Bidang yang diceburi mungkin agak unik, namun kegigihan mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing di peringkat antarabangsa diiktiraf dan secara tidak langsung mengharumkan nama Singapura. Ikuti temu ramah BERITA MINGGU bersama beberapa individu yang telah mewakili Singapura di peringkat antarabangsa dalam bidang masing-masing.
SUMBANGANNYA begitu bermakna dan menjadi buah mulut mereka yang pernah berkhidmat di sampingnya meskipun beliau sudah tiada.
Setelah bersara sebagai pengarah muzik pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF), Allahyarham Idris Mohd Yusof memilih untuk menjadi konsultan Pancaragam Polis Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tujuh tahun.
Namun, dalam tempoh yang singkat itu, Allahyarham Idris telah meninggalkan kesan mendalam dan menaikkan taraf pancaragam tersebut dengan pendedahan ke tahap antarabangsa.
Bagi mengiktiraf sumbangannya, pihak Polis Abu Dhabi telah mengundang anggota keluarga Allahyarham Idris ke Pameran Antarabangsa bagi Keselamatan dan Daya Tahan Nasional (ISNR) yang diadakan di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (Adnec) yang diadakan pada 10 hingga 12 Oktober lalu.
Anak Allahyarham, Cik Aidah Idris, 48 tahun, telah menerima undangan tersebut dan telah ke Abu Dhabi bersama suaminya, Encik Asnul Johari, 49 tahun, dan anaknya, Encik Aniq Harith Asnul, 22 tahun.
Meskipun undangan tersebut pada awalnya disampaikan kepada ibu Cik Aidah, beliau tidak dapat hadir disebabkan kecederaan pada kakinya.
"Pada mulanya kami seakan tidak percaya, kerana Allahyarham ayah pun tak berkhidmat lama di sana.
"Tapi apabila mendapat tahu bahawa mereka benar-benar ingin mengundang kami ke sana untuk mengiktiraf sumbangan ayah, memang kami cukup terharu," kata Cik Aidah, yang kini mengendalikan perniagaan menjual kek.
Allahyarham Idris telah berkhidmat bersama SPF lebih 40 tahun, dari usianya 14 tahun.
Penerima Pingat Pujian Hari Kebangsaan 2002 itu menyandang jawatan pengarah muzik pancaragam SPF dari 1986 hingga beliau bersara daripada SPF pada 2004, ketika berusia 57 tahun.
Beliau kemudian menjadi konsultan bersama Polwel Music & Events, cabang Dana Kebajikan Pusat Polis, yang memberi pegawai Home Team yang telah bersara peluang terus meraih sumber pendapatan.
Allahyarham kemudian menjadi konsultan Pancaragam Polis Abu Dhabi UAE itu selama tujuh tahun hingga beliau bersara sepenuhnya pada 2018.
Allahyarham meninggal dunia Mac tahun lalu pada usia 73 tahun akibat penyakit jantung.
Menurut Cik Aidah, mereka sekeluarga telah dilayan seperti VIP sebaik tiba di lapangan terbang dan semua keperluan penginapan mereka disediakan sepanjang kunjungannya dari 6 hingga 14 Oktober lalu.
Selain Pameran ISNR yang berlangsung selama dua hari, Cik Aidah sekeluarga juga telah dibawa ke beberapa tarikan Abu Dhabi termasuk Grand Sheikh Mosque dan Qasar Al Watan dan telah diberikan akses khas yang tidak dibuka kepada orang awam.
Pihak Polis Abu Dhabi juga telah memberikannya cenderahati tanda penghargaan atas sumbangan ayahnya kepada Pancaragam Polis Abu Dhabi.
Semasa kunjungan itu, beliau sekeluarga juga berpeluang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Abu Dhabi, Sheikh Saif Zayed Al Nahyan; Inspektor Jeneral Kementerian Dalam Negeri, Dr Ahmed Nasser Al Raisi dan Pengarah Jeneral Polis Abu Dhabi, Encik Maktoum Ali Al Sharifi.
"Memang bagi saya ini satu pengalaman yang mencelikkan mata, dan ia menunjukkan betapa mereka cukup menghargai jasa dan sumbangan ayah.
"Kami juga bertemu beberapa pegawai yang pernah bekerja dengannya semasa di Abu Dhabi, dan masing-masing menceritakan kepada kami tentang sumbangan arwah dan bagaimana beliau telah meningkatkan taraf kumpulan pancaragam itu," ujarnya.
Bagi mengabadikan sumbangan serta khidmat Allahyarham Idris, balunya iaitu ibu Cik Aidah, memutuskan untuk merakamkannya dalam buku memoir yang bakal diterbitkan dalam masa terdekat.
Kata Cik Aidah: "Sebenarnya buku ini adalah untuk kami - anggota keluarganya - untuk mengenang jasa dan abadikan memori tentang arwah ayah, untuk cucu-cucu beliau mengenalinya dan sedar akan kesan sumbangan datuk mereka terhadap ramai orang."
"Memang bagi saya ini satu pengalaman yang mencelikkan mata, dan ia menunjukkan betapa mereka cukup menghargai jasa dan sumbangan ayah.
Kami juga bertemu beberapa pegawai yang pernah bekerja dengannya semasa di Abu Dhabi, dan masing-masing menceritakan kepada kami tentang sumbangan arwah dan bagaimana beliau telah meningkatkan taraf kumpulan pancaragam itu.''
- Cik Aidah Idris.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg