Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel gesa 1.1j penduduk Gaza pindah ke selatan dalam masa 24 jam jelang serangan darat

Oct 13, 2023 | 05:13 PM



TEL AVIV: Tentera Israel pada Jumaat mengarahkan orang awam di kota Gaza – sekitar 1.1 juta orang – supaya berpindah ke selatan dalam tempoh 24 jam ketika ia menghimpunkan kereta kebal berhampiran Semenanjung Gaza menjelang serangan darat yang bakal dilancarkan.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pihaknya dimaklumkan oleh tentera Israel, lewat malam Khamis. Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata:

“PBB merayu sungguh-sungguh agar sebarang arahan sedemikian, jika sah, dibatalkan bagi mengelakkan tragedi ini berubah menjadi suatu malapetaka.”

“Sekarang adalah masa untuk berperang,” kata Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, ketika pesawat pejuang Israel terus membedil Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan mengejut kumpulan Hamas pada Sabtu.

Tentera Israel berkata ia akan beroperasi “dengan ketara” di kota Gaza dalam beberapa hari akan datang dan orang awam hanya akan dapat pulang apabila pengumuman lanjut dibuat.

PBB berkata jumlah penduduk terbabit meliputi hampir separuh daripada keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza, manakala kawasan utara Wadi Gaza pula termasuk bandar terbesar di Gaza City.

Ia menambah bahawa adalah mustahil untuk pergerakan sedemikian dilakukan “tanpa kesan kemanusiaan yang dahsyat”.

Duta Israel ke PBB, Encik Gilad Erdan, menyifatkan tindak balas PBB terhadap amaran awal Israel kepada penduduk Gaza sebagai “memalukan”.

Seorang pegawai Hamas berkata amaran pemindahan penduduk Gaza adalah “propaganda palsu” dan menggesa rakyatnya supaya tidak terpengaruh dengannya.

Israel telah berikrar untuk memusnahkan kumpulan Hamas yang mengetuai serangan pada Sabtu, tetapi pencerobohan darat ke atas Gaza menimbulkan risiko serius dengan Hamas menahan berpuluh-puluh tebusan yang diculik dalam serangan itu.

Angka kematian di pihak Israel telah meningkat kepada lebih 1,300. Pihak berkuasa Gaza berkata lebih 1,500 rakyat Palestin pula telah terbunuh.

Israel telah meletakkan Gaza, rumah kepada 2.3 juta orang, dalam kepungan.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata tenaga bagi penjana kecemasan kuasa elektrik di hospital di Gaza akan kehabisan dalam beberapa jam dan Program Makanan Sedunia PBB (WFP) memberi amaran bahawa makanan dan air minuman hampir kehabisan di Gaza.

“Sengsara manusia yang disebabkan oleh peningkatan konflik ini adalah menjijikkan dan saya memohon pihak-pihak yang terlibat supaya mengurangkan penderitaan orang awam,” kata pengarah wilayah ICRC, Encik Fabrizio Carboni.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB (UNRWA) berkata ia telah memindahkan pusat operasi dan kakitangan antarabangsanya ke selatan Gaza untuk meneruskan operasi kemanusiaan dan menyokong kakitangannya serta pelarian Palestin.

“Kami menggesa Pihak Berkuasa Israel supaya melindungi semua orang awam di tempat perlindungan UNRWA termasuk sekolah,” kata agensi itu di platform media sosial X.

Dalam usaha mendapatkan sokongan terhadap tindak balasnya terhadap Hamas, pemerintah Israel menunjukkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, dan Menteri Pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) imej grafik kanak-kanak dan orang awam yang mereka dakwa dibunuh kumpulan Hamas dalam serangan hujung minggu di Israel.

Encik Blinken berkata mereka menunjukkan tubuh seorang bayi “dipenuhi dengan peluru”, tentera dipenggal kepala dan mangsa yang dibakar di dalam kereta mereka.

“Ini adalah perbuatan keji... ia benar-benar melampaui apa yang kita boleh bayangkan,” kata Encik Blinken. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >