Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

WALAU BELIA JADI SOROTAN

Remaja gagahi diri walau gentar

Aug 15, 2021 | 05:30 AM



MENDENGAR mengenai pelbagai kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19 di laman media sosial, Muhammad Fadhil Abdul Malek, 13 tahun, pada mulanya berasa takut untuk mendaftarkan diri mendapatkan vaksinasi.



Namun, setelah mendengar pengalaman vaksinasi ibunya, Cik Norlina Ahmad, 46 tahun, ia telah memberinya jaminan dan keyakinan bahawa vaksin itu selamat baginya.



Ingin memainkan peranannya dalam menjaga keselamatan masyarakat daripada Covid-19, Fadhil baru-baru ini telah menyelesaikan dos kedua vaksinasinya pada 31 Julai.



Ketika dihubungi oleh Berita Minggu, Fadhil menjelaskan bahawa beliau sebenarnya bimbang tentang saiz jarum suntikan.



Di tambah pula dengan kesan sampingan yang beliau pelajari daripada iklan vaksinasi dan pengalaman yang dikongsi oleh orang lain, beliau mula rasa gelisah.



"Antara perkara yang saya dengar daripada orang lain adalah suntikan vaksin itu sakit, dan kemudian kesan sampingannya agak teruk.



"Mereka akan rasa sakit tangan dan demam.



"Jadi apabila terdapat pengumuman untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 ke atas mengambil suntikan vaksin, saya mula rasa gementar dan tidak tahu sekiranya saya ingin mengambilnya," kata Fadhil.



Meskipun pada awalnya beliau berasakan sebegitu, Fadhil berkata melihat anggota keluarganya yang lain mengambil suntikan vaksin, ia membuatnya berasa lebih yakin.



Menurut anak bongsu itu, ibunya serta kedua-dua abangnya yang berusia 21 dan 20 tahun telah mengambil vaksin lebih awal.



Manakala bapanya akan mengambil dos kedua vaksin pada hujung minggu ini.



Menggambarkan pengalamannya menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Kelab Masyarakat Nee Soon East, pelajar Sekolah Menengah Naval Base itu, berkata prosesnya berjalan dengan lancar.



"Ibu saya telah menemani saya untuk mengambil vaksin saya.



"Beliau telah mengikuti saya ke dalam bilik vaksinasi dan kemudian, saya ke kawasan pemantauan selama 30 minit sebelum dibenarkan pulang.



"Arahan yang diberikan kepada saya semasa proses tersebut mudah dan senang untuk diikuti," kongsinya.



Tambahnya, secara keseluruhan proses mendapatkan vaksin hanya 45 minit.



Di tanya mengenai kesan sampingan yang dialaminya, Fadhil berkata beliau telah berasa sakit tangan dan mengalami demam. Tetapi setelah beberapa hari beliau pulih.



Dengan keadaan yang tidak menentukan semasa tempoh ini, Fadhil berkata beliau telah mempelajari kepentingan baginya untuk mengambil vaksin tersebut.



"Ini adalah sebahagian peranan saya untuk mengekang penularan virus di Singapura.



"Jadi apabila saya mengambil vaksin ini, ia bukan hanya melindungi saya malah juga keluarga kesayangan saya, rakan-rakan saya dan juga masyarakat.



"Daripada situ, kita dapat bersama-sama mengurangkan kes Covid-19 di sini," ujarnya.



Menghela nafas lega, Cik Norlina, yang bertugas dalam perkhidmatan awam berkata beliau sebelum ini agak khuatir akan keselamatan anaknya di sekolah.



"Dia meluangkan banyak masa di sekolah dan bertemu bersama orang ramai di tempat awam seperti ketika beliau mengambil MRT ke sekolah.



"Meskipun terdapat langkah-langkah pengurusan selamat di sekolah, saya rasa ia masih penting baginya untuk divaksinasi supaya dapat lindungi diri dan mengurangkan risiko dijangkit," jelasnya sambil berharap bahawa dengan ketika Singapura meningkatkan usaha untuk mendorong lebih ramai mendapatkan suntikan vaksin, keadaan akan pulih dengan secepat mungkin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >