MENJADI relawan di Masjid Darul Aman dan sebagai penjawat awam, Encik Yahya Abdul Ghani akur faktor masa amat penting dalam mengendalikan dua tugasan penting ini. Bapa dua anak perempuan ini juga berpendapat, menyumbangkan tenaga dan berbakti untuk masyarakat Islam setempat dan dimanfaatkan oleh para jemaah, memberikan kepuasan kepadanya.
Encik Yahya, karyawan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan sudah menjadi sukarelawan di masjid ini lebih tiga dekad lamanya. Banyak pengalaman yang telah dikongsi dan diraih sepanjang beliau menjadi ahli Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) di Masjid Darul Aman dan turut memikul tanggung jawab sebagai naib pengerusi masjid sehingga ke hari ini.