Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Usaha diplomatik AS redakan konflik ekoran hasrat Israel teruskan perang di Gaza

Jan 09, 2024 | 02:54 PM



GAZA/TEL AVIV/KAHIRAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, dijadualkan bertemu dengan pemimpin Israel dalam usaha terbaru mengekang konflik Gaza daripada merebak ekoran kenyataan tentera Israel bahawa peperangan menentang Hamas akan berlangsung sepanjang tahun.


Encik Blinken tiba di Tel Aviv pada 8 Januari untuk memberi taklimat kepada pemimpin Israel mengenai rundingan dua harinya dengan pemimpin Arab mengenai keperluan menamatkan perang yang dicetuskan oleh serangan militan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober yang membunuh sekitar 1,200 dan menahan 240 tebusan.

Beliau juga akan menggesa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, “supaya melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi penduduk awam di Gaza dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin”.

Israel mesti membenarkan orang awam Palestin yang kehilangan tempat tinggal pulang ke rumah mereka di Gaza, kata Encik Blinken sebagai respons kepada gesaan anggota sayap kanan pemerintah Israel supaya mereka berpindah ke negara lain.

Portal berita Axios memetik dua pegawai kanan Israel sebagai menyatakan bahawa mereka akan memberitahu Encik Blinken bahawa Israel tidak akan membenarkan rakyat Palestin dari utara Gaza pulang ke rumah mereka jika Hamas enggan membebaskan lebih ramai tebusan Israel yang masih ditahannya.


Serangan balas Israel telah meragut lebih 23,000 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan sebahagian besar kawasan pinggir pantai yang kecil itu dan menyebabkan sebahagian besar penduduk seramai 2.3 juta orang kehilangan tempat tinggal, mewujudkan krisis kemanusiaan yang semakin buruk.

Encik Netanyahu telah berikrar mahu meneruskan perang itu sehingga Hamas dimusnahkan. Tetapi beliau menerima tekanan semakin meningkat daripada Amerika, sekutu terdekatnya, dan pemimpin Arab untuk mengurangkan serangan itu.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata beliau telah “secara senyap-senyap” berusaha menggalak Israel meredakan serangannya dan “keluar dari Gaza dengan ketara”.

Pegawai Israel berkata operasi tenteranya kini memasuki fasa baru yang lebih disasarkan kepada Hamas dan tiada penangguhan dalam pertempuran di medan perang.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata “campuran angkatan yang berbeza” sedang memburu pejuang Hamas di utara, di tengah Gaza dan sekitar bandar selatan Khan Younis.

“Kami mengendalikan pertempuran yang sukar di tengah dan selatan. Pertempuran akan berterusan sepanjang 2024,” tambahnya.

Tentera Israel mengebom bahagian timur Khan Younis dan tengah Gaza di tengah-tengah pertempuran darat, kata penduduk Gaza.

Sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, berkata pejuangnya melepaskan peluru berpandu ke Tel Aviv sebagai tindak balas kepada apa yang dipanggil “pembunuhan beramai-ramai Zionis terhadap orang awam”.

Dan sebagai tanda perang semakin merebak, Israel telah membunuh seorang komander tertinggi Hezbollah, yang merupakan sekutu Hamas, di selatan Lebanon pada 8 Januari, kata sumber.

Encik Blinken terbang ke Tel Aviv selepas perbincangan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi untuk cuba melakarkan jalan keluar daripada babak paling berdarah yang pernah berlaku dalam konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad. Ia merupakan misi keempat beliau ke rantau ini sejak Oktober 2023.

Bercakap kepada pemberita selepas bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di bandar Saudi, Al Ula, Encik Blinken berkata beliau masih mendapat sokongan pemimpin Arab untuk matlamat Israel menormalkan hubungan.

Tetapi itu akan “memerlukan konflik berakhir di Gaza” dan “laluan praktikal ke sebuah negara Palestin”, kata Encik Blinken yang telah mengadakan perbincangan di Jordan dan Qatar pada 7 Januari.

Putera Mohammed bin Salman menekankan peri penting menghentikan permusuhan dan mencari jalan menuju keamanan, lapor agensi berita negara Saudi, SPA.


SPA berkata putera mahkota itu juga menekankan keperluan untuk memastikan hak rakyat Palestin yang sah.


Raja Abdullah daripada Jordan pula berkata pencerobohan dan serangan berterusan tidak boleh membawa keamanan atau keselamatan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >