Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Mantan Timbalan CEO Mendaki Aidaroyani Adam CEO baru PPIS

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mantan Timbalan CEO Mendaki Aidaroyani Adam CEO baru PPIS

May 03, 2024 | 12:47 PM



Mantan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Aidaroyani Adam, kini menerajui kepimpinan di Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Beliau dilantik sebagai CEO PPIS mulai 2 Mei, menggantikan Cik Tuminah Sapawi, yang menyandang jawatan itu sejak Julai 2019.

PPIS berkata dalam satu kenyataannya mengatakan Cik Tuminah, 64 tahun, akan memastikan peralihan kepimpinan lancar dan penyerahan tanggungjawab berkesan sepanjang bulan-bulan mendatang.

Di bawah kepimpinan Cik Tuminah, PPIS berjaya mengharungi pandemik Covid-19 dengan memastikan perkhidmatannya tidak terganggu dan terus boleh diakses benefisiari.

Antara pencapaian utama semasa tempoh perkhidmatan beliau ialah pelancaran dua pusat baru – rumah peralihan wanita sekular pertama Singapura, Rise Above Halfway, dan ruang khusus bagi wanita mendapatkan sokongan, Red Space.

Cik Tuminah turut membangunkan strategi pengurusan sukarelawan agar perkhidmatan badan itu kekal mampan.

Semasa tempoh perkhidmatannya, PPIS menerima Anugerah Kelas Mutu Singapura dan Anugerah Pelan Kesinambungan Perniagaan daripada Institut Sumber Manusia (HR) Singapura bagi sumbangan badan itu kepada usaha Covid-19 serta Anugerah Community Cares daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2023.

Cik Tuminah berkata perancangan peralihan kepimpinan adalah satu keutamaan di PPIS, dan menambah bahawa adalah penting membawa masuk pemimpin baru untuk terus membina pencapaian yang dikecapi kepimpinan semasa badan itu.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menyerahkan kepimpinan kepada Cik Aidaroyani kerana badan ini kini dalam kedudukan yang jauh lebih kukuh. Kami mengharungi tahun-tahun Covid-19 yang penuh cabaran dan kami muncul lebih kuat dan memulakan perkhidmatan serta program baru.

“Saya yakin di bawah kendalian Cik Aidaroyani, yang berkebolehan, PPIS akan terus diperkukuh,” kata beliau.

Mengucapkan terima kasih bagi perkhidmatan dan sumbangan beliau, presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, berkata PPIS di bawah kepimpinan Cik Tuminah telah mengecapi pelbagai pencapaian penting.

“Beliau seorang pemimpin masyarakat yang amat dihormati, yang bekerjasama dengan lembaga pengarah untuk memajukan kepentingan wanita, keluarga dan kanak-kanak.

“Sebagai tokoh yang disegani dalam masyarakat, Cik Tuminah dapat mengukuhkan kerjasama kami agar kami boleh memperluaskan ekosistem sokongan untuk benefisiari,” kata beliau.

Cik Aidaroyani, 50 tahun, pula membawa pengalaman luas dalam perkhidmatan masyarakat setelah 26 tahun bersama Mendaki, termasuk sebagai timbalan CEO sejak 2018.

Semasa di Mendaki, beliau memegang pelbagai peranan, termasuk dalam penyelidikan, perancangan, pendidikan dan pendekatan masyarakat.

Beliau juga meluangkan masa beberapa tahun di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), untuk mengasah kepakaran dalam penyelidikan.

PPIS berkata Cik Aidaroyani menunjukkan keupayaan kepimpinan luar biasa, terutama dalam menerajui penyelidikan pendidikan pada 2015, yang hasilnya membantu mempertingkat Skim Tuisyen Mendaki.

Mengulas tentang pelantikannya, Cik Aidaroyani berkata menyertai PPIS sebagai CEO ia adalah satu penghormatan.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan dinamik PPIS bagi membawa lebih banyak idea inovatif ke dalam kerja yang kami lakukan, yang bukan memperkasa wanita sahaja, malah memupuk yakin diri mereka untuk membawa perubahan yang kami ingin lihat dalam masyarakat.

“Saya percaya dalam memperkukuh kerjasama strategik yang telah dibina PPIS sejak dahulu. Saya akan meneruskan misi kami untuk berkhidmat kepada wanita dan keluarga bagi memenuhi keperluan mereka yang berkembang ke arah mencapai aspirasi mereka,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >