Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'BN mampu bentuk kerajaan'

Nov 19, 2022 | 5:30 AM
SOKONGAN PENGUNDI: Timbalan pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (depan, dua dari kiri), berkata parti itu berupaya membentuk kerajaan kerana tiada isu besar yang boleh menggugatnya. - Foto ASTRO AWANI
SOKONGAN PENGUNDI: Timbalan pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (depan, dua dari kiri), berkata parti itu berupaya membentuk kerajaan kerana tiada isu besar yang boleh menggugatnya. - Foto ASTRO AWANI -

JEMPOL: Barisan Nasional (BN) berupaya membentuk kerajaan kerana tiada isu besar yang boleh menggugat parti itu, kata timbalan pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Tiada isu-isu besar, parti telah memutuskan calon PM (perdana menteri) kita ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," kata beliau kepada para pemberita selepas menyertai program Sepetang Bersama Tok Mat, di Dewan Felda Raja Alias 2, kelmarin.

Datuk Mohamad, dipetik oleh akhbar Malay Mail sebagai berkata, keyakinan beliau itu berdasarkan maklumat terkini dari satu tinjauan terhadap sikap para pengundi, yang menunjukkan mereka menyokong parti ini.

"Umno menjalankan banyak kajian terperinci, kami turun ke lapangan, kita mempunyai banyak cawangan di seluruh negara.

"Di beberapa tempat kita mempunyai peluang 50 peratus, tetapi di kawasan-kawasan yang ada persaingan tiga atau empat penjuru, kita tidak memerlukan 50 peratus... dapat 43 hingga 45 peratus undi sudah mencukupi," ujarnya, seperti dilapor agensi berita tempatan.

Sementara itu, pengerusi BN yang juga presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi , menggesa para pengundi di Bagan Datuk supaya beringat bahawa banyak projek telah dibatalkan semasa perikatan BN tidak memegang kuasa.

"Musuh kita muncul sekali lagi di Bagan Datuk untuk menyebar provokasi politik menjelang hari mengundi.

"Bagaimanapun, cuba kita ingat kembali projek-projek pembangunan yang telah mereka batalkan semasa mereka berkuasa," kata Datuk Ahmad Zahid dalam laman Facebok yang diunggahnya kelmarin.

Katanya, beliau tidak pernah memandang remeh akan para penduduk di kawasan undinya dan faham akan tanggungjawabnya untuk membalas kepercayaan yang telah mereka beri sejak beliau mula menjadi ahli parlimen (AP) buat pertama kalinya di situ.

Penyandang kerusi Bagan Datuk itu kemudian menarik perhatian dengan menyatakan beliau telah menyediakan projek pembangunan bernilai RM236.69 juta ($71.42 juta) selama menjadi AP di situ, termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara, Jembatan Bagan Datuk dan Kompleks Sukan Bagan Datuk.

Beliau juga menyebut senarai beberapa projek yang telah dibatalkan apabila "musuh" BN berkuasa, termasuk projek perumahan awam, maktab masyarakat tempatan dan taman perindustrian.

Dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini, Datuk Ahmad Zahid menghadapi pertandingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Encik Muhammad Faiz Na'aman; Datuk Seri Shamsul Iskandar dari Pakatan Harapan (PH); dan calon bebas, Encik Tawfik Ismail, anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg