Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor bersiap mohon pembenihan awan lebih awal hadapi El Nino kuat
Kesemua 17 empangan masih terkawal, namun paras air Empangan Gunung Pulai menunjukkan paras menurun
Johor bersiap mohon pembenihan awan lebih awal hadapi El Nino kuat
Johor sedang mempertimbangkan untuk memohon pembenihan awan lebih awal sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino kuat yang dijangka berlaku antara Oktober dengan Disember.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerajaan negeri sedang memantau paras air di kesemua 17 empangan setiap hari.
Beliau berkata tiada empangan berada pada paras kritikal ketika ini dan bekalan air negeri masih terkawal.
“Setakat ini, tiada empangan yang kritikal. Kita mempunyai 17 empangan di Johor dan semuanya dipantau setiap hari.
“Keadaan masih terkawal, tetapi kita sedang membuat persediaan untuk menghadapi El Nino kuat yang dijangka antara Oktober dengan Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Libat Urus Persatuan Teksi Bersempena Tahun Melawat Johor di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) pada 8 September.
Menurutnya, kerajaan negeri telah berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaras langkah menghadapi kemungkinan cuaca panas dan kemarau berpanjangan.
Johor belum membuat permohonan rasmi untuk pembenihan awan kerana negeri itu masih menerima hujan.
Bagaimanapun, permohonan tersebut mungkin dikemukakan lebih awal sebelum cuaca menjadi terlalu kering dan paras empangan terjejas.
“Pembenihan awan telah dijalankan di beberapa tempat lain berikutan masalah jerebu, tetapi belum lagi di Johor.
“Kita akan cuba membuat permohonan lebih awal sebelum berlakunya El Nino kuat. Mesyuarat penyelarasan juga telah diadakan dan saya sudah berhubung rapat dengan Ketua Pengarah Nadma,” katanya.
Encik Mohamad Fazli berkata kemampuan setiap empangan untuk menampung keperluan bekalan air berbeza mengikut saiz dan ketetapan teknikal.
Ada empangan yang mempunyai simpanan mencukupi sehingga setahun, manakala yang lain boleh bertahan sekitar enam bulan.
Antara empangan yang diberikan perhatian ialah Empangan Gunung Pulai kerana paras airnya menunjukkan aliran menurun.
“Pada tahun lalu, Empangan Machap antara yang paling terjejas. Namun, cuaca panas tidak memberikan kesan yang sama di seluruh Johor kerana setiap kawasan mempunyai corak cuaca berbeza.
“Bagi tahun ini, kita melihat Empangan Gunung Pulai mungkin memerlukan perhatian berdasarkan aliran penurunan yang dikesan. Bagaimanapun, penilaian masih dijalankan sebelum kawasan tumpuan ditetapkan,” katanya.
Selain pembenihan awan, kerajaan negeri menyediakan beberapa langkah tambahan, termasuk mengepam air dari satu sumber ke sumber lain.
Sebuah loji penyahgaraman juga telah dipasang di Lok Heng, manakala pam tambahan disediakan di Machap bagi membolehkan lebih banyak air dilepaskan ke sungai untuk kegunaan loji rawatan air.
Langkah tersebut dibuat berdasarkan pengalaman menghadapi penyusutan sumber air di Machap dan Lok Heng sebelum ini.

