Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ye Kung: Lebih separuh penduduk SG sudah dapat vaksin penggalak

Jan 17, 2022 | 05:30 AM



LEBIH separuh, atau 51 peratus, daripada jumlah penduduk di Singapura telah mengambil suntikan penggalak vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung semalam.



Katanya juga, lebih ramai kini tampil mendapatkan suntikan penggalak tersebut.



"Kini, kira-kira 42,000 individu mendapat suntikan penggalak setiap hari.



"Ini merupakan peningkatan ketara daripada 25,000 setiap hari pada pertengahan hingga akhir Disember," kata Encik Ong dalam satu catatan di Facebook semalam.



"Suntikan penggalak memulihkan perlindungan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 dan penyakit teruk daripada Omicron," tambahnya.



Awal bulan ini, pemerintah menyemak semula dasarnya dan mengumumkan bahawa mulai 14 Februari, mereka yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan penggalak Covid-19 untuk mengekalkan status vaksinasi yang penuh.



Status vaksinasi penuh seseorang akan luput sembilan bulan selepas siri vaksinasi utama, iaitu selepas dua dos vaksin mRNA (Pfizer atau Moderna) atau tiga dos vaksin Sinovac atau Sinopharm.



Encik Ong juga sebelum ini berkata gelombang Omicron mungkin beberapa kali lebih besar daripada gelombang Delta tahun lepas, memandangkan varian baru yang lebih mudah merebak itu.



Jika jangkitan Delta mencecah kira-kira 3,000 kes setiap hari, Omicron dianggarkan boleh mencapai 10,000 hingga 15,000 kes sehari atau lebih tinggi.



Vaksinan dan suntikan penggalak akan kekal menjadi strategi penting, kata Encik Ong di Parlimen pada 10 Januari lalu.



Singapura turut bersiap sedia untuk meningkatkan kapasiti dan tenaga kerja di kemudahan rawatan dan pemulihan awam seperti hospital.



Protokol penjagaan kesihatan juga telah berubah untuk mengurangkan tekanan di hospital.



Hingga 6 Januari, doktor perubatan umum kini memainkan peranan lebih besar dalam menentukan pesakit Covid-19 yang memerlukan pengawasan lebih tinggi, serta yang mana boleh pulih di rumah.



Peralihan itu berlaku di tengah-tengah bukti kian meningkat bahawa varian baru Omicron, walaupun lebih mudah merebak, menyebabkan penyakit yang kurang teruk.



Hingga kelmarin, kes Omicron di Singapura menghampiri 1,000 kes baru sehari, dengan 956 kes baru dilaporkan.



Pakar berkata gelombang virus Omicron di Singapura kemungkinan berbentuk seperti gunung dengan cerun yang curam dan puncak yang tajam berbanding dataran dengan puncak rata, lapor The Straits Times.



Profesor Madya Alex Cook, di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata: "Saya menjangkakan kita akan melihat puncak yang agak tajam, seperti Afrika Selatan, dan ia akan turun selepas itu.



"Hanya selepas titik itu akan kita mencapai angka yang stabil, dengan jumlah jangkitan yang lebih rendah."



Berapa curam cerun gelombang yang seterusnya akan bergantung pada sekatan yang dilaksanakan di Singapura.



"Mungkin kita mengalami gelombang yang lebih rendah, lama, perlahan, dan kita kekalkan langkah-langkah yang kita ada pada masa ini," kata Profesor Cook, naib dekan penyelidikan di Sekolah Saw Swee Hock.



"Itu lebih baik bagi sistem penjagaan kesihatan, namun ia mungkin lebih sukar bagi kita sebagai individu kerana kita mahu ia berakhir," tambah beliau.



Varian Omicron telah menular dengan cepat di seluruh dunia sejak ia kali pertama dikesan di Afrika Selatan pada November lalu, dengan Australia, Britain, Korea Selatan dan Amerika Syarikat terjejas olehnya.



Namun, berita baiknya adalah jangkitan Omicron secara umumnya kelihatan kurang teruk, dengan kadar masuk ke hospital dan kematian yang lebih rendah dilaporkan meskipun jumlah kesnya meningkat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >