Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Asatizah main peranan sama penting pupuk nilai sivik: DPM Heng

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Asatizah main peranan sama penting pupuk nilai sivik: DPM Heng

Feb 03, 2024 | 08:00 PM



Peranan yang dimainkan oleh pemimpin agama dalam membentuk norma dan tingkah laku masyarakat masing-masing adalah sama penting dengan undang-undang dan institusi yang menjaga keharmonian agama di Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat.

Beliau menambah pemimpin agama, sebagai tokoh yang dihormati dan berpengaruh dalam masyarakat mereka, mesti menyampaikan ilmu mengenai cara mentafsir dan berkelakuan mengikut prinsip agama, dan bagaimana ia seiring dengan tanggungjawab sebagai seorang warga negara.

Usaha itu akan dapat menguatkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama.

Berucap di Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari pada 2 Februari, Encik Heng berkata:

“Di Singapura, pemimpin agama kita berusaha dan bertindak sebagai contoh teladan untuk bagaimana masyarakat berbeza dapat membina kepercayaan dan hormat pada satu sama lain sebagai rakan warga Singapura.”

Memberi contoh Pertubuhan Antara Agama (IRO), badan itu, yang baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-75, telah menyatukan generasi pemimpin daripada 10 agama untuk membimbing masyarakat masing-masing belajar daripada satu sama lain dan saling menghormati.

Pemimpin IRO juga kerap berhimpun untuk berdoa semasa perayaan penting di Singapura dan di saat-saat kesedihan kolektif.

“Dengan berbuat demikian, pemimpin agama kita berfungsi sebagai simbol keharmonian dan perpaduan yang kuat, mengukuhkan kepaduan Singapura yang berharga,” ujar Encik Heng.

Ini merupakan kali kedua Singapura menjadi tuan rumah bagi Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari. Persidangan pertama di sini telah diadakan pada 2017.

Persidangan dua hari itu bertujuan untuk mempamerkan cara pengeluaran fatwa kontekstual boleh membangunkan pemerkasaan intelektual dan etika dalam kalangan umat Islam.

Dengan bertemakan “Memperkasa Masyarakat Islam Masa Depan Melalui Fatwa”, persidangan itu juga bertujuan menggambarkan cara institusi fatwa boleh kekal berdaya tahan dan memberikan bimbingan agama dengan bersikap tegas dan bekerjasama dengan pakar di luar sektor agama.

Memuji asatizah di sini, Encik Heng berkata golongan ini telah membangunkan individu yang yakin dengan nilai sosial dan agama yang baik selari dengan etos pelbagai agama dan budaya di Singapura menerusi ajaran dan pemikiran fatwa mereka yang progresif.

“Asatizah tempatan kita dipandang baik dan mengiktiraf kepentingan bekerjasama dengan pemerintah dan masyarakat sivil untuk mengukuhkan perpaduan sosial dan menggalakkan warganegara yang aktif.

“Usaha ini telah memupuk umat Islam Singapura yang yakin, anggota masyarakat yang membina dan dihormati,” kongsi beliau.

Asatizah Singapura juga telah memainkan peranan penting dalam menangani waktu sukar, pandemik Covid-19 dan isu rumit seperti ketegangan yang sedang berlaku di Timur Tengah, tambah beliau.

Encik Heng berkata pendekatan Singapura terhadap hal agama sejak kemerdekaan adalah ia mempunyai potensi untuk menjadi kekuatan positif bagi masyarakat.

“Pemimpin dan guru agama kita, merentasi semua agama, memainkan peranan asas dalam menyampaikan bukan sahaja nilai agama tetapi juga nilai sivik –  seperti kesaksamaan, saling rasa hormat dan persaudaraan sesama warga Singapura,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >