Isu pekerja dekat di hati
TERAS Singapura yang kukuh dalam tenaga kerja setempat dapat memastikan sikap tidak terlalu bergantung pada tenaga kerja asing selain menjamin pekerjaan yang baik bagi warga negara ini.
Dengan itu, gerakan buruh boleh menyokong usaha ini menerusi latihan yang ditawarkan kepada pekerja termasuk oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan pemerintah.
Dalam wawancara dengan Berita Minggu, Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab, yang merupakan antara sembilan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang baru berkata teras Singapura yang kukuh itu antara isu utama yang ingin diperjuangkannya sepanjang penggal dua setengah tahun pelantikannya sebagai NMP.
"Sementara kita akur pentingnya gabungan pekerja asing dengan pekerja setempat di sini, kami percaya pekerjaan yang baik harus ditawarkan kepada warga Singapura dahulu," ujar Encik Samad, 48 tahun.
Isu itu amat penting baginya hingga beliau menetapkan matlamat ingin melihat jumlah pekerja teras Singapura meningkat di akhir penggalnya sebagai NMP.
"Itu akan menjadi pencapaian bagi saya... apabila jumlah pekerja teras Singapura dalam semua sektor meningkat, saya sudah cukup gembira," tambahnya.
Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Gas dan Kuasa (Upage) itu, 85 hingga 90 peratus tenaga kerja dalam sektornya sekarang dibentuk pekerja Singapura.
Di tengah-tengah pandemik Covid-19 sekarang, dengan sesetengah pekerja asing memilih pulang ke negara mereka, Encik Samad berkata teras Singapura yang kukuh dalam sektornya dapat memastikan khidmat elektrik di sini dapat terus berjalan lancar.
"Kami bukan sahaja mempunyai pekerja bahkan juga kepakaran warga Singapura.
"Ini sesuatu yang harus difikirkan... benarkah kita kekurangan pekerja Singapura? Jika benar, kenapa ada warga Singapura yang masih tidak berjaya dapatkan pekerjaan?" ujar beliau.
Tambahnya, majikan juga harus bersikap bertanggungjawab.
"Jika mereka harus membayar premium bagi pekerja Singapura, tiada apa yang harus menghalang mereka.
"Sesetengah mereka mungkin menganggap warga Singapura cerewet... tapi adakah mereka cerewet atau mereka sebenarnya berasa mereka memerlukan gaji lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup di sini.
"Jika pekerja itu layak dibayar premium, kenapa tidak? Mengapa hanya membayar premium bagi pegawai berpangkat tinggi seperti ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan kanan?" kata Encik Samad.
Pekerja Singapura juga harus dilengkapi dengan kemahiran tinggi menerusi latihan yang sesuai.
Sedang pelbagai daya usaha dan peluang latihan kini ditawarkan, beliau berkata ia juga harus memastikan pekerja yang menjalaninya dapat meningkatkan kemahiran atau meraih kemahiran baru serta terdapat pekerjaan yang sesuai baginya di akhir latihan itu.
"Kita boleh bantu memadankan mereka dengan mengenal pasti pekerjaan yang ada dan kemahiran yang diperlukan, kemudian sediakan latihan baginya, jadi ia lebih menarik bagi pekerja itu menceburi industri tersebut," ujarnya.
Tambahnya, beliau juga ingin memperjuang agar Model Gaji Progresif (PWM) diperluas kepada lebih banyak sektor.
Menurutnya, majikan harus bersikap terbuka dan telus menunjukkan struktur gaji mereka, sejajar dengan matlamat daya penghasilan.
"Jika mereka mahukan bakat terbaik, mereka juga harus telus menunjukkan jumlah gaji yang ditawarkan," katanya.
Selain teras Singapura yang kukuh dan PWM bagi lebih banyak industri, Encik Samad juga merancang menggunakan wadah Parlimen ini untuk mengutarakan keprihatinan lain yang dihadapi pekerja termasuk cabaran pekerja pertengahan kerjaya dan pekerja kelas petengahan atau 'sandwich class', khususnya di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini, serta menyokong pekerja yang lebih berusia dengan lebih baik.
Akur akan tanggungjawab tambahan yang kini dipikulnya, NMP gerakan buruh Melayu pertama itu berkata beliau juga dapat menyumbang kepada usaha membentuk dasar bagi pekerja Singapura.
"Saya tidak harapkan perubahan sekelip mata tapi saya harap dapat mengutarakan keprihatinan warga hari ini," ujar beliau.
"Sesetengah mereka mungkin menganggap warga Singapura cerewet... tapi adakah mereka cerewet atau mereka sebenarnya berasa mereka memerlukan gaji lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup di sini. Jika pekerja itu (warga Singapura) layak dibayar premium, kenapa tidak...? Itu akan menjadi pencapaian bagi saya... apabila jumlah pekerja teras Singapura dalam semua sektor meningkat, saya sudah cukup gembira." - Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab.
BIODATA
Nama: Abdul Samad Abdul Wahab Usia: 48 tahun Isteri: Cik Zainab Yaacob, 46 tahun (suri rumah) Anak-anak: Tiga (17, 20 dan 21 tahun). Anak sulung bakal mula bekerja sebagai ahli teknologi bioperubatan; anak kedua menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE); dan yang bongsu bakal memulakan pengajian di Politeknik Nanyang (NYP). Pengalaman dalam gerakan buruh: 15 tahun berkhidmat dalam kesatuan; dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat NTUC pada 2015 dan kemudian menjadi naib presidennya pada 2019 Makanan kegemaran: "Nasi minyak tapi makanan yang paling saya rindu sekarang ialah nasi kerabu yang selalu saya makan di Johor Bahru dulu, tapi sekarang belum boleh pergi!" Filem kegemaran: Dulu saya suka tonton filem Bollywood dan filem kegemaran saya ialah Dosti, sebuah filem tentang persahabatan yang sangat menyentuh hati. Tapi kini, saya suka tonton drama Korea bersama anak-anak, tapi yang genre siasatan bukan yang genre cinta.
Doktor mahu wakili suara belia
INTERAKSINYA dengan golongan belia di tempat kerja hampir setiap hari membuatnya lebih peka akan keprihatinan golongan tersebut serta isu-isu yang dekat di hati mereka.
Sebagai konsultan bersekutu dalam pasukan pembedahan pergigian di Hospital Khoo Teck Puat, Dr Shahira Abdullah, akan bertemu remaja dari pelbagai latar belakang yang datang ke klinik tersebut.
Mereka biasanya ke sana bagi mendapatkan rawatan pendakap gigi agar gigi mereka lebih teratur.
Menurut Dr Shahira, 33 tahun, tempoh rawatan yang agak lama memberikannya peluang menjalin hubungan rapat dengan belia yang datang untuk menjalani rawatan tersebut dan setiap sesi boleh dijadikan wadah untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta keluhan.
Pendedahan itu mencelikkan mata Dr Shahira akan semangat yang wujud dalam diri golongan muda itu untuk menyumbang kepada masyarakat serta mengemukakan saranan terhadap isu-isu yang menjadi keprihatinan.
Untuk itu, Dr Shahira berharap pelantikan beliau sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dapat memberinya peluang mengetengahkan lagi suara belia dan mengemukakan isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka di Parlimen.
Beliau merupakan antara sembilan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) baru yang telah menerima surat pelantikan mereka baru-baru ini daripada Presiden Halimah Yacob.
Beliau juga salah seorang daripada dua NMP Melayu baru.
Selain berinteraksi dan menjalin hubungan dengan belia di tempat kerja, penglibatan Dr Shahira dalam Majlis Belia Kebangsaan (NYC) sejak 2019 turut membantu beliau mendalami minda golongan tersebut.
Melalui kegiatan yang diadakan untuk mendekati golongan tersebut seperti dialog serta perbincangan, jelas bahawa belia mempunyai pelbagai isu serta pandangan yang ingin dikemukakan, kata Dr Shahira.
Ini terutama sekali dengan akses meluas terhadap maklumat di internet dan juga pengaruh media sosial, di mana lebih mudah bagi belia membentuk pegangan serta pendirian terhadap sesuatu isu.
"Golongan belia memang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat dan bila mereka rasakan sesuatu tak adil atau perlu dibincangkan, mereka akan ke media sosial biasanya kerana mungkin pada mereka wadah lain kurang berkesan.
"Jika kita mampu kumpulkan suara-suara ini dan menggunakannya untuk melakukan sesuatu, membuat perubahan, ini lebih baik," katanya.
Menurutnya antara isu yang menjadi keprihatinan belia sekarang termasuk ekonomi, pekerjaan serta ketidaktentuan masa hadapan mereka.
Kebimbangan itu bertambah dalam keadaan dunia pascapandemik, katanya.
"Salah satu keprihatinan yang sudah dirasakan (belia) sebelum Covid-19 lagi adalah sama ada bidang yang dipelajari masih relevan pada masa depan.
"Kebimbangan itu bertambah dalam keadaan pandemik ini di mana mereka tidak tahu ada atau tidak pekerjaan untuk mereka, masa depan mereka masih tidak menentu," ujarnya.
Menurut Dr Shahira, antara tarikan sebagai NMP adalah mereka tidak perlu berpihak kepada mana-mana parti dan bebas menyuarakan sebarang pandangan.
Beliau juga berasakan suara belia perlu lebih kedengaran di Parlimen.
"Saya ingin berikan belia wadah tambahan untuk mereka suarakan keprihatinan, dan Parlimen juga memerlukannya.
"Mungkin ada yang berasa golongan belia kurang matang, belia pula kurang suarakan pandangan mereka kerana takut dibantah.
"Untuk itu, ia perlukan seseorang yang dapat mengemukakan pandangan belia dalam bentuk yang mungkin lebih mudah diterima," katanya.
Ditanya sama ada pandangan golongan tersebut terlalu idealistik dan tidak praktikal, Dr Shahira berkata:
"Kerana ini, belia perlu bekerjasama dengan golongan yang lebih dewasa yang dapat menentukan sama ada saranan yang dikemukakan belia boleh dilaksanakan atau tidak.
"Namun, pemikiran idealistik ini adakalanya menghasilkan penyelesaian inovatif yang tidak pernah difikirkan sebelum ini."
"Golongan belia memang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat dan bila mereka rasakan sesuatu tak adil atau perlu dibincangkan, mereka akan ke media sosial biasanya kerana mungkin pada mereka wadah lain kurang berkesan. Jika kita mampu kumpulkan suara-suara ini dan menggunakannya untuk melakukan sesuatu, membuat perubahan, ini lebih baik... Saya ingin berikan belia wadah tambahan untuk mereka suarakan keprihatinan, dan Parlimen juga memerlukannya." - Konsultan bersekutu dalam pasukan pembedahan pergigian di Hospital Khoo Teck Puat, Dr Shahira Abdullah.
BIODATA
Nama: Dr Shahira Abdullah Usia: 33 tahun Pekerjaan: Konsultan bersekutu dalam pasukan pembedahan pergigian di Hospital Khoo Teck Puat Keluarga: Anak sulung lima beradik Pendidikan: 2007-2011 Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan pergigian dari Universiti Nasional Singapura (NUS) 2013-2016 Ijazah Sarjana dengan pengkhususan Ortodontik dari NUS Makanan Melayu kegemaran: Rendang dan sambal tumis masakan ibu saya Hobi: Saya suka membaca dan juga meluangkan masa bermain dengan anak saudara. Ini cara saya 'recharge' Apa yang menjengkelkan atau 'pet peeve'? Orang yang tidak berterus terang
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg