Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Masyarakat harus manfaatkan peningkatan pada CPF: Pakar

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masyarakat harus manfaatkan peningkatan pada CPF: Pakar

Jumlah Persaraan Dipertingkat, Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan bantu pastikan kewangan lebih terjamin apabila bersara
Feb 19, 2024 | 05:30 AM



Beberapa perubahan pada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) di bawah Belanjawan 2024 akan membantu warga Singapura memenuhi keperluan dan perbelanjaan persaraan mereka dengan lebih baik pada masa hadapan, menurut beberapa pakar.

Ini terutamanya dengan peningkatan Jumlah Persaraan Dipertingkat (ERS) dan Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS).

Perubahan itu harus dimanfaatkan masyarakat Melayu/Islam sepenuhnya agar keadaan kewangan mereka setelah mencapai usia persaraan lebih terjamin, kata pakar yang dihubungi Berita Harian itu.


Secara am, perubahan pada CPF yang diumum Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan 2024 pada 16 Februari bertujuan mengukuhkan kecukupan persaraan warga Singapura, lebih-lebih lagi dengan cabaran inflasi dan keadaan dunia yang tidak menentu.

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang juga Ketua Kajian Forex Pasaran Global Kumpulan Maybank, berkata inflasi menjejas kecukupan persaraan dan dengan adanya perubahan itu, ia melindungi kecukupan persaraan bukan bagi generasi sekarang sahaja malah masa depan.

Beberapa perubahan itu juga bertujuan memastikan keadaan lebih saksama bagi semua, baik yang bergaji tinggi mahupun rendah.

Penutupan Akaun Khas (SA) CPF ialah satu contoh, kata Encik Saktiandi.

“Mereka yang lebih kaya dan mempunyai lebih wang boleh mendapatkan pulangan lebih tinggi dalam SA. Jika saya cuba memahami apa yang dilakukan pemerintah, jika anda lihat pada belanjawan, ia adalah untuk cuba menyamakan antara kumpulan pendapatan berbeza supaya tidak ada satu kumpulan yang mendapat manfaat lebih daripada yang lain,” ujarnya.

Pakar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berkata penutupan SA menjejas minoriti pemegang akaun CPF yang telah mengumpul lebih daripada Jumlah Persaraan Penuh (FRS) dalam SA mereka sebelum umur 55 tahun.

“Dari perspektif sistem ia bermakna sebahagian besar faedah CPF yang lebih tinggi dibayar kepada ahli CPF yang sangat kaya, dan ini tidak begitu adil.

“Adalah lebih adil bagi sistem itu membantu ahli CPF berpendapatan rendah dan yang mempunyai baki CPF lebih rendah, yang dilakukan dengan skim tambah nilai CPF seperti MRSS,” jelas beliau.

Warga Singapura harus mengambil tahu dan memanfaatkan perubahan pada skim-skim CPF itu, tambah kata pakar.

Mengenai ERS, Perancang Kewangan Bertauliah yang juga Pengarah, Pengurusan Kekayaan (Ekonomi & Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid, berkata mereka yang mempunyai lebihan wang tunai boleh memanfaatkan perubahan itu.

ERS, iaitu jumlah maksimum yang boleh dimasukkan oleh ahli dalam Akaun Persaraan (RA) CPF mereka untuk mengakru faedah dan menerima pembayaran, akan ditetapkan pada jumlah empat kali ganda Jumlah Persaraan Asas (BRS) mulai 1 Januari 2025, berbanding tiga kali ganda sekarang.

Ini bermakna ERS akan dinaikkan kepada $426,000 pada 2025 dan bukan lagi $319,500. Perubahan ini akan membolehkan mereka yang berusia 55 tahun ke atas memasukkan lebih banyak wang ke dalam RA secara sukarela untuk menerima bayaran bulanan lebih tinggi.

“Katakanlah anda baru jual rumah atau anda mempunyai lebihan wang dalam bank, sekarang anda boleh simpan hingga empat kali ganda lebih banyak.

“Jadi ia memberikan satu lagi pilihan kepada orang yang wang mereka diletak dalam pelaburan tertentu dan sebagainya, untuk melindungi persaraan mereka dengan meletakkan lebih sedikit (ke dalam CPF),” jelas beliau.

Berkongsi pandangan itu, Encik Saktiandi berkata lebih ramai orang Melayu/ Islam harus digalak menyimpan sebanyak mungkin di dalam RA sebelum berusia 55 tahun untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi kelak.

Dengan perubahan terbaru itu, seseorang yang berusia 55 tahun pada 2025 boleh menerima sekitar $3,300 sebulan dalam pembayaran CPF Life pada usianya 65 tahun, jika dia memilih melakukan tokokan kepada ERS yang dinaikkan itu.

“Jadi bagi anggota masyarakat kita yang mampu melakukan hal itu, mereka yang berpendapatan pertengahan atau pertengahan tinggi, anda boleh membuat tokokan hingga mencapai ERS... kerana anda akan dapat pulangan tinggi, setinggi 6 peratus pulangan terjamin sepanjang tempoh anda berusia 55 hingga 65 tahun,” kata Encik Saktiandi.

Bagi yang kurang simpanan CPF pula, perubahan pada MRSS adalah berita baik kerana mulai 1 Januari 2025, pemerintah akan memadankan jumlah tokokan CPF secara sukarela oleh mereka yang berusia 70 tahun ke atas dan belum memenuhi BRS. Sekarang skim itu bagi mereka berusia 55 hingga 70 tahun sahaja.

Had padanan tahunan juga akan dinaikkan kepada $2,000, daripada $600 sekarang, dengan had padanan seumur hidup sebanyak $20,000.

“Manfaatkanlah sebanyak mungkin. Keluarga Melayu, anak yang mampu boleh menyumbang kepada (akaun) ibu bapa mereka yang sudah tua,” ujar Encik Saktiandi, sambil menambah ini langkah yang baik bagi warga senja, lebih-lebih lagi dengan kos penjagaan kesihatan semakin tinggi.

Encik Sani menambah: “Masyarakat Melayu/Islam patut cuba memanfaatkan semua ini kerana CPF adalah untuk masa depan kita. Ini lebih-lebih lagi sedang kita hidup dalam masa-masa yang sangat tidak menentu sekarang.”

Sementara itu, Ketua Literasi Perancangan Kewangan, DBS Bank, Cik Lorna Tan berkata: “Bagi kebanyakan anggota CPF, simpanan CPF kita membentuk asas rancangan persaraan kita.


“Oleh itu, adalah penting untuk mempertimbangkan mengoptimumkan skim CPF bagi pembayaran seumur hidup yang lebih tinggi dan membinanya dengan aliran pendapatan lain untuk membiayai tahun senja mereka.


“Penambahbaikan kepada MRSS dapat membantu anggota yang mempunyai baki CPF rendah dan meningkatkan kecukupan persaraan mereka.”


Perubahan CPF

  • Jumlah maksimum yang boleh dimasukkan ke Akaun Persaraan (RA) mulai 2025 ialah $426,000, naik daripada $319,500 sekarang
  • Akaun Khas (SA) CPF ditutup bagi mereka berusia 55 dan ke atas
  • Had padanan tahunan MRSS dinaikkan kepada $2,000 daripada $600 kini



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >