Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Zainal Abidin teruskan kempen ‘Hijau’ rawat bumi

Selepas 30 tahun, bintang legenda lancar lagu baru mesra alam ‘Tiba Masa’, konsert 40 tahun berseni
Sep 03, 2023 | 11:27 AM



Meskipun usia lagu mesra alam Hijau sudah mencecah 32 tahun, masih segar di ingatan ramai lirik lagu itu, yang didendangkan Datuk Zainal Abidin Mohamad dan mula berkumandang pada 30 Mei 1991.


Ternyata, situasi bumi yang lelah serta sekitaran yang kian membimbangkan belum beres selepas pencipta lagu Hijau, Mukhlis Nor, memulakan kempen mesra alamnya bersama Zainal, yang kini berusia 63 tahun.


Maka, Zainal, yang mula dikenali selaku vokalis band Headwind yang terkenal pada lewat 1970-an dan awal 1980-an, mengorak langkah menjana satu lagi lagu yang berpesan tentang kepentingan memelihara alam – Tiba Masa.


Dalam satu wawancara melalui panggilan jauh bersama Berita Minggu, Zainal menjelaskan Tiba Masa kesinambungan lagu pertama nyanyiannya secara solo. Ia bertujuan merai legasi seninya yang mencecah empat dekad dengan melodi lagu ini mendapat sentuhan emas komposer Michael Veerapen dan liriknya ilham Mukhlis Nor.


Kata Zainal mengenai lagu Tiba Masa yang akan mula berkumandang pada 4 September: “Pejam celik, saya beritahu Mukhlis sudah 30 tahun lamanya kita berkempen dan memberi nasihat serta kesedaran kepada orang ramai tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Tapi nampaknya isu sekitaran dan pencemaran diburukkan oleh perubahan tidak menentu iklim sejagat, semakin teruk walaupun teknologi kita kian canggih.


“Orang tak peduli nasihat yang kami uar-uarkan. Akibatnya, kita kini menanggung beban dan akibat daripada bumi yang kian tenat. Selepas 30 tahun, saya lihat orang-orang dunia korporat sibuk berdagang sesama sendiri tetapi lebih pentingkan keuntungan untuk diri sendiri. Mereka tidak peka tentang masa depan generasi akan datang. Hutan habis ditebas tanpa memikirkan ia membawa kesan pada kenaikan suhu.

“Laut masih sesuka hatinya dicemari. Sekarang pula musim lautan sarat dengan toksin atau tanaman mahupun lumut beracun yang boleh mengakibatkan haiwan laut pupus seperti yang terjadi pada dolfin dan singa laut di pantai California baru-baru ini.

“Kadangkala orang tak rasa kesannya sekarang, tetapi mungkin dalam masa lima hingga 10 tahun mendatang, kesannya akan lebih ketara. Kerana itu Tiba Masa perlu dihasilkan sebagai lanjutan pada usaha kempen mesra alam saya dan Mukhlis menerusi Hijau.”


Dalam sembang setengah jam itu, Zainal menyentuh tentang penggunaan kereta elektrik yang didapati lebih membawa bahaya pencemaran pada sekitaran berbanding kereta hibrid.

“Ada kajian menunjukkan kereta elektrik menggunakan bateri mengeluarkan peratusan gas rumah hijau yang lebih daripada kenderaan lain. Saya, justeru itu, berharap penggunaan kereta elektrik yang awalnya dirasakan selamat dapat dikaji semula.

“Banyak perkara yang disorok dan berselindung di sebalik dosa menjejas sekitaran. Manusia masih bergelut dengan isu sekitaran yang mengganggu kesejahteraan hidup dan bawa banyak impak dalam kehidupan seharian. Jadi, saya rasa perlu dan sudah ‘Tiba Masa’ kita keluarkan lagu tentang keprihatinan pada isu sekitaran,” kongsinya.

Lagu ini disejajarkan dengan Konsert Tiba Masa... Zainalabidin pada 30 September di Panggung Sari, Istana Budaya. Ia dipersembahkan BSync Live dan X-FWD Management. Tiket dijual mulai 4 Ogos.


Kumpulan Headwind akan turut menyerikan konsert itu, yang Zainal harap dapat menarik minat pengikutnya di Singapura. Headwind popular dengan lagu hit Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin dan Hanya Di Radio.


“Headwind, Black Dog Bone, Flybaits, Carefree, Search, Wings dan Revolvers... semua ini band ternama sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Selepas kecapi populariti, ada ketika anggota masing-masing ambil haluan sendiri dengan ada yang tiada persefahaman... tidak semua.

“Vokalis kesemua kumpulan ini teruskan dengan projek solo. Begitu juga saya. Tapi apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur sebab apabila saya tinggalkan mereka kerana ingin bergerak secara solo untuk buktikan bahawa itulah haluan terbaik untuk majukan kerjaya saya sebagai penghibur, kami tiada isu berbalah sebab masih kekal bersahabat hingga hari ini.

“Mereka faham apa yang ingin saya lakukan demi kebaikan saya. Teman-teman di Headwind tak ada rasa cemburu dan iri hati terhadap satu sama lain. Tak mengerti nak simpan perasaan negatif sebegitu. Persahabatan kami kekal sama sahaja macam dahulu. Apabila saya undang mereka untuk mengiringi persembahan saya, mereka terima dengan baik.

“Tak ada yang kata mereka malu, segan atau keberatan. Alhamdulillah, mereka semua adalah insan-insan berhati mulia,” sambung Zainal.

Ditanya apa yang dikenang sepanjang kerjaya seni selama 40 tahun, beliau berkata kerjaya itu meletakkan dirinya pada tahap kerjaya yang boleh dianggap pencapaian peribadi membanggakan dengan dirinya dapat menyara hidup isteri dan anak-anak dengan baik dan selesa.

“Saya tidak ada latar belakang akademik yang baik. Saya tidak sekolah tinggi. Belajar sampai umur 12 tahun... selepas itu dah kerja buat macam-macam tugas. Tapi dengan bakat kurniaan Tuhan, saya dapat menyara hidup keluarga.

“Apa yang diimpikan selama ini untuk duduk rumah selesa dan miliki kenderaan selesa serta dapat simpan duit untuk pergi bercuti anak-beranak... Alhamdulillah semuanya dah dapat saya rasa berkat rezeki Allah beri. Semua Allah atur dengan pendapatan lebih mencukupi.

“Saya yakin pada rezeki dan ketentuan Allah. Satu perkara saya pegang Allah atur rezeki kita dengan baik asalkan kita tidak tinggalkan solat. Kita jaga solat, Allah akan jaga kita. Kita hanya perlu usaha gigih dan ikhlas,” ujar Zainal.

Walaupun berjiwa ‘orang lama’ dan tidak begitu memahami menggunakan teknologi digital canggih dalam pembikinan muzik dan video muzik, Zainal gembira mempunyai pasukan kreatif yang mendukung kerjaya dan persembahannya.

Isterinya, Datin Angelina Asmawi, pengarah video muzik Tiba Masa. Klip video itu hanya mengambil masa dua jam untuk penggambaran dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kali pertama di Malaysia.


Ia menonjolkan latar belakang alam sekitar, dan boleh ditonton di saluran Youtube Datuk Zainalabidin dan Instagram @zainalabidinhijau.

“Isteri saya penerbit yang sangat kreatif. Dialah tulang belakang saya yang memikirkan tentang konsep video muzik serta menjaga imej, dandanan, kesihatan dan pemakanan saya. Saya tak berapa pakar bab AI ni. Kita orang lama dan kekal ‘old school’.


“Tapi bagusnya, ada ramai budak muda dalam pasukan saya yang bijak menggunakan teknologi dan mahir dari segi menghasilkan kerja seni yang boleh diletakkan setaraf dengan artis antarabangsa. Inilah hasil kerja generasi terkini. Saya artis pertama di Malaysia yang memanfaatkan sofwe AI.

“Yang bagusnya, apabila kita gunakan AI, saya dah tak perlu lagi sorok wajah saya yang dimamah usia. Dulu kebanyakan masa saya sembunyikan muka saya. Tak naklah orang nampak kedut pada muka kita. Jadi nampaklah muda sedikit,” selorohnya.

Bagi konsert Tiba Masa, Zainal menjaga rapi rutin pemakanan dan senamannya dengan dipantau isterinya yang peka dan ingin melihat beliau memberi sepenuh jiwa raga untuk persembahan itu.


“Saya perlu ubah semula lagu lama saya. Kita nak nyanyi perlukan stamina. Jadi dalam urusan pemakanan dan senaman, saya perlu dengar apa yang isteri tekankan. Kerana Singapura sebahagian besar daripada kerjaya seni saya, bahkan tempat tinggal saya setahun apabila bekerja di sana, saya mengharapkan sokongan orang Singapura. Datanglah beramai-ramai untuk kita imbau nostalgia. Kalau sokongan baik dan ada rezeki, saya akan datang ke Singapura untuk menghiburkan anda tahun depan.

“Kenangan saya di Singapura semuanya manis-manis. Ramai peminat dah jadi kawan. Kalau saya datang ke Singapura, ramai menyambut saya dengan baik. Orang Singapura memang baik hati, lemah lembut dan menghormati satu sama lain. Bahkan yang bukan Melayu menjadi pengikut muzik saya. Mereka tahu erti menghormati karya seni,” ujar Zainal.

Tiket RM179.76 hingga RM799.60 ($52.32-$233.18) boleh ditempah di https://www.ticket2u.com.my.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >