Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amaran banjir kilat dikeluarkan bagi KL, enam negeri lain

Nov 10, 2022 | 5:30 AM
BANJIR KILAT: Musim tengkujuh timur laut melanda Malaysia kelmarin, lebih awal daripada yang dijangkakan tahun ini. - Foto TWITTER ALYAA_HALIQA
BANJIR KILAT: Musim tengkujuh timur laut melanda Malaysia kelmarin, lebih awal daripada yang dijangkakan tahun ini. - Foto TWITTER ALYAA_HALIQA -

PETALING JAYA: Amaran terjadinya banjir kilat telah dikeluarkan di seluruh Malaysia, sedang kempen bagi pilihan raya umum (PRU) terus diadakan di merata negara.

Amaran dikeluarkan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Johor, Melaka dan Sarawak.

Sebahagian Shah Alam di Selangor telah dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak 3 petang kelmarin, menurut laporan akhbar The Star.

Dalam catatan Facebook, anggota dewan undangan Kota Kemuning, Encik V. Ganabatirau, menulis bahawa banjir telah dilaporkan di Bukit Kemuning dan Bukit Rimau di Shah Alam.

Di halaman Twitter pula, Encik Rafique Rashid, yang bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Shah Alam, menyuarakan rayuan segera agar diberi maklumat lanjut tentang kedudukan banjir.

"Laporan-laporan tentang banjir kilat di Shah Alam berlaku lagi. Ini sudah dijangkakan. Saya sekarang berada di Balai Polis U8 untuk memastikan tentang maklumat tersebut," tulisnya.

"Pasukan kami sekarang ini berada di lapangan (Seksyen 17 dan 18) dan saya sendiri sedang menunggu tindakan yang akan diambil. Harap beri kami maklumat lanjut dengan segera."

Musim tengkujuh timur laut melanda Malaysia kelmarin, lebih awal daripada yang dijangkakan tahun ini.

Jabatan kaji cuaca Malaysia mengeluarkan amaran Ahad lalu bahawa hujan berterusan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai kelmarin hingga Jumaat ini.

Rakyat Malaysia dijadualkan keluar mengundi pada 19 November ini, dan beberapa pengundian akan dijalankan lebih awal iaitu pada 15 November ini.

Pemerintah pimpinan Umno telah dibidas kerana memutuskan untuk mengadakan pilihan raya semasa musim banjir, padahal mereka mempunyai masa hingga September tahun depan untuk berbuat demikian.

Orang ramai telah menggunakan media sosial untuk melepaskan kekecewaan mereka.

Salah seorang daripada mereka merungut melalui halaman Twitter dengan berkata:

"Berhati-hatilah. Shah Alam sudah mula banjir dan tak taulah mengapa kerajaan mahu mengadakan juga pilihan raya dalam musim banjir yang buruk ini."

Akhbar berbahasa Inggeris, The Malay Mail melaporkan bahawa calon pembangkang Pakatan Harapan bagi Shah Alam, Encik Azli Yusof, telah membatalkan dua acara yang telah dijadualkan berlangsung semalam bagi membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir.

Banjir di Malaysia yang berlaku tahun lalu adalah yang terburuk dalam sejarah negara itu, apabila 54 orang terbunuh dan kerosakan dianggar berjumlah sekitar RM6.5 bilion ($2 bilion).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg