Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

‘Utara Gaza hadapi kebuluran menyeluruh’

Hamas pertimbang ‘dengan serius’ usul gencatan senjata dalam pertemuan dengan pengantara Mesir, Qatar
May 05, 2024 | 02:56 PM



WASHINGTON: Ketua program makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bahagian utara Gaza kini berada dalam keadaan “kebuluran menyeluruh”.


Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, Cik Cindy McCain, menegaskan sekali lagi bahawa adalah penting untuk mengadakan satu gencatan senjata dalam konflik antara Israel dengan Hamas.

“Kini terdapat... kebuluran menyeluruh di utara (Gaza) dan ia sedang merebak ke selatan.

“Apa yang kami minta dan apa yang kami terus minta ialah gencatan senjata serta akses yang selamat dan tanpa halangan... ke Gaza melalui pelbagai pelabuhan dan pintu sempadan,” ujar Cik McCain dalam petikan wawancara yang diterbitkan pada 3 Mei.

WFP adalah antara kumpulan bantuan kemanusiaan yang sedang berusaha mengirim bekalan seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan ke Gaza.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada 3 Mei bahawa bekalan makanan yang ada di Jaluran Gaza pada masa ini bertambah baik sedikit.

Bagaimanapun, risiko kebuluran terus wujud di wilayah Palestin itu yang merupakan tempat tinggal bagi sekitar 2.4 juta orang.

Israel berulang kali menuduh PBB dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tidak mengagihkan bekalan bantuan kemanusiaan dengan cepat.

Namun, pelbagai agensi bantuan kemanusiaan menyatakan bahawa hanya sedikit bekalan makanan keperluan harian dapat dihantar ke kawasan Palestin disebabkan sekatan dan pemeriksaan yang dikenakan oleh Israel.

Lebih 34,000 orang telah terkorban di Gaza selepas serangan dan pengeboman Israel sebagai membalas serangan Hamas pada 7 Oktober yang telah membunuh 1,200 orang dan 240 yang lain ditawan sebagai tebusan.

Pertubuhan bantuan kemanusiaan memberi amaran beberapa bulan lepas bahawa serangan Israel ke atas Gaza telah menjurus penduduk wilayah itu ke ambang kebuluran.

Dalam pada itu, perunding Hamas telah memulakan perbincangan yang intensif pada 4 Mei mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza yang boleh membawa kepada langkah memulangkan beberapa tebusan kepada Israel.

Rundingan di Mesir itu turut dihadiri Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Encik William Burns.

Seorang pegawai Hamas dan penasihat kepada ketua Hamas Ismail Haniyeh, Encik Taher Al-Nono, berkata pertemuan dengan pengantara Mesir serta Qatar telah bermula dan Hamas sedang mempertimbang cadangan mereka dengan serius dan bertanggungjawab.

Namun, beliau mengulangi tuntutan bahawa sebarang perjanjian harus termasuk penarikan Israel dari Gaza dan menamatkan perang, syarat-syarat yang ditolak oleh Israel sebelum ini.

Sementara itu, seorang pegawai Israel memberi isyarat bahawa kedudukan teras Israel tidak berubah, mengatakan mereka tidak akan bersetuju untuk menamatkan perang dalam perjanjian untuk membebaskan tebusan. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >