Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Sultan Ibrahim disambut di Parlimen S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sultan Ibrahim disambut di Parlimen S’pura

May 07, 2024 | 08:28 PM



Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, merupakan raja pertama Malaysia untuk melawat Bangunan Parlimen ketika sidang berlangsung pada 7 Mei.

Ketika Sultan Ibrahim memasuki Galeri Speaker bersama rombongannya pada 12.10 tengah hari, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, mengumumkan kehadiran mereka dan mengalu-alukan kehadiran para pelawat ke Dewan.

Encik Seah berkata bahawa Sultan Ibrahim, yang melawat Singapura untuk dua hari, bukanlah tokoh asing di Republik ini.

Sultan Ibrahim sentiasa menjadi penyokong gigih dalam menyatukan rakyat Singapura dan Malaysia, tambah beliau.

Lawatan Sultan Ibrahim berlaku tepat pada masanya kerana hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia kukuh dan teguh, dan kerap berlakunya pertukaran di peringkat politik dan pegawai, tambah Speaker.

Sebelum mengangkat sumpah sebagai Agong Malaysia yang ke-17 pada 31 Januari, Sultan Ibrahim telah menerajui kepimpinan Johor sejak 2010.

Encik Seah menyatakan bahawa di bawah kerajaannya, kerjasama Singapura dan Johor bertambah kukuh walaupun ketika dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Speaker, Johor dan Singapura bekerja rapat dalam memastikan talian bekalan merentasi sempadan darat tetap terbuka walaupun tambak ditutup kepada pengembara.

Sebagai mengiktiraf pencapaiannya, Universiti Nasional Singapura (NUS) menganugerahkan kepada Sultan Ibrahim Doktor Undang-Undang Kehormat semasa lawatan rasminya ke Singapura pada 2022.

Sultan Ibrahim diiringi Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Encik Azfar Mohamad Mustafar; serta pegawai kanan lain.

Speaker juga menceritakan kepada Dewan tentang pertukaran yang kerap antara penggubal undang-undang dari kedua-dua pihak.

Pada Mei 2023, Parlimen menjadi tuan rumah kepada anggota Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, manakala pada Oktober, Encik Seah menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatannya, Datuk Johari Abdul, yang ketika itu Speaker Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Sultan Ibrahim melakukan lawatan itu pada masa kedua-dua jiran tersebut mempunyai banyak projek menarik dalam perancangan, kata Encik Seah.

Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dijangka memperkukuh hubungan antara rakyat apabila ia memulakan perkhidmatan menjelang akhir 2026, manakala Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kelihatan bersedia memudahkan perniagaan Singapura membuka kedai di Johor.

Singapura juga sedang meneroka untuk mengembangkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang baru seperti tenaga, kata Encik Seah.

Republik ini akan menyambut ulang tahun ke-100 Tambak pada Jun, dan memperingati 60 tahun hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 2025, tambahnya.

“Saya yakin lawatan Yang di-Pertuan Agong adalah pelopor kepada hubungan yang lebih kukuh antara Singapura dengan Malaysia,” kata Encik Seah.

Sultan Ibrahim turut melawat Laluan Thomson-East Coast bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, dan diberi taklimat mengenai kemajuan RTS Link di perhentian Woodlands North sebelum beliau mengakhiri lawatan di Singapura pada 7 Mei.

Kunjungan itu diiringi Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

“Kami menaiki kereta api dari stesen Springleaf ke stesen Woodlands North di mana kami melihat lorong bawah tanah yang akan menghubungkan Laluan Thomson-East Coast di stesen MRT Woodlands North ke RTS Link, apabila ia dibuka menjelang akhir 2026,” kata Encik Chee dalam catatan Facebook beliau pada 7 Mei.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >