Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Oregon di Amerika bercadang haramkan dadah

Feb 19, 2024 | 06:11 PM



PORTLAND (Oregon): Adalah menjadi suatu pemandangan biasa di jalan-jalan di pusat bandar Portland, Oregon, orang bersidai di hadapan kedai, restoran dan hotel, di kaki lima, sudut dan bangku, membongkok dengan pemetik api dinyalakan pada selembar kertas timah timah atau paip yang mengandungi dadah meth.


Ada di antara mereka berselimut menutup kepala mereka, atau membongkok di belakang penghadang konkrit. Sementara yang lainnya tidak cuba bersembunyi.

“Sepanjang musim panas, kami berada di tempat terbuka. Anda tidak perlu khuatir lagi, anda tidak perlu risau tentang polis,” kata John Hood, seorang penagih dadah berusia 61 tahun, yang tinggal di jalan-jalan di bandar paling ramai penduduk di Oregon.

Hood bercakap kepada agensi berita Reuters di sudut pusat bandar Portland, di seberang tempat dia menghisap fentanyl dan methamphetamine di luar sebuah stesen bas lama, yang menjadi tempat perlindungan gelandangan.


“Ia seperti menghisap rokok. Anda baru sahaja melakukannya, dan anda tidak perlu risau mengenainya. Sekarang mereka bertindak balas. Mereka mahu mengharamkannya.”

Warga Oregon pada tahun 2020, meluluskan undang-undang dadah paling liberal di Amerika Syarikat, membenarkan pemilikan sejumlah kecil dadah terlarang dan menyalurkan ratusan juta dolar cukai ganja kepada perkhidmatan pemulihan ketagihan.

Apa yang dikenali sebagai Measure 110 disebut-sebut sebagai pendekatan revolusioner, menganggap ketagihan sebagai perkara kesihatan awam, bukan jenayah.


Keraguan di sekelilingnya datang ketika bandar-bandar di seluruh Amerika sedang mencari penyelesaian untuk krisis dadah.

Di peringkat nasional, jumlah kematian akibat mengambil dadah berlebihan di Amerika Syarikat, mencecah 100,000 buat kali pertama pada tahun 2021.

Ini berlaku sedang krisis kesihatan akibat Covid melanda, dan muncul pula isu peningkatan masalah kesihatan mental dan ketersediaan ubat maut yang meluas.

Di bawah peraturan Measure 110, bukannya menangkap pengguna dadah, malah polis menyediakan tawaran $100 bersama-sama dengan kad yang menyenaraikan nombor ke talian hotline untuk perkhidmatan rawatan ketagihan, yang boleh mereka hubungi.


Mereka yang abaikan larangan, tidak dikenakan tindakan undang-undang. Data negeri menunjukkan hanya 4 peratus orang yang menerima tawaran supaya menghubungi talian hotline.

Kini, berdepan tekanan awam di tengah-tengah lonjakan kematian akibat mengambil dadah berlebihan, penggubal undang-undang negeri sedang bersedia mengundi mengharamkannya semula, pada sesi yang bermula awal bulan ini.

Parti Demokrat, yang merupakan majoriti dalam dewan negara, mendesak rang undang-undang untuk menjadikan pemilikan dadah berskala kecil sebagai salah laku tahap rendah, boleh dihukum penjara sehingga 30 hari, dengan peluang mendapatkan rawatan dan bukannya menghadapi pertuduhan.

Measure 110 mendapat sokongan daripada 58 peratus pengundi, termasuk 74 peratus pengundi di Multnomah County Portland. Undang-undang itu telah berkuat kuasa pada Februari 2021.


Menurut tinjauan pada Ogos 2023 oleh Emerson College, 56 peratus warga Oregon menyokong pemansuhan Measure 110; dan 64 peratus menyokong supaya dilakukan perubahan undang-undang.


“Ia menjadi sangat, sangat jelas bahawa apa yang berlaku di jalan-jalan di Portland, dan apa yang berlaku di Main Street, Oregon, tidak boleh diterima,” kata pemimpin majoriti senat negeri, Cik Kate Lieber, seorang anggota Demokrat yang mempengerusikan bersama jawatankuasa penggubal undang-undang menentang penagihan.

Rang undang-undang yang dicadangkan juga membawa hukuman lebih keras untuk pengedar dadah, akses yang lebih luas kepada ubat untuk ketagihan dadah, dan perkhidmatan pemulihan dan perumahan yang diperluaskan bersama-sama dengan program pencegahan dadah.

Penggubal undang-undang Republikan berkata, rang undang-undang itu gagal. Cadangan mereka sendiri termasuk penjara sehingga setahun kerana memiliki dadah, dengan pilihan untuk rawatan dan percubaan sebagai ganti masa penjara.

“Kami memerlukan hukuman yang serius untuk memastikan orang ramai mendapat rawatan, berbanding kekal di jalanan,” kata ketua minoriti senat negeri, Encik Tim Knopp.

Portland, sebuah bandar dengan kira-kira 630,000 penduduk yang terkenal dengan kedai kopi, laluan basikal, kedai buku dan kilang pengeluar minuman keras, telah lama bergelut dengan gelandangan.

Pandemik Covid-19 menyaksikan pusat bandar yang biasanya rancak dan sibuk, terhakis oleh penutupan perniagaan.

Bahagian hadapan kedai telah dikepung. Khemah-khemah serta sampah sarap berselerak di sepanjang kaki lima.

Sebaik sahaja krisis fentanyl bertapak di Oregon pada 2019, penggunaan opioid sintetik meletup.


Tera Hurst, yang menerajui Perikatan Pemulihan Keadilan Kesihatan Oregon yang fokus pada pelaksanaan Measure 110, tidak percaya perubahan undang-undang yang dicadangkan itu akan berkesan.


Kematian akibat mengambil dadah berlebihan, meningkat sebanyak satu pertiga di Oregon dari 2019 hingga 2020, dan 44 peratus lagi pada 2021, menurut perangkaan negeri itu.

Universiti New York, menerusi kajiannya mendapati, tiada hubungan ketara antara undang-undang baru dan peningkatan bilangan mereka yang mengambil dadah berlebihan.

Universiti Toronto, dalam hasil kajian mereka pula mendapati sebaliknya.

Di seluruh negara, kematian akibat mengambil dadah berlebihan, tidak menunjukkan peningkatan ketara – dengan 108,825 rakyat Amerika maut pada 2022 kepada lebih daripada 109,000 pada 2023.

Peningkatan di Oregon dalam tempoh itu ialah 11 peratus, meletakkannya di antara tujuh negeri dengan peningkatan peratusan dua angka, menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika. – Reuters.

Dana Measure 110 Oregon lambat diagihkan kepada program pemulihan, menurut audit negara. Prasarana rawatan dadah di negeri ini, tidak mencukupi menurut undang-undang.


Data persekutuan Amerika dari 2020 meletakkan Oregon sebagai tempat terakhir di negara ini, untuk akses kepada rawatan dadah, disebabkan oleh sejarah kurang pelaburan.


Jika Measure 110 dimansuhkan atau ditukar, Hood menjangkakan dia akan terus menggunakan dadah, walaupun dengan lebih berhati-hati.


“Saya akan kembali ke bawah tanah dan menyembunyikannya, dan hanya kembali kepada cara lama. Saya harap saya tidak ditangkap,” katanya.


“Saya pasti suatu hari nanti saya akan bangun dan ingin mendapatkan bantuan.”– Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >