Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Mufti: Peranan penting asatizah bantu masyarakat tangani isu rumit hari ini

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mufti: Peranan penting asatizah bantu masyarakat tangani isu rumit hari ini

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir sentuh tentang peranan penting generasi pemimpin agama hari ini dalam menyumbang kepada pemahaman segar dan mencari jalan penyelesaian baik untuk tangani masalah baru, dalam ucapannya di majlis Hari Raya bersama 400 asatizah pada 3 Mei. Berikut sedutan ucaptama beliau yang disampaikan dalam bahasa Melayu.
May 06, 2024 | 05:43 PM



Saya amat-amat bersyukur dan berterima kasih kepada sekalian para asatizah dan guru-guru agama sudi datang bersama. Kita dapat bertemu dalam majlis tahunan ini bersempena Aidilfitiri al-Mubarak dan tema pada 2024 adalah ‘Bersama Membina Ketamadunan Ilmu dan Kepimpinan Agama di Masa Hadapan’. Semoga dengan pertemuan kita pada malam ini, kita dapat terus merapatkan saf kepimpinan agama di Singapura, menongkah arus masa hadapan, dan memacak batu-bata asas pembinaan masyarakat Islam yang gemilang, yakin, berdaya tahan, dan perkasa.

Alhamdulillah, kemajuan kehidupan beragama di Singapura seiring dengan kemajuan dan pembangunan negara. Kehidupan beragama diwarnai dengan persefahaman dan kesejahteraan bersama antara masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama.

Ini adalah satu keseimbangan yang bukan terjadi secara semula jadi, dan jarang dikecapi di dunia hari ini. Ia adalah natijah daripada usaha kepimpinan agama dan para asatizah sekalian dalam mencorak kehidupan dan pemahaman agama masyarakat kita yang kita cintai yang bercirikan kesederhanaan dan keseimbangan (wasatiyya).

Terima kasih diucapkan kepada para masyaikh dan asatizah sekalian atas segala usaha murni yang telah disumbangkan selama ini. Semoga Allah swt memberkati usaha dan jasa dan pengorbanan antum semua, dan semoga Allah swt juga merahmati para ulama dan asatizah kita yang telah kembali ke rahmatullah. Sungguhpun mereka sudah tidak lagi bersama kita, sumbangan besar mereka tetap kita rasakan dan kita nikmati hingga hari ini.


Pencapaian masyarakat Islam Singapura diakui oleh para cendekiawan dan tokoh-tokoh ilmuan Islam masa kini. Sewaktu muktamar fatwa yang baru diadakan pada Februari lalu, mantan Mufti Bosnia, Sheikh Mustafa Ceric, berkongsi pengalaman beliau bersama para tetamu yang lain dengan mengatakan:


“Dahulu saya pernah berbual-bual bersama Sheikh Syauqi Allam (Mufti Mesir) mengenai bagaimana institusi-institusi fatwa antarabangsa dapat membina kepakaran dan kewibawaan fatwa di negara-negara yang penduduknya merupakan masyarakat Islam minoriti? Tetapi pada hari ini, setelah saya berada di Singapura menghadiri persidangan fatwa di sini, saya telah melihat sendiri potensi Singapura, Muis serta para kepimpinan negara dan agamanya dalam menyumbang kepada pembinaan institusi fatwa antarabangsa di negara-negara majoriti Islam!”


Ramai ulama antarabangsa yang berkongsi pengamatan serupa. Mereka kagum dengan kemajuan masyarakat Islam dan institusi fatwa di Singapura. Mereka juga berkongsi pandangan bahawa masyarakat Islam di sini menjalankan kehidupan beragama yang baik sungguhpun dalam konteks yang amat mencabar. Bahkan kehidupan keagamaan kita di Singapura telah mula dilihat sebagai model dan contoh kejayaan yang mengimbangi dan menghayati nilai-nilai ajaran agama Islam dalam suasana kehidupan kontemporari.

Pengiktirafan dari luar bukan untuk melalaikan ataupun menimbulkan sikap sombong dalam diri kita. Tetapi ia memberikan semangat dan menyuntik keyakinan dalam diri untuk kita meneruskan kebaikan dan menambahkan sumbangan kepada negara, bahkan pada dunia, secara amnya.

Namun kita juga menyedari barangkali masih ada yang mungkin tidak senang dengan cara dan pendekatan kita di Singapura. Penumpuan mereka biasanya hanya pada kekurangan zahir, yang pada hakikatnya melambangkan kelemahan yang ada pada hati dan akal fikiran mereka sendiri.

Namun sepertimana yang kita sedia maklum, telah menjadi sikap dan DNA kita di Singapura. Kita tidak pandai hanya mengungkapkan kata-kata atau pandangan di bibir, tetapi sebaliknya – bahkan sebaiknya – kita bersama-sama menyingsing lengan, bertungkus lumus untuk membina dan membangun. Bukan sikap kita untuk melontarkan komentar mengenai cara orang lain atau masyarakat lain di luar sana, kerana kita akur dan menghormati bahawa setiap masyarakat ada pertimbangannya tersendiri.

Oleh itu, saya mengajak para asatizah sekalian – ayuh kita alihkan perhatian dan tenaga sepenuhnya kepada cabaran mendatang yang menjejas langsung kehidupan beragama masyarakat kita di sini, agar kita dapat terus memperkukuhkan kepimpinan agama yang yakin, berdaya tahan, dan perkasa. Ini kita lakukan dengan terus menabur benih-benih kebaikan dan bekerjasama sesama kita dalam hal-hal kebaikan dan yang meningkatkan ketakwaan sejajar dengan pesanan Baginda Nabi saw.


Perjalanan masyarakat kita dalam membangunkan kehidupan beragama yang cemerlang belum berakhir. Bahkan, sebagai sebahagian daripada sunnatul hayah kita sekarang ini berhadapan dengan cabaran yang amat rumit, amat kompleks lagi berkait. Bahkan kesan kerumitan sedemikian ke atas kehidupan dan juga kepimpinan agama amat ketara.


Kerumitan ini adalah suatu hakikat dan realiti. Ia bukan khayalan atau kata-kata kosong dan teori sahaja, dan bukan juga diungkapkan untuk menakutkan ataupun menjustifikasikan (mewajarkan) sesuatu dasar atau keputusan. Pada malam ini saya ingin berikan empat contoh kerumitan ini agar kita dapat sama-sama memahami dengan baik.


KEHIDUPAN SOSIAL DAN KELUARGA

Saya mulakan dengan bidang kehidupan sosial dan kekeluargaan. Hari ini, sebahagian kita mungkin maklum terdapat pelbagai aliran pemikiran dan gaya hidup di dunia ini secara am. Misalnya, di Asia Timur (Cina, Jepun dan Korea), perkahwinan dan pembentukan keluarga bukan lagi menjadi pilihan utama ramai anak-anak muda, dan trend ini juga mula dilihat menular kepada banyak masyarakat dunia yang lain.

Ada banyak sebab bagi fenomena ini, antaranya adalah tekanan kehidupan berkeluarga, kos sara hidup yang semakin tinggi, tuntutan kerjaya dan sebagainya. Tetapi trend ini akan mengubah demografi masyarakat dan memberi impak kepada cara kita menangani isu kesuburan, penjagaan warga lanjut usia, dan juga pembentukan institusi keluarga secara umum.

Satu lagi cabaran berkaitan dengan kehidupan sosial dan kekeluargaan adalah cabaran yang sering kita dengar – LGBTQ+ dan sebagainya. Kalau dahulu atau pada awalnya ia berkisar sekitar isu homoseksualiti, sekarang ia melibatkan isu jantina dengan pelbagai kerencaman, seperti kecelaruan jantina (gender dysphoria), penukaran jantina (gender reassignment), dan transjantina (transgender). Sikap masyarakat terhadap isu-isu ini juga sudah mula berubah.

Sebagai contoh, pada 2019, kajian yang dijalankan oleh The Institute of Policy Studies (IPS) mendapati golongan muda menunjukkan penerimaan yang lebih tinggi terhadap hubungan sama jantina berbanding golongan lebih berusia. Pada 2023, kajian antarabangsa yang dianjurkan oleh IPS pula mendapati lebih 50 peratus warga Singapura berpendapat pernikahan atau hubungan di antara pasangan sejenis wajar diberi pengiktirafan dari segi undang-undang.

Perkembangan ini dalam masyarakat am menimbulkan banyak permasalahan daripada segi kehidupan beragama, termasuk isu pernikahan, penggunaan tempat awam seperti tandas, dan juga pengurusan institusi agama seperti masjid dan madrasah.

Ramai yang masih beranggapan isu ini adalah isu mudah. Melontarkan kata-kata semudah ‘gejala ini haram’ dan masalah ini akan menjadi beres kalau kita mengulangi kata-kata tersebut atau hukum tersebut. Pastinya, perspektif hukum adalah satu perspektif yang amat kritikal dalam menangani isu ini.

Tetapi terdapat banyak pertimbangan lain yang menjadikan isu ini satu isu yang amat rumit khusus bagi mereka yang menguruskan dasar awam dan menjaga institusi agama kerana ada aspek sebagai contoh hak asasi seseorang, keselamatan awam, permasalahan hukum fikah, maqasid menjaga agama, menyelamatkan akidah, dan banyak lagi pertimbangan lain.

ASPEK CUACA

Yang kedua, saya berpindah kepada aspek cuaca pula, dengan impak pemanasan global dan perubahan iklim amat dirasakan di seluruh dunia. Saya yakin para asatizah dan keluarga semua merasakan kehangatan cuaca dan sebagainya. Bahkan bukan sahaja ketidakselesaan malah angka korban kerana cuaca ekstrem semakin meningkat. Rantau kita sekarang sedang mengalami pemanasan luar biasa, yang diburukkan lagi dengan fenomena El-Nino, atau pemanasan air laut.

Bahkan di Thailand sahaja, sejak awal tahun ini (2024), lebih 30 orang telah terkorban, dengan indeks cuaca di sana mencecah lebih 50 darjah Celsius yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Dan juga, sebelum itu banjir di Oman, yang disifatkan sebagai yang terburuk dalam jangka masa 75 tahun, telah mengorbankan 21 orang. Ringkasnya, cuaca ekstrem semakin menjadi norma kehidupan.


Apabila kita melihat kepada fenomena-fenomena dan angka-angka yang disebutkan tadi, sebagai pemimpin agama, adakah kita pernah terfikir apakah kesannya bagi jangka pendek dan jangka panjang? Mungkin hari ini kita banyak berbicara tentang ketidakselesaan sahaja. Tetapi, cuaca ekstrem ini telah mula menjejas kesihatan, telah menyebabkan kematian, menjejas binatang ternakan, menyebabkan kekurangan air dan putusnya bekalan air di tempat lain, dan sebagainya.


ASPEK TEKNOLOGI

Contoh ketiga ialah dari aspek teknologi, kemajuan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI), banyak permasalahan baharu yang ditimbulkan. Ia telah merubah landskap pekerjaan, pendidikan, komunikasi, bahkan kreativiti digital. Secara positif, ada manfaat daripada perkembangan AI tersebut. Ia dapat memperbanyakkan usaha yang dahulunya mengambil masa amat panjang, ia dapat meringkaskan teks, mengarang serta menterjemah. Ia telah mula mengganti tugas yang biasa dilakukan oleh ramai orang.

Bahkan dalam Muktamar Fatwa yang lalu, kita juga telah menggunakan AI untuk menterjemah beberapa ucapan daripada Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris dan sebaliknya dan ia telah melakukan tugasan yang begitu baik dengan kos yang begitu rendah. Dan sekarang ini ramai yang sedang membicarakan tentang Ustaz AI, Mufti AI, dan sebagainya. Apakah yang seharusnya menjadi sikap kita dalam menangani isu sedemikian?

ASPEK GEOPOLITIK

Contoh terakhir, dari aspek geopolitik pula, isu yang sangat berat, yang sangat rumit, yang sangat mengkhuatirkan seperti situasi di Timur Tengah. Kita dapat melihat kerumitan dalam pendirian negara-negara Arab sebagai contoh. Mereka cuba mengimbangi antara keperluan ekonomi dengan kestabilan negara masing-masing. Pada masa yang sama, mencari kestabilan dan keamanan serantau dan membantu penduduk Gaza dan Palestin.

Negara kita juga telah mengambil pendiriannya tersendiri, dan ini telah beberapa kali dijelaskan oleh pihak pemerintah. Pada masa yang sama, ramai yang masih menuntut tindakan yang lebih keras ke atas Israel daripada aspek politik dan ekonomi. Dan kita tahu juga bukan sahaja di Timur Tengah. Banyak konflik lain yang masih berterusan, semuanya ada kait-mengait. Setiap negara yang terlibat dalam konflik lain ada kait-mengait dengan satu sama lain dan impaknya yang mendalam ke atas kestabilan dan ekonomi sejagat termasuk di Singapura.


CABARAN RUMIT DAN SALING BERKAIT

Jadi ringkasnya, para asatizah sekalian, semua ini merupakan contoh-contoh cabaran yang rumit kerana ia tidak melibatkan hanya satu aspek, satu perspektif ataupun satu pendapat sahaja. Semuanya terkait dengan pelbagai dimensi dan aspek kehidupan. Dan pendirian dan keputusan yang diambil akan meninggalkan pula pelbagai kesan, sama ada dalam tempoh singkat, mahupun bagi jangka masa lebih panjang.


Situasi ini menjadi lebih merunsingkan dalam konteks dunia kita yang lebih terbuka, banyak suara dan pelbagai pandangan awam. Masing-masing dengan perspektif berbeza, seringkali bercanggah antara satu sama lain. Semua berasa dialah yang benar, persepsinya sahaja yang tepat. Maka, pemikiran sebegini telah menimbulkan lebih banyak ketegangan dan menyebabkan perpecahan.


Berlatarbelakangkan situasi ini, peranan kepimpinan agama dalam kalangan asatizah di Singapura menjadi semakin penting sekali. Apakah respons dan persiapan kita? Izinkan saya beri empat strategi utama dalam kita menyusun langkah mempersiapkan diri bagi kerumitan dan keterkaitan akan datang.


PERKUKUH KEROHANIAN DAN TAKWA

Pertama adalah untuk kita memperkukuhkan lagi kerohanian dan ketakwaan kita, khusus dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah membimbing masyarakat. Sebagai asatizah dan pewaris para Nabi, kita harus berada pada tahap tertinggi dari segi akhlak dan etika.

Bibir kita harus sentiasa dibasahi dengan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai zikir. Ia diibaca, ditadabbur, dan diamalkan. Begitu juga sunah junjungan Nabi kita saw yang harus menjadi pedoman dan pegangan dalam segala gerak-geri dan muamalah kita sesama manusia. Antara hasilnya, adalah sikap amanah dan itqan dalam tugasan seharian kita. Kita berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik, tidak bersikap sambil lewa dalam bertugas. Kerana itu, Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) memberi penekanan kepada kod etika yang dapat memelihara integriti dan kredibiliti asatizah sebagai pemimpin agama.


PERKASA TAMADUN ILMU

Kedua adalah kita perlu memperkasakan ketamadunan ilmu di Singapura. Dalam menangani isu hari ini dan hari muka, generasi kita inilah yang bertanggungjawab membangunkan dan memperkasakan ketamadunan ilmu, dengan menyumbangkan pemahaman yang segar dan mencari jalan penyelesaian yang baik bagi permasalahan baharu yang kita hadapi. Hubungan kita dengan turath Islami adalah hubungan yang membina, mengupaya dan mengkayakan, bukan yang melemahkan atau memincangkan kita daripada mengatasi cabaran-cabaran kita sendiri.


Antara tanggungjawab asas kita sebagai golongan intelek agamawan adalah untuk menterjemahkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai syariah yang terkandung dalam nas-nas agama bagi mencari panduan bagi permasalahan hari ini dan hari muka. Saya berikan satu contoh sahaja: prinsip raf’ul haraj, yang kita sering dengar dalam urusan manasik haji, kerana dirujukkan kepada pesanan Nabi saw dan panduan Nabi saw “if’al wa la haraj”, tetapi merupakan dasar agama yang penting.


Pada pandangan saya, masih jauh lagi perjalanan kita dalam menghayati dan menggarap banyak prinsip dan ruh syariah dengan cara yang baik, cara yang menyeluruh dan cara yang konsisten. Apatah lagi sekarang ini kita amat perlu menitikberatkan tentang kesenian proses penggubalan hukum-hakam, membincangkan sesuatu isu menjangkau syarat dan rukun dengan memberi tumpuan kepada persoalan maqasid dan hikmah yang tersirat dalam perintah agama.

Dalam turath Islami, terdapat banyak konsep, kaedah, contoh dan iktibar yang boleh menjadi sandaran dalam aspek kesenian penggubalan hukum yang saya sebutkan tadi. Antaranya adalah al-Fiqh al-iftiradhi (the hypothetical fiqh) yang telah diamalkan oleh para fuqaha semenjak awal sejarah Islam lagi, dengan al-Khatib al-Baghdadi menuliskan dalam kitab, Tarikh Baghdad, satu peristiwa di antara Imam Abu Hanifah dan Imam Qatadah.


Apabila Imam Qatadah membantah soalan daripada Imam Abu Hanifah dalam majlis tersebut, kerana Imam Abu Hanifah menanyakan soalan yang mana belum berlaku lagi, Imam Abu Hanifah menjawab kata-kata yang cukup berhikmah, yang menunjukkan bagaimana para ‘ulama silam kita bersedia untuk soalan sukar, yang mungkin datang pada masa hadapan.

Di Singapura, alhamdulillah, berkat kepimpinan agama yang terdahulu dan juga pandangan jauh mereka, mereka telah menilai isu keterbatasan air dan juga kesan pemanasan global pada masa akan datang, lantas mereka berasakan perlu mencari huraian bagi Singapura secara khusus dan terhasil fatwa NEWater pada 2001. Sekarang ini, alhamdulillah, kita di Singapura tidak dikejutkan dengan pemotongan air atau bekalan air yang tidak cukup. Antara sebabnya, kerana huraiannya telah difikirkan lama sebelum berlaku sesuatu krisis.


Begitu juga persoalan baru seperti daging kultur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa baru-baru ini. Ada sebahagian yang mempersoalkan keperluan fatwa sedemikian, berhujahkan masih banyak lagi binatang ternakan dan tiada keperluan. Namun, bagaimana kesan pemanasan global dan krisis kekurangan binatang ternakan bukan sesuatu yang dikhayalkan atau masih jauh lagi. Ia telah mula diramalkan oleh pakar-pakar sains kerana mengikut kepada situasi cuaca alam ini. Dan amanah dan tanggungjawab kepimpinan agama adalah untuk memikirkan isu sedemikian dari awal lagi dan membuat persiapan yang wajar. bukan seperti pepatah Inggeris, ‘kick the can down the road’, maknanya kita biarkan orang lain selepas kita untuk menyelesaikan masalah yang berat.


Kerana itu, saya melihat di antara tanggungjawab saya dan Pejabat Mufti adalah untuk membina generasi yang bersedia mencari huraian baru bagi banyak isu yang dihadapi. Pejabat Mufti telah melancarkan program Makmal Fatwa (Fatwa Lab) di Muktamar Fatwa pada Februari lalu yang disertai 17 Asatizah muda, membincangkan isu (i) Teknologi Makanan, (ii) Kewangan, (iii) Kecerdasan Buatan, dan (iv) Teknologi Perubatan.

Begitu juga Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS) yang mengkaji isu-isu sosioagama terkini. Alhamdulillah, melalui program ini, beberapa asatizah telah menjadi felow kajian, telah mengkaji bidang sirah, halal, kewangan, AI, fatwa dan kekeluargaan.

Saya suka juga memaklumkan pada 2024 tiga lagi felow baru dalam kalangan asatizah telah dilantik. Mereka adalah Ustaz Dr Qusairy Taha, Ustaz Dr Afif Pasuni, dan Ustaz Kamal Mokhtar. Saya mengucapkan tahniah buat mereka dan semoga kajian mereka akan menghasilkan ilmu segar yang dapat memperkasakan lagi ketamadunan ilmu Islam di Singapura. Saya juga ingin menjemput asatizah sekalian dengan kelayakan atau pengalaman yang sesuai untuk menyertai dan memberi sumbangan dalam program RPCS.


Ketiga adalah untuk berganding bahu dan menggembleng tenaga di dalam berbincang mencari huraian sesama kita. Kita harus terus bersatu, bantu membantu di antara satu sama lain kerana banyak perspektif diperlukan dalam mempertimbangkan sesuatu perkara dan cabaran. Saya amat bersyukur dengan kerjasama yang terjalin di antara pihak Muis dan pihak RRG (Kumpulan Pemulihan Keagamaan), Pergas dan juga Rangkaian Asatizah Belia (AYN), dalam mengeluarkan panduan agama berkaitan konflik di Timur Tengah pada 2023.


TANAM SEMANGAT DAN SIKAP
HARGAI ILMU

Keempat adalah peranan kita sebagai pendidik dan du’at dalam membimbing masyarakat dan saya kira ini amat penting sekali. Kita wajib menanamkan semangat dan sikap menghargai ilmu, mencintai ilmu dan mendukung ilmu sebagai asas bagi pengamalan agama dan kejayaan dalam kehidupan masyarakat kita. Begitu juga setiap daripada kita berperanan menangkis persepsi dan pemahaman yang silap, atau cetek, yang tidak berlandaskan pemahaman yang betul dan mendalam ketika membahaskan isu yang rumit. Apatah lagi zaman sekarang ramai yang mencari maklumat di media sosial dan juga di Internet. Kita perlu sedar dan berhati-hati terdapat banyak maklumat palsu, sama ada yang disengajakan ataupun tidak.


Sebagai contoh, dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sebanyak 76 peratus daripada mereka yang ditanya mengaku telah menyebarkan maklumat palsu tanpa mereka sedari. Lebih mengerikan, maklumat agama tidak terkecuali daripada terpalit dalam kemelut ini. Bahkan boleh dikatakan jika maklumat agama yang tidak benar disebarkan, ia adalah jauh lebih berbahaya lagi.


Setiap isu yang kita hadapi para asatizah sekalian perlu ditangani dengan saksama dan dengan penuh adil dan telus. Jangan pula dalam kita memberi jawapan serta respons, kita bersikap tergopoh-gapah, kerana kita ingin menjadi ‘champion’ (juara) ataupun menunjukkan kitalah yang pertama memberi komentar mengenai isu yang dilontarkan, sehingga kita hilang pertimbangan serta hikmah kita sebagai pemimpin agama.


Baru-baru ini ada yang menyuarakan keprihatinan mengenai usaha memberi panduan keagamaan berkaitan isu LGBTQ+ di Singapura. Namun pendekatan yang menyalahkan kesemua pihak, bahkan menyembunyikan maklumat apabila ia tidak membantu agenda seseorang, pada pandangan saya, adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, tidak adil, dan tidak layak bagi seseorang guru agama.

Sedangkan di Singapura, para ikhwah asatizah yang mengikuti perkembangan isu ini mengetahui bahawa Pejabat Mufti, sejak 2022, telah mengeluarkan satu panduan agama (irsyad) berkaitan perkara ini setelah berbincang dengan ramai asatizah, dan Irsyad itu menegaskan dengan jelas hukum agama mengenai LGBTQ+. Setelah dikeluarkan Irsyad ini pula, Pejabat Mufti terus memberi taklimat dan berbincang dengan lebih 200 para asatizah. Dan Pergas juga telah berusaha dalam membincangkan isu ini juga mengeluarkan panduan bagi masyarakat dan nasihat bagi masyarakat.


Jadi di Singapura, kita melaksanakan segala usaha yang dirasakan perlu untuk membimbing masyarakat kita. Dan sebagai asatizah, sebagai pemimpin agama bagi masyarakat, tiada ruang untuk kita gagal menghargai dan memahami kerumitan dan keterikatan isu-isu semasa dengan konteks dan waqi’ yang kita dihadapi.


Kita juga harus menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan. Yang penting kita harus menghadapi isu-isu masa kini secara fokus dan melihatnya dengan lensa yang betul. Ayuh kita bangunkan semangat syura. Berbincang, bantu membantu sesama kita. Menangani cabaran dan permasalahan dengan hikmah dan cermat. Bersama bergandingan tangan membimbing masyarakat secara muafakat.


Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan ini di penghujung Syawal untuk kita bermuhasabah mengenai usaha-usaha kita yang lalu. Kita berharap agar Allah swt terus membimbing hati dan akal fikiran kita ke arah keredaan-Nya. Amin ya Rabbal ‘alamin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >