Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia digesa laksana langkah perlindungan jerebu lebih awal
DAP Johor: Keadaan jerebu semakin buruk di beberapa kawasan perlu ditangani sebagai masalah kesihatan awam
Kerajaan M’sia digesa laksana langkah perlindungan jerebu lebih awal
JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa melaksanakan langkah perlindungan lebih awal apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri paras sangat tidak sihat dan tidak menunggu sehingga keadaan mencapai tahap berbahaya.
Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata keadaan jerebu yang semakin buruk di beberapa kawasan, khususnya Sarawak, perlu ditangani sebagai masalah kesihatan awam dan bukan sekadar pencemaran udara bermusim.
Beliau berkata setakat 1 petang, 8 September, Serian dan Samarahan di Sarawak masing-masing mencatatkan bacaan IPU 274 dan 228, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.
Sebanyak 24 kawasan lain di seluruh negara turut dilaporkan berada pada tahap tidak sihat.
“Kita perlu mengambil serius perkembangan ini. Beberapa hari lalu, bacaan IPU di Serian pernah mencecah sekitar 500 sehingga darurat diisytiharkan demi keselamatan penduduk.
“Walaupun darurat di Serian telah ditamatkan, keadaan itu tidak harus disamakan dengan berakhirnya krisis jerebu,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 September.
Menurut Sheikh Umar, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak perlu terus berada dalam keadaan berjaga-jaga sehingga mutu udara benar-benar stabil dan bacaan IPU kekal pada tahap selamat.
Beliau berkata pemantauan secara berterusan dan tindakan berdasarkan bacaan IPU semasa perlu diperkukuh bagi membolehkan langkah perlindungan dilaksanakan dengan segera.
Arahan yang seragam dan mudah difahami juga perlu dikeluarkan kepada sekolah, tadika, pusat asuhan kanak-kanak, tempat kerja serta penganjur kegiatan luar.
“Jika bacaan IPU mencapai paras berbahaya, kegiatan luar perlu dihadkan. Kaedah pembelajaran dan pengajaran di rumah serta aturan kerja yang bersesuaian juga perlu dilaksanakan mengikut keadaan setempat,” katanya.
Sheikh Umar turut menggesa pihak berkuasa memperhebat usaha mengesan punca kebakaran dan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan pembakaran terbuka.
Menurutnya, penguatkuasaan tidak sepatutnya hanya dipergiat selepas asap memenuhi udara dan menjejaskan kesihatan penduduk.
“Jika terdapat unsur pembakaran secara sengaja atau kecuaian yang menyebabkan api merebak, tindakan tegas mesti diambil. Kesihatan jutaan rakyat tidak boleh dikompromi kerana kecuaian segelintir pihak,” katanya.
Kerjasama dengan negara jiran bagi menangani jerebu rentas sempadan juga perlu diperkukuh, namun usaha diplomatik itu mesti dilaksanakan seiring dengan tindakan dalam negara.
Beliau berkata Malaysia tidak boleh hanya bergantung pada perubahan arah angin atau hujan untuk mengatasi masalah jerebu.
Kerajaan turut disaran memastikan bekalan pelitup muka yang sesuai mudah diperoleh, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas, pesakit yang mempunyai masalah pernafasan dan mereka yang menghidap penyakit kronik di kawasan terjejas teruk.
Orang ramai pula diminta mengurangkan kegiatan luar yang tidak perlu apabila IPU meningkat, menutup pintu dan tingkap ketika mutu udara merosot serta mengelakkan kegiatan fizikal berat di luar rumah.
Mereka juga perlu mengikuti maklumat rasmi Jabatan Alam Sekitar dan segera melaporkan sebarang kebakaran atau kegiatan pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa.
“Pengurusan jerebu tidak boleh bersifat bermusim. Kita memerlukan pelan tindakan jangka panjang yang melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi penguatkuasaan, pihak swasta dan masyarakat.
“Kita tidak seharusnya menunggu langit menjadi semakin gelap, sekolah ditutup atau IPU mencecah paras berbahaya sebelum bertindak,” katanya.
