Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SALAM AIDILFITRI

Raya peluang Huda Ali relaks, bersama keluarga gara-gara sibuk sepanjang Ramadan

Apakah keistimewaan Hari Raya tahun ini buat dua pengacara dan pelakon anggun Singapura, Nurul Aini Abdul Rahim dan Huda Ali, yang masing-masing memiliki keupayaan berlawak spontan? BERITA HARIAN melaporkan.
Apr 22, 2023 | 05:30 AM



MEMANDANGKAN jadual personaliti televisyen Huda Ali padat sepanjang Ramadan kerana rakaman program harian Warna Ramadan, Hari Raya adalah masa buatnya bersantai dan bertemu sanak-saudara serta meluangkan masa buat keluarga tersayang.



Meskipun tidak menyelaras bazar LalooLalang bagi tempoh 30 hari seperti tahun lalu, masa tiga hari yang dikhususkan untuk bazar di Pusat Seni Aliwal sama penatnya buat Huda dan suaminya Den Sabari.



Namun, ibu dua anak berusia empat dan 10 tahun itu tetap bersyukur dengan rezeki bulan mulia ini yang mendekatkannya dengan segenap lapisan masyarakat khususnya usahawan tempatan yang gigih berniaga.



Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Huda berkata beliau menantikan Lebaran untuk mengukuhkan silaturahim dengan keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan sebelum jadual kembali sibuk untuk mengembara bagi program Cantik Detektif (Musim Kelima) Jun ini.



"Tahun ini jangkakan tak sesibuk tahun lalu apabila tiada masa berbuka dengan anak-anak. Saya dan Den nak perlahankan aktiviti kami dan bikin bazar tiga hari sahaja. Jadi selebihnya, kita boleh tumpukan pada ibadah dan urusan keluarga.



"Tapi kebetulan saya sibuk dengan Warna Ramadan. Hampir setiap hari ada rakaman. Paling menarik peluang mewawancara asatizah dan berinteraksi dengan kanak-kanak bermacam ragam. Den pula ada kerjanya sendiri. Jadi, nak kata sibuknya sama juga dan kami jarang juga buka sekeluarga.



"Sungguhpun begitu, saya tetap syukuri rezeki yang diperolehi. Alhamdulillah. Apa yang saya seronok tentang selaraskan LalooLalang adalah sambil mengurus bazar, saya sempat beli-belah kuih, baju Raya dan meja makan sekali gus di situ sebab semuanya ada di bawah satu bumbung. Ia satu cara saya menyokong bisnes tempatan dan mereka yang menyewa gerai dengan kami," jelas Huda yang terlibat dalam sketsa keluarga Hassan dan Hasnah dalam program malam Raya, Sinar Lebaran.



Pada Hari Raya, Huda biasanya akan dahulukan rumah anggota keluarga yang berusia dahulu seperti nenek dan datuk saudaranya.



"Tapi Hari Raya pertama, kami biasanya ke rumah ibu saya dan ibu mentua. Kemudian berkunjung ke rumah anggota keluarga Den yang ramai sampailah malam.



"Pada hari kedua, saya akan ke rumah saudara-mara yang berusia sebelum berkunjung ke rumah pakcik dan makcik serta kawan-kawan pada hari-hari selanjutnya," kongsi Huda.



Ditanya mengenai peranannya sebagai Hasnah, isteri yang kecoh dan kelakar dalam Sinar Lebaran, Huda tertawa seraya berkata:



"Kita tak risaukan tentang latihan sebelum naik pentas pada acara yang dirakam secara 'live'. Pendek kata, saya, Suhaimi Yusof, Khairudin Samsudin dan Nurul Aini 'go jer'.



"Macam mana berlatih pun, pada akhirnya, segalanya jadi lain dari segi dialog sebab 90 peratus sketsa yang anda tonton datang daripada kespontanan kami melontar dialog sendiri. 10 peratus sahaja ikut skrip yang sekadar jadi panduan jalan cerita."



Selepas Lebaran, Huda juga tidak sabar memulakan rakaman Cantik Detektif (Musim Kelima) yang sudah hampir lima tahun dirindui dan kerap tertunda kerana pandemik Covid-19.



"Saya hargai program yang mempunyai kesinambungan dan berlanjutan hingga beberapa musim. Saya akan kembali mengembara lagi untuk tinjau tip dan amalan kecantikan di negara-negara yang menarik budayanya. Saya memang rasa begitu dekat dengan Cantik Detektif sebab ramai orang ingati saya kerana program ini. Saya dewasa dengan program ikonik ini.



"Awalnya saya bikin musim pertama ketika baru setahun bersalin anak pertama. Setiap tahun saya mengembara selama lima tahun berturut-turut sehinggalah lahirkan anak kedua.



"Nak sambung selepas itu tetapi pandemik Covid-19 pula melanda," jelasnya yang juga teruja dapat mengacarakan program uji pengetahuan am, Tuah 13 yang melengkapinya dengan ilmu dan fakta menarik tentang Singapura.



Lulusan terbaik Diploma Seni Kulinari di Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec) itu juga bercita-cita mengacarakan atau menerbitkan program sembangnya sendiri yang menyisipkan unsur kulinari sebagai antara kandungannya.



"Saya masih lagi belajar walaupun sudah 17 tahun berkecimpung dalam sektor hiburan di kaca televisyen. Memang banyak dapat undangan mengacarakan acara memasak di luar tetapi di televisyen belum lagi. Kerana bidang kulinari begitu dekat dengan saya, impian saya nak menerbitkan program yang berkongsi ilmu kulinari," jelasnya. - HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >