singapura mengorak langkah penting ke arah mewujudkan tempat kerja lebih adil dan saksama dengan mengusulkan rangka kerja undang-undang yang bakal memperkukuh usaha menentang diskriminasi.

Rangka kerja Perundangan Keadilan di Tempat Kerja (WFL) – yang sudah lama dinantikan – merupakan perundangan pertama Singapura yang diusulkan bagi memberi pekerja perlindungan tambahan daripada diskriminasi dan memastikan kesaksamaan di tempat kerja, kata beliau.

“Terdapat undang-undang yang sangat berkuasa ini, yang akan diterapkan, yang merupakan isyarat kepada majikan dan orang lain, bahawa perkara-perkara tertentu tidak boleh diterima dan terdapat remedi yang dikemukakan.

“Oleh itu, kita perlu menyatukan kedua-duanya, kita perlu bekerja keras untuk memastikan orang lain menghargai satu sama lain, meraikan satu sama lain atau sekurang-kurangnya bertolak ansur antara satu sama lain,” kata Encik Shanmugam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >