Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KAKI JALAN

Tenang lawat masjid, muzium, taman negara dan pasar malam Brunei

Seni bina gah dan warisan Melayu, Islam, kekal terpelihara
Feb 18, 2024 | 05:30 AM



Daripada masjid yang tersergam indah dan memiliki warisan sejarah kepada istana yang gah serta pelbagai muzium termasuk yang menekankan kepentingan sektor kelautan.

Inilah antara tempat-tempat ‘wajib’ yang perlu anda kunjungi jika menjejakkan kaki ke Brunei Darussalam.

Teman-teman sebaya atau lebih muda daripada saya memang jarang menjadikan Brunei destinasi percutian kerana ramai yang akur tidak begitu tahu apa yang terkandung dalam khazanah pelancongan negara ini.

Kebanyakannya terbiasa membawa anak-anak ke Kuala Lumpur, Jakarta mahupun Bangkok untuk bersiar-siar dan membeli-belah mahupun mengunjungi taman bertema yang serba indah.

Namun, ada banyak yang boleh diteroka di Brunei sebagaimana yang boleh dibaca dalam majalah kembara dalam talian mahupun berdasarkan kunjungan saya ke negara itu untuk menghirup udara segar, jauh daripada kesibukan kota kosmopolitan.

Kali pertama saya berkunjung ke Brunei ialah pada 2002 sewaktu membuat liputan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura (Mabims).

Dalam kunjungan selanjutnya sekitar enam tahun lalu, saya dapat merasakan perubahan ketara pada pembangunan kemudahan baru di negara ini serta daya tarikan pelancongnya.

Brunei menjadi lokasi melepasbebaskan diri daripada segala tekanan di samping menjadi tempat mesra alam untuk menenangkan fikiran.

Ia mungkin tidak mempunyai fiesta seni besar-besaran atau konsert berskala besar persis di Malaysia atau Indonesia tetapi ia cukup untuk sesiapa yang dambakan tempat sunyi untuk menikmati percutian santai bersama keluarga tersayang atau sahabat seiring jalan.

Berikut adalah beberapa tempat yang boleh anda kunjungi jika melancong ke Brunei.

MASJID OMAR ALI SAIFUDDIEN & MASJID JAME’ ASR HASSANIL BOLKIAH

Apabila menaiki bas pelancong dan melintasi Masjid Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan, sudah terasa betapa menakjubkan masjid yang dibina pada 1958 ini.

Ia dinamakan sempena nama Sultan Brunei ke-28.

Masjid ini adalah antara institusi agama yang kelihatan saujana mata memandang di Asia Tenggara.

Di keliling masjid ini merupakan lagun biru dan pepohon hijau lagi berbunga.

Kubah masjidnya bersinar keemas-emasan. Jendela kacanya menarik perhatian.

Anda berada di Brunei tetapi seakan dibawa meninjau bahan terbaik serata dunia yang digunakan untuk membina dan membangun sebuah masjid pula.

Lantai marmar dari Italy, tembok granit dari Shanghai, lampu candelier dari Britain serta permaidani dari Arab Saudi menambah kecantikan seni bina dan suasana kerohanian di masjid ini.

Jambatan marmar di kawasan lagun membawa anda meninjau replika tongkang di-raja abad ke-16 yang digunakan sebagai lokasi majlis keagamaan seperti peraduan tilawah.

Pada malam hari, masjid ini memang kelihatan indah sebab cahaya lampunya yang bergemerlapan.

Masjid Jame’Asr Hassanil Bolkiah di Kampong Kiarong, Bandar Seri Begawan, pula masjid yang lebih baru dan dibina pada 1994.

Ia dikelilingi taman berlandskap dan pancuran air. Seni bina keislamannya menakjubkan dan terperinci.

Masjid ini direka jurubina Britain, John Lawson, yang diminta datang ke Brunei untuk mengusahakan masjid ini pada tahun 1990-an. Masjid baru ini dijadikan satu lagi masjid negara Brunei dan dibina sempena ulang tahun kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah yang ke-25.

Masjid ini mempunyai 29 kubah emas dan empat menara dengan kawasan persekitarannya mengingatkan anda tentang kawasan Kampong Gelam berhampiran Masjid Sultan di Singapura.

MUZIUM ALAT KEBESARAN DIRAJA & MUZIUM MARITIM

Jika anda seperti saya yang gemar berkunjung ke muzium, Brunei menawarkan peluang untuk jalan-jalan sambil meninjau hasil warisannya.

Muzium Alat Kebesaran Diraja ini menarik kerana ia memberi anda pengamatan sepintas lalu tentang adat-istiadat Di-Raja, mahkota, singgahsana dan persalinan yang digunakan. Ada juga sudut keris perak Sultan, dokumen penting, foto dan rakaman bersejarah yang membuatkan anda ingin lebih banyak menggali sejarah kerajaan Brunei.

D​i Muzium Maritim Brunei sekitar Kota Batu pula, anda boleh tinjau sejarah kelautan dan hasil peninggalan artifak dan pertukangan maritim dari pelbagai era.

Muzium ini dibina di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 dengan peruntukan BND5 juta ($5 juta) di atas tanah seluas 3.53 hektar.

Reka bentuk bangunan muzium ini persis kapal dengan tiga galeri – Galeri Kapal Karam Brunei, Galeri Kegemilangan Maritim Brunei dan Galeri Tapak Warisan Arkeologi.

Kunjungan ke muzium ini akan membuatkan anda lebih memahami perdagangan maritim Brunei dengan negara luar sekitar abad ke-15 hingga awal abad ke-16.

KAMPONG AYER – ‘VENICE OF THE EAST’

Saya masih ingat kunjungan ke Kampong Ayer di mana kami menaiki sampan malahan dibawa pendayung sampan memasuki kawasan bawah rumah kampung papan di situ.

Sekejap-sekejap, ada penduduk yang melambaikan tangannya seakan-akan mempelawa kami singgah ke rumah mereka.

Kampong Ayer dianggap seperti kota air Venice, Italy, (di kawasan timur) yang seronok dijelajahi.

Sesiapa yang tidak pernah menetap di kampung akan seronok meninjau Kampong Ayer. Terdapat 30,000 penduduk di sini. Ia dilengkapi masjid, sekolah, kedai runcit, hospital dan restoran.

PASAR MALAM, TEMPAT MENGHIJAU

Pasar Malam Gadong dan Tamu Kianggeh adalah dua lokasi yang pastinya digemari golongan kakak-kakak kaki memasak dan sentiasa terbuka selera untuk makan.

Makanan murah dan menyelerakan di Pasar Malam Gadong. Di Tamu Kianggeh, pasar terbuka pula, rambang mata dibuatnya apabila ingin membeli barangan dapur atau rencah untuk memasak. Banyak juga kuih-muih disaji di sini dengan sajian santapan halwa telinga berupa persembahan seni tradisional.

Jika ada yang tertanya-tanya nak dibawa ke mana anak-anak yang sukakan kehijauan, bawa sahaja ke Taman Riadah Tasek Lama. Air terjun jernihnya mencurah-curah. Boleh berkelah di sini sambil hirup udara segar.

Di Taman Negara Ulu Temburong pula, anda tidak akan kehabisan kegiatan untuk dilakukan, baik meninjau air terjun dengan kemudahan spa ikan, menaiki bot panjang, mahupun berjalan kanopi sambil mendekatkan diri dengan alam semesta.

Ada banyak yang sebenarnya boleh dilakukan di Brunei. Anda hanya harus berani meneroka dan bertanya orang Brunei dalam perjalanan mengenai tempat mana yang seronok dijadikan ruang riadah dan berliburan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >