Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SportSG bakal lancar platform tempahan kemudahan ActiveSG ‘lebih adil, lebih telus’

Platform baru MyActiveSG+ diperkenal 15 Jun, ganti Sistem Pengurusan Keahlian (MMS)
May 03, 2024 | 12:27 PM



Sistem tempahan kemudahan sukan ActiveSG lebih adil dan telus apabila pengesahan Singpass dan pengundian bagi slot waktu sibuk diperkenal dalam platform keahlian dan tempahan diperbaharui mulai 15 Jun. 

Dinamakan MyActiveSG+, platform baru berasaskan laman web itu akan menggantikan Sistem Pengurusan Keahlian (MMS) semasa, umum Majlis Sukan Singapura (SportSG) pada 3 Mei.

MMS adalah aplikasi mudah alih yang telah digunakan selama 10 tahun dan mempunyai 2.5 juta pengguna sejak 2014.

MyActiveSG+ akan juga menampilkan ciri baru yang berlandaskan pengguna, seperti membentuk akaun keluarga bagi pengguna yang mempunyai anak dan bagi melakukan pembayaran balik dan pembatalan tempahan. 

Langkah itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas dan pemerhatian pengguna selama ini, selain agar selaras dengan tabiat dan permintaan mereka yang semakin berubah, kata SportSG.

Pada 1 Mac, agensi sukan negara itu merintis projek ActiveSG Beta – versi beta sistem tempahan akan datang yang termasuk ciri undian baru untuk slot waktu sibuk.

Seramai 2,000 ahli ActiveSG telah diperkenalkan kepada sistem baru itu untuk mencubanya, menurut SportSG. Mereka boleh berbuat demikian hingga 14 Jun.

MyActiveSG+ dibangunkan dengan kerjasama Produk Pemerintah Terbuka (OGP) dan disokong Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech).

Proses pembangunannya mengambil masa dua tahun mula 2022, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SportSG, Alan Goh, dalam satu taklimat media di Pusat Sukan Delta ActiveSG pada 2 Mei.

“SportSG komited untuk memastikan pengguna kami mempunyai akses kepada kemudahan pada platform yang mudah digunakan dan selamat. Kami telah menimbangkan maklum balas pengguna kami selama ini, dan menyertakannya ketika merancang aplikasi ini,” ujarnya.

Goh berkata aduan paling banyak diterima daripada pengguna ialah tentang kesukaran menempah kemudahan pada slot waktu sibuk dan perbuatan melakukan ‘scripting’ atau ‘bot’ untuk mendapat kelebihan apabila membuat tempahan.

‘Scripting’ adalah bahasa pengaturcaraan yang ditulis oleh penggodam untuk menceroboh sistem komputer, sementara ‘bot’ adalah aplikasi sofwe yang melaksana tugas secara automatik pada Internet.

Dengan MyActiveSG+, ahli dikehendaki menggunakan Singpass untuk mendaftar dan log masuk sistem itu. Ini akan menghalang orang ramai mempunyai pelbagai akaun untuk membuat tempahan dan pengundian. 

Sistem baru itu juga mempunyai ciri pengundian bagi kemudahan yang sukar ditempah pada waktu sibuk.

Waktu sibuk adalah dari 6 petang hingga 10 malam pada Isnin hingga Jumaat, dan dari 7 pagi hingga 10 malam pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Tempahan dibuka 14 hari lebih awal dari tarikh penggunaan kemudahan atau program bermula dan dibuka selama 24 jam.

SportSG berkata ini bertujuan memberi ahli peluang adil dan masa mencukupi untuk menempah slot yang diinginkan. 

Jika berjaya, ahli akan dimaklumkan menerusi SMS mengenai tempahan mereka pada 12 tengah hari esoknya dan diberi masa hingga 11.59 malam untuk membuat pembayaran.

Slot yang tidak ditempah akan dibuka untuk tempahan berdasarkan yang dahulu didahulukan pada 12 tengah hari esoknya.

Tempahan bagi slot bukan waktu sibuk kekal secara yang dahulu didahulukan. 

Antara kemudahan paling popular ialah gelanggang badminton. 

Hingga akhir April, hampir 30 peratus tempahan yang disahkan melalui pengundian menerusi ActiveSG Beta adalah oleh ahli yang tidak menempah kemudahan setahun lalu, kata SportSG. 

Dengan MyActiveSG+, ibu bapa atau penjaga sah akan dapat menghubungkan anak mereka yang berumur di bawah 15 tahun kepada kededua akaun mereka melalui Singpass.

Akaun keluarga juga bakal diperkenalkan pada platform itu.

Mendapatkan bayaran balik dan membatalkan tempahan juga akan lebih mudah. Ciri itu akan diperkenal pada peringkat lanjut.

Sekarang, prosesnya adalah manual dan tempahan yang dibatalkan tidak serta-merta dibuka untuk ditempah pengguna lain.

SportSG berkata peralihan daripada MMS ke MyActiveSG+ akan dilaksana secara berperingkat. 

Mulai 15 Jun, ahli boleh log masuk MyActiveSG+. Mereka akan mendapat Kredit Ulang Tahun ActiveSG sekali sahaja bernilai $10 sempena ulang tahun ke-10 ActiveSG apabila log masuk antara 15 Jun dengan 31 Ogos.

Semua kemudahan dan program boleh mula ditempah di MyActiveSG+ pada 15 Julai, manakala pas musim dan harian ke kolam renang dan gimnasium boleh dibeli mulai 5 Ogos.

MyActiveSG+, dengan semua ciri pentingnya, dijangka boleh mula diguna pada 15 Ogos.

MMS, bagaimanapun, terus dapat diakses hingga 1 Oktober, supaya ahli mempunyai cukup masa untuk membuat peralihan dan dapat merujuk tempahan yang dibuat sebelumnya jika perlu.

Kredit ActiveSG ahli juga akan dipindahkan secara berkumpulan daripada sistem semasa ke MyActiveSG+ antara 15 dengan 30 Jun. 

Semasa tempoh itu pengguna kededua platform boleh menggunakan kredit atau debit kad, PayNow dan kredit Ulang Tahun ActiveSG untuk membayar tempahan dan pembelian mereka.

Ahli juga boleh menggunakan Kredit ActiveSG mereka di MyActiveSG+ mulai 1 Julai. Selain itu, penggunaan semua kredit ActiveSG akan dilanjutkan secara automatik ke 31 Disember 2025.

Dengan sistem baru itu, Active Wallet – MyCash akan ditamatkan pada pertengahan Ogos. Tambah nilai MyCash akan dihentikan pada 15 Mei.

Dari sekarang hingga 14 Ogos, ahli ActiveSG yang mempunyai baki MyCash dalam Active Wallet mereka boleh terus menggunakannya seperti biasa. Sebarang jumlah baki MyCash akan dikembalikan kepada pengguna melalui akaun bank yang dihubungkan dengan Paynow atau kad pengenalan pada 31 Ogos.

SportSG juga akan meningkatkan sokongan untuk pengguna dalam tempoh peralihan ini, seperti mempunyai bantuan di tapak pusat sukan, serta lanjutan waktu operasi pusat hubungan yang boleh dihubungi di talian 1800-344-1177.


“ActiveSG ingin mengucapkan terima kasih kepada ahlinya di atas kesabaran dan pemahaman mereka semasa peralihan ini,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >