Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Lima minit cukup untuk bermain bersama anak dalam ‘masa istimewa’

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lima minit cukup untuk bermain bersama anak dalam ‘masa istimewa’

May 07, 2024 | 05:11 PM



Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya dan anak perempuan saya yang berusia lima tahun mempunyai rutin baru.

Sebelum tidur, kami akan berkongsi tentang perkara yang paling kami sukai yang berlaku pada hari itu.

Anak saya akan senaraikan dua hingga tiga perkara, seperti “saya suka bila saya baca buku bersama ibu” atau “saya suka bila Daddy bawa saya ke taman permainan”.

Saya pernah bertanya anak saya mengapa perkara itu disukainya dan dia kata dia suka dapat “spend time together”, iaitu luang masa bersama.

Saya tanya kepadanya, apakah yang dimaksudkan dengan ‘luang masa bersama’ dan dia berkata ini termasuk bermain, melukis dan membaca buku bersama.

Malangnya, saya dan suami saya tidak dapat selalu melakukan perkara yang disebutnya itu kerana kami sibuk dengan kerja masing-masing dan pelbagai tanggungjawab lain.

Kalau sempat pun, kami hanya dapat bermain selama beberapa minit sahaja, sebelum terpaksa mengalihkan perhatian pada perkara lain yang lebih mendesak.

Tetapi pakar berkata sebenarnya ibu bapa hanya perlu meluangkan masa lima minit sahaja untuk bermain dengan anak-anak mereka bagi membantu si kecil rasa terhubung, terkawal dan mahu bekerjasama.

Masa bermain itu dipanggil ‘masa istimewa’ dan ia berbeza daripada masa bermain biasa.

Dalam masa bermain itu, si kecil menjadi ketua, dan ibu bapa terlibat dalam permainan dan memberi perhatian penuh.

Konsep ‘masa istimewa’ itu diperkenalkan oleh pakar psikologi kanak-kanak Sheila Eyberg, pada 1970-an sebagai sebahagian daripada Terapi Interaksi Ibu Bapa-Anak.

Ramai ibu bapa mungkin sudah pun meluangkan banyak masa dengan anak mereka, malah jauh lebih lama dari lima minit yang diperuntukkan bagi ‘masa istimewa’.

Ibu bapa memberi anak-anak makan, mandikan mereka, bawa mereka ke taman permainan dan membantu mereka dengan kerja rumah.

Tetapi masa istimewa berbeza daripada semua itu.

Sewaktu masa istimewa, si kecil mendapat perhatian positif dan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa.

Menurut pakar psikologi Dr Amy Nasamran, ‘masa istimewa’ membantu memperbaiki tingkah laku si kecil dalam dua cara, iaitu ia memperkukuhkan hubungan dengan ibu bapa, dan ia memberi mereka rasa kawalan yang sesuai dengan perkembangan mereka.

Mendapat perhatian ibu bapa yang tidak berbelah bahagi sewaktu ‘masa istimewa’ membantu memenuhi keperluan anak-anak bagi perhubungan dan mengukuhkan ikatan mereka dengan ibu bapa.

Ikatan yang positif dan selamat antara ibu bapa dengan anak itu adalah asas bagi banyak perkara termasuk kerjasama dan pematuhan.

“Apabila kanak-kanak mendapat perhatian ibu bapa yang konsisten dan tidak berbelah bahagi — walaupun untuk beberapa minit sehari – rasa ikatan mereka dipenuhi. Rasa selamat dan mesra dalam hubungan itu mengurangkan perlunya untuk kanak-kanak berkelakuan buruk bagi menarik perhatian anda atau mencari ikatan,” kata Dr Amy.


Masa istimewa juga memberi kanak-kanak rasa kawalan yang positif.

Kanak-kanak tidak mempunyai banyak peluang untuk menjadi ketua dan membuat keputusan dalam sehari.

Tetapi sewaktu ‘masa istimewa’, mereka dapat mengetuai dan mengarah permainan, memilih apa yang mereka mahu main dan bagaimana memainkannya, sambil ibu atau bapa mereka turut serta.

Ini membantu membuat si kecil rasa senang dengan diri mereka, meningkatkan keyakinan, harga diri dan rasa kawalan mereka. Apabila mereka rasa senang, mereka juga berkemungkinan berkelakuan baik.

Di sesi ‘masa istimewa’, ibu bapa boleh membiarkan si kecil memilih kegiatan yang mahu dilakukan.

Ibu bapa hanya perlu memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dalam waktu itu. Ini bermakna mereka perlu meletak tepi semua gangguan seperti telefon, kerja dan barangan elektronik lain.

Ibu bapa juga perlu mengikuti pimpinan anak mereka. Ini bermakna buat apa yang mereka buat dan kata apa yang mereka katakan. Sebagai contoh, jika si kecil bermain anak patung di lantai, ibu bapa juga bermain anak patung di lantai.

Jika dia katakan “Ibu, saya lukis pelangi!”, si ibu boleh katakan “Kamu lukis pelangi!” dengan penuh keghairahan.

Sewaktu ‘masa istimewa’, ibu bapa perlu elak daripada membuat sebarang tuntutan ke atas anak mereka, seperti menanyakan soalan atau memberi arahan.

Ibu bapa digalakkan berseronok bersama anak mereka dalam tempoh lima minit itu dan setelah tempoh itu berakhir, mereka boleh biarkan si kecil terus bermain.

Mujur saya memang jenis yang suka bermain dan melukis dengan kanak-kanak jadi saya yakin saya tidak akan melihat ‘masa istimewa’ sebagai sesuatu yang membuang masa atau membebankan.

Saya juga rasa ‘masa istimewa’ mudah dilakukan kerana saya tidak perlu membuat sebarang persiapan atau perancangan.

Saya hanya perlu hadir dan ikut sahaja apa yang anak saya kata atau buat.

Saya tak perlu fikirkan apa-apa dan boleh biarkan si kecil menghasilkan idea-ideanya sendiri.

Tapi yang sukar dilakukan bagi saya, dan yang perlu saya usahakan, ialah untuk hadir seratus peratus tanpa fikiran saya melayang ke bakul berisi baju yang menunggu untuk dilipat atau tugasan kerja yang menanti untuk diselesaikan.

Walaupun tempoh ‘masa istimewa’ itu cuma lima minit, ia mungkin panjang jika saya fikirkan kerja-kerja yang belum dihabiskan, atau ia mungkin cepat berlalu jika saya benar-benar bermain dan berseronok bersama anak saya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >