Topic followed successfully
Go to BHkuAda perlindungan bagi mangsa aniaya seksual dalam talian: Peguam
Ada perlindungan bagi mangsa aniaya seksual dalam talian: Peguam
Penting perkasa dan tingkat kesedaran ramai tentang perlindungan undang-undang serta hak mereka
Ada perlindungan bagi mangsa aniaya seksual dalam talian: Peguam
TERDAPAT perlindungan dan peraturan undang-undang yang secukupnya untuk membantu mangsa penganiayaan seksual dalam talian.
Antaranya, Kanun Keseksaan 377BA yang merupakan satu peruntukan baru diperkenalkan pada Januari tahun lalu, mempunyai peruntukan bagi kesalahan menghina maruah seorang wanita.
Ini telah dikongsi Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim semasa ditanya apa yang boleh dilakukan para mangsa yang nama mereka tersenarai dalam satu tinjauan lucah baru-baru ini.
Beliau menambah di sesi Parlimen yang lalu juga, hukuman lebih berat dan ketat akan dikenakan bagi kesalahan melibatkan keganasan terhadap wanita.
"Bagi saya, keganasan dalam talian atau yang dibantu teknologi perlu dikenakan tindakan tegas," ujarnya.
Di samping itu, mangsa juga boleh memanfaatkan peruntukan Akta Perlindungan daripada Gangguan (Poha) jika terus-menerus diganggu secara dalam talian atau apabila seseorang mengeluarkan butiran mengenai orang lain di dalam talian tanpa pengetahuan mereka, berlaku.
Selain itu, peguam dan Rakan Pengurusan firma guaman, A. Rohim Noor Lila & Partners, Encik Abdul Rohim Sarip, berkata para mangsa juga boleh memfail kes saman fitnah.
"Tinjauan itu telah meruntuhkanreputasi mangsa di mata masyarakat.
"Justeru melalui saman fitnah ini, mangsa boleh menuntut pelaku untuk meminta maaf dan membayar ganti rugi," katanya
Menyentuh tentang wadah media sosial pula, Encik Zhulkarnain yang juga merupakan rakan kongsi di firma guaman Dentons Rodyk and Davidson LLP berkata, setiap platform media sosial mempunyai terma dan syaratnya tersendiri.
"Apa yang saya fahami, platform media sosial mungkin mempunyai terma dan syarat serta dasar peribadinya sendiri.
"Ia merupakan kenyataan yang jelas bahawa mereka mungkin boleh mendedahkan butiran yang mengenal pasti seseorang pengguna secara peribadi apabila diperlukan melakukan sedemikian oleh undangundang," tambah beliau.
Beliau turut menyarankan agar lebih banyak kesedaran berhubung hak dan perlindungan undang-undang para asatizah wanita, pelajar madrasah, kakitangan dan jemaah dalam masyarakat diperlukan.
Ini agar mereka lebih mengetahui jenis bantuan dan sokongan perlindungan yang terdapat dalam masyarakat sekiranya mereka memerlukannya.
Beliau yang juga aktif selaku anggota lembaga di Casa Raudha berkata di Casa Raudha pihaknya sering mengongsi ilmu kepada para penghuni dan anak-anak mereka tentang kesedaran hak-hak mereka.
Casa Raudha menawarkan khidmat rumah tumpangan bagi mangsa keganasan domestik.
Pertubuhan itu sedang meluaskan usaha daripada sekadar memberi perlindungan kepada mangsa kepada usaha pencegahan dan usaha membina semula keluarga yang retak akibat keganasan domestik.
Perkongsian ilmu mengenai hak adalah penting kerana menurut beliau terdapat pandangan sinis bahawa tidak kira apa yang telah diketengahkan, tidak banyak tindakan yang akan diambil atau kesan akibatnya kerana kekurangan bukti.
"Jika kita percaya dalam melengkapkan wanita dan anak-anak kita dengan kemahiran teknikal dan pendidikan untuk berjaya dalam hidup, adalah penting untuk kita juga berusaha dalam memperkasa mereka dengan kesedaran tentang perlindungan undang-undang serta hak-hak mereka," ujarnya lagi.
Bagi mereka yang ingin mengetahui hak mereka sebagai wanita dari kaca mata undang-undang, anda boleh mengikuti forum khas hanya untuk wanita Ahad ini.
Ia bukan sahaja terhad kepada mangsa dalam saga terkini ini malah bagi mereka yang rasa diri mereka diganggu atau difitnah.
Ia juga bagi mereka yang mahu membantu anggota keluarga dan sahabat-handai yang mungkin menjadi mangsa.
Anda boleh mendaftar di https://tinyurl.com/itstime-300521.
"Tinjauan itu telah meruntuhkan reputasi mangsa di mata masyarakat. Justeru melalui saman fitnah ini, mangsa boleh menuntut pelaku untuk meminta maaf dan membayar ganti rugi." - Peguam dan Rakan Pengurusan firma guaman, A. Rohim Noor Lila & Partners, Encik Abdul Rohim Sarip.
"Apa yang saya fahami, platform media sosial mungkin mempunyai terma dan syarat serta dasar peribadinya sendiri. Ia merupakan kenyataan yang jelas bahawa mereka mungkin boleh mendedahkan butiran yang mengenal pasti seseorang pengguna secara peribadi apabila diperlukan melakukan sedemikian oleh undang-undang." - Encik Zhulkarnain Abdul Rahim rakan kongsi di firma guaman Dentons Rodyk and Davidson LLP.

