Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

S’pura bakal sedia 700 pekerjaan baru dalam pengurusan rantaian bekalan

Jul 10, 2023 | 07:04 PM



Sebanyak 700 pekerjaan baru dalam pengurusan rantaian bekalan (SCM) bakal ditawarkan dari sekarang hingga 2025 bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), dan ini akan memerlukan pengetahuan dan kemahiran digital yang lebih tinggi.

Dalam ucapannya di acara ‘Singapura – Hab Pengurusan Rantaian Bekalan Terkemuka di Asia’ yang berlangsung di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata banyak syarikat sedang membangunkan keupayaan SCM, dengan rangkaian pengilangan kian berkembang di Asia Tenggara dan Singapura.

“Memandangkan graviti ekonomi sedang beralih ke Asia Tenggara, Singapura memberikan peluang yang menarik bagi syarikat membawa kegiatan SCM mereka di sini.

“Ini mewujudkan peluang baru bagi Singapura,” kata Cik Low

Anggaran 700 pekerjaan yang bakal ditawarkan itu hasil kajian Perancangan Perubahan Pekerjaan (JTM) SCM yang menunjukkan bahawa separuh daripada pemimpin perniagaan yang mempunyai operasi rantaian bekalan di Asia Pasifik merancang untuk mengembangkan keupayaan pengilangan mereka di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau turut berkongsi bahawa syarikat perkapalan dan logistik Maersk akan menubuhkan pusat pengedaran serantau keduanya di Singapura.

“Ini akan menjadikan Singapura sebagai hab logistik utama dalam rangkaian rantaian bekalan, menyediakan perkhidmatan bernilai tinggi seperti penjagaan kesihatan, gaya hidup, kasut dan pakaian serta produk harian,” ujar Cik Low.

Dalam dekad akan datang, Pelabuhan Tuas juga akan menjadi pelabuhan automatik terbesar di dunia yang mempunyai keupayaan mengendalikan kapal kontena terbesar.

Pada masa yang sama, Lapangan Terbang Changi juga akan meningkatkan keupayaan pengendalian kargo udara tahunannya sebanyak 80 peratus setelah zon Perindustrian Timur Changi siap.

Menurut Cik Low, Singapura juga mempunyai 27 perjanjian perdagangan bebas dan sedang meneruskan kerjasama antarabangsa untuk “menggalakkan kepercayaan, keterbukaan dan daya tahan yang lebih besar dalam rantaian bekalan sejagat”.

Ia juga telah mula membina rangkaian Perjanjian Ekonomi Digital (DEA) dengan rakan kerja di seluruh dunia, yang bertujuan menggalak perdagangan digital dan ketersambungan selain memupuk keupayaan untuk saling beroperasi mengikut standard dan sistem.

Cik Low menekankan komitmen kuat Singapura dalam memastikan laluan perdagangan dan pelabuhan kekal terbuka walaupun dalam masa krisis seperti semasa pandemik Covid-19, apabila pelabuhan PSA memainkan peranan membantu menghubungkan dan mempercepat penghantaran ke serata dunia.

Singapura juga merupakan tuan rumah bagi pangkalan hab SCM yang kian berkembang seperti hab bekalan produk P&G yang mengoptimumkan perancangan dan mengurus risiko permintaan dan bekalan di seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.

Bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dan berdaya saing, pemerintah juga sedang menyokong syarikat untuk melatih pekerja mereka dan membantu pencari kerja setempat memperoleh kemahiran yang relevan dan baru muncul, kata Cik Low.

Singapura mempunyai kira-kira 70,000 karyawan SCM yang meraih gaji median kira-kira $5,900, lebih tinggi daripada gaji median nasional sebanyak $4,680, menurut data Kementerian Tenaga Manusia (MOM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >