Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Belasungkawa

Rakan seni kenang budi, sikap murah hati Rohana Jalil

Juara ‘Bintang RTM 1980’ meninggal dunia selepas dua bulan di hospital susuli kebocoran usus
Jun 21, 2023 | 03:17 PM



Terngiang-ngiang di ingatan ramai lagu balada cinta ciptaan komposer kelahiran Singapura, Allahyarham A. Ali, Rayuanku, yang didendangkan biduanita Rohana Jalil.


Antara bait lirik pembukaan lagu menyentuh kalbu ini adalah: “Aku insan yang lemah. Hanya mampu berserah. Ingin sekali bertemu. Untuk mencurah rindu...”


Buat yang mengenali Rohana, 68 tahun, atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, yang merupakan juara Bintang RTM 1980 ini, kerinduan itu akan sentiasa datang bertamu setelah Allahyarhamha meninggal dunia pada 11.33 malam Selasa di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia kerana kebocoran usus.


Rohana dirawat di HCTM selama dua bulan. Pengurusnya yang hanya ingin dikenali sebagai Jepun memberitahu media seberang Allahyarhamha sudah tidak sedarkan diri sejak tengah hari Selasa.

“Selepas melihat keadaan arwah semakin kritikal, doktor meminta semua ahli keluarga berkumpul di hospital sekitar 5 petang,” tambahnya, yang turut memaklumkan kebocoran usus yang dialami Rohana menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

“Doktor kata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa berikutan kuman sudah merebak. Ia juga disebabkan faktor usia,” katanya.

Selepas berita pemergian Rohana, yang juga dikenali kerana lagu duet bersama To’ki, Naluri Cinta (sudah distrim hampir 470,000 kali) diterbitkan di media sosial, ramai teman seangkatan mahupun yang lebih muda turut mengucapkan salam takziah buat keluarganya diiringi dengan perkongsian mengenai betapa tingginya budi Allahyarhamha dan sikap baik hatinya.


Allahyarhamha Rohana berasal dari Kota Tinggi, Johor. Sepanjang empat dekad berkecimpung dalam bidang muzik, beliau sudah merakamkan lebih 20 album termasuk album kompilasi dan projek khas.

Antara lagu popularnya termasuk Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.


Anak bongsunya, Kilafairy, 31 tahun, seorang pelakon dan penyanyi, menyifatkan peluang berada di sisi arwah ibunya sehingga penghujung hayatnya adalah tempoh yang tidak mampu dilupakan.

Biarpun diselubungi perasaan sedih, Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan, tetap reda dengan pemergian ibu yang dicintai.

Beliau juga bersyukur kerana berpeluang melaksanakan tugas sebagai anak dengan memandikan dan menyempurnakan urusan pengebumian ibunya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 pada Rabu.

“Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan baik dan segala urusan pengurusan jenazah termasuk pengebumian dipermudahkan. Malah, arwah juga pergi dalam keadaan tersenyum.

“Sudah tentu perasaan saya sangat sedih dengan pemergian arwah, namun hasil didikannya bersama bapa, saya reda dengan segala ketentuan yang diatur Allah.

“Saya bersyukur sebab dapat berada di sisi arwah daripada awal sehingga semuanya berakhir. Saya berada di sisi sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir dan berkesempatan memandikannya.

“Itu adalah pengalaman sukar diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin itu juga membuatkan saya lebih tenang berdepan dengan ujian ini,” tambah Kilafairy.

Kesan mendalam buatnya pastinya terasa sebab dirinya yang belum berumah tangga tinggal bersama Allahyarhamha Rohana.

“Masakan arwah antara perkara yang paling tidak boleh dilupakan dan saya pasti akan merinduinya.

“Antara masakan paling saya suka adalah lontong, laksa Johor dan banyak lagi,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).


Pengacara, pelakon dan penyanyi, Jaafar Onn, pula menganggap Rohana sebagai sahabat yang selalu mengingatkannya agar menjaga kesihatan.

Jaafar, 71 tahun, berkata:

“Arwah adalah saudara saya di sebelah bapa. Selain rakan industri, kami juga pernah merakamkan lagu duet bersama suatu ketika dahulu. Justeru, kehilangan arwah sangat dirasakan. Apatah lagi, saya dengan arwah sangat rapat dan rumah pun berdekatan, jadi selalu keluar makan bersama,” cerita pelakon drama bersiri, Cili Padi, ini.


Menganggap Rohana sebagai pemurah, Jaafar berkata mereka pernah bersama-sama bercuti di Paris, Perancis, serta meluangkan masa makan bersama.

Penyanyi, Datin Salwa Abdul Rahman, meluahkan rasa terkilan tidak sempat menunaikan permintaan Rohana untuk mendoakan kesejahteraannya ketika hari wukuf di Arafah pada 27 Jun ini.

Salwa yang berada di Makkah untuk menunaikan ibadah haji berkata meskipun arwah sudah tiada, permintaan itu akan tetap ditunaikan supaya roh sahabat baiknya itu tenang.

“Banyak pesanan arwah berikan. Antaranya, saya dapat mendoakan semoga beliau segera sembuh ketika menunaikan hari wukuf di Arafah.

Penyanyi, Ismaliza Ismail, 43 tahun, pula terkesan dengan pemergian Rohana yang sama-sama pernah mengikuti kursus menguruskan jenazah dengannya.

“Semasa balik kursus pengurusan jenazah, Kak Ana berkata pusing ‘area’ sini kejap Isma, sambil tunjuk satu kawasan perkuburan. Kalau Kak Ana meninggal tanam di sini, nanti Isma datang sedekah Al-Fatihah untuk Kak Ana tau,” jelasnya dengan nada sebak.

Seorang lagi juara Bintang RTM, Azharina Azhar, 38 tahun, pula menulis di Instagram:


“Kak Rohana seorang ibu yang penyayang, kakak yang prihatin, selalu ada untuk menyokong kerjaya nyanyian Nina (panggilan Azharina), rajin bertanyakan khabar serta berhati mulia. Murah senyuman serta suka berjenaka.

“Akan senantiasa merinduimu Kak Rohana. Semoga Allah tempatkan kakak di sisi orang beriman terang dan lapang kuburmu serta selalu dalam lindungan api neraka. Akan selalu merinduimu.”

Datuk Azizul Khamis yang mengenali Allahyarhamha Rohana sejak 1980, pula terkenangkan sifat pemurah Rohana yang tidak pernah berkira, malah, tidak keberatan menghulurkan wang ketika dirinya memerlukan bantuan, suatu ketika dahulu.

“Orang mungkin tidak tahu, arwah sebenarnya baik hati. Kalau perlukan duit, arwah beri pinjam dan beliau banyak menderma. Walaupun mungkin arwah suka cakap terus-terang apa yang dirasa, namun, hatinya baik,” kata Azizul.

Rohana juga dianggap sebagai seorang pejuang yang tidak pernah putus asa apabila diuji dengan penyakit atau dunia seni. Beliau pernah memasuki Bintang RTM sebanyak dua kali dan gagal pada percubaan pertama.


Pada 1986, Rohana menggantikan tempat Datuk Jamal Abdillah menyanyikan lagu Cinta Yang Terbiar dan mendapat tempat ketiga untuk kategori Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL).


Ketika AJL Ketiga, Allahyarhamha berjaya merangkul gelaran naib juara untuk kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Rayuanku.


Beliau juga berkemahiran menjahit selain gemar menjamu kawan-kawan dengan air tangannya.

Beliau meninggalkan suaminya, Jahangir Khan dan tiga anak mereka, Rosella, Shakira Idora dan Kilafairy.

Al-Fatihah buat Rohana. Moga beliau ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >