Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Usul wadah dalam talian harus terbitkan pembetulan bagi kenyataan palsu

Apr 02, 2019 | 05:30 AM



WADAH dalam talian harus menerbitkan pembetulan bagi kenyataan palsu, atau memadamkannya dalam kes yang ekstrem, pada masa akan datang apabila satu rang undang-undang diluluskan.



Langkah baru yang bertujuan menangani penyebaran berita palsu terhadap kepentingan awam itu merupakan sebahagian Rang Undang-Undang Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian yang dibentangkan buat bacaan pertama oleh Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Kesihatan), Encik Edwin Tong, di Parlimen semalam.



Bercakap dengan media tentang rang undang-undang tersebut, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata pendekatan itu disasarkan khusus bagi kenyataan fakta yang palsu atau mengelirukan.



Namun, pandangan, kritikan, satira atau parodi tidak dianggap sebagai kepalsuan.



Sekiranya kepalsuan ini tidak ditangani, langkah sesetengah individu yang menyebar kepalsuan untuk mengelirukan orang ramai boleh menjejas kebebasan bersuara, demokrasi dan institusi awam, tambahnya.



Menjelaskan rang undang-undang khusus bagi kepalsuan yang ditujukan kepada institusi awam itu, Encik Shanmugam berkata pendekatan utama yang akan diambil adalah langkah memerlukan wadah dalam talian menerbitkan pembetulan di samping kenyataan palsu yang diterbitkan sebelumnya di wadah tersebut.



Wadah dalam talian juga mungkin perlu memastikan orang ramai yang melihat kenyataan palsu sebelum itu melihat pembetulan yang dibuat.



"Dengan cara ini, orang ramai boleh membaca apa yang mereka mahu dan pada masa yang sama, membuat keputusan sendiri," ujarnya.



Pembetulan yang harus dibuat itu bukan satu sekatan jenayah.



Bagaimanapun, perbuatan sengaja melemahkan masyarakat menggunakan kepalsuan akan dianggap sebagai kesalahan jenayah.



Namun jika pihak yang menerbitkan kenyataan itu berasa bahawa ia benar, mereka boleh mencabarnya di mahkamah dan pihak mahkamah akan mempunyai kata muktamad.



"Oleh itu, ini satu (pendekatan) seimbang bagi membolehkan perbincangan yang lebih dimaklumi tentang isu berkenaan," ujar Encik Shanmugam.



Sementara itu, rang undang-undang itu juga mungkin memerlukan sesetengah kenyataan palsu dalam kes lebih serius dipadamkan agar tidak membahayakan masyarakat.



Selain itu, akaun dalam talian yang menyebar kepalsuan dan menjejas kepentingan awam akan turut dimatikan manakala laman web yang mengeluarkan kepalsuan berulang kali pula perlu mengisytihar mereka tidak boleh menerima pendapatan daripada laman tersebut.



Selain Singapura, antara negara lain yang telah memperkenal atau mempertimbangkan undang-undang bagi menangani kepalsuan di dalam talian termasuk Perancis, Britain, Jerman, Ukraine dan Amerika Syarikat.



Encik Shanmugam juga berkata syarikat teknologi yang gagal mematuhi garis panduan di bawah rang undang-undang itu akan menghadapi sekatan sekiranya ini mempunyai kesan di Singapura, tidak kira di mana syarikat itu berpangkalan.



"Namun tentunya, syarikat teknologi atau sesiapa boleh mencabar arahan itu. Dan mahk,amah harus membuat keputusan," ujarnya.



Beliau juga berkata pemerintah harus mengambil pendirian dari segi dasar sama ada sesiapa boleh dibenarkan mengejar keuntungan untuk merosakkan negara ini.



Menukil kenyataan Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern, berkenaan peranan media sosial dalam serangan di Christchurch baru-baru ini, Encik Shanmugam berkata mereka tidak seharusnya mengejar keuntungan sahaja tanpa rasa tanggungjawab.



"Sebagai pemerintah, kami mempunyai tanggungjawab kepada rakyat untuk memastikan kami melindungi masyarakat kita," kata beliau.




"Dengan cara ini, orang ramai boleh membaca apa yang mereka mahu dan pada masa yang sama, membuat keputusan sendiri... Oleh itu, ini satu (pendekatan) seimbang bagi membolehkan perbincangan yang lebih dimaklumi tentang isu berkenaan... Namun tentunya, syarikat teknologi atau sesiapa boleh mencabar arahan itu. Dan mahkamah harus membuat keputusan."
- Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.




8 PERKARA UTAMA RANG UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN DARIPADA KEPALSUAN DAN MANIPULASI DI DALAM TALIAN



1) Erti 'kepalsuan' dalam rang undang-undang



  • Kenyataan fakta yang palsu atau mengelirukan

  • Tidak termasuk pendapat, kritikan, satira dan parodi

2) Pembetulan sebagai tindakan utama



  • Dalam kebanyakan kes, arahan buat pembetulan ke atas kepalsuan akan dikeluarkan supaya orang ramai boleh membuat keputusan sendiri

3) Padamkan kepalsuan



  • Dalam sesetengah kes, arahan padamkan kepalsuan yang boleh sebabkan bahaya yang serius

4) Sekatan akaun dan penguatkuasaan



  • Hentikan akaun palsu yang menyebarkan kepalsuan

  • Potong keuntungan bagi laman web yang sebarkan kepalsuan berulang kali

5) Hukuman jenayah



  • Kenakan hukuman pada individu yang berniat jahat

6) Kod Amalan



  • Tetapkan Kod Amalan yang mengikat bagi syarikat teknologi

7) Apakah yang ditangani rang undang-undang ini?



  • Kesan buruk pada masyarakat oleh individu berniat jahat yang menyebarkan kepalsuan di dalam talian

8) Aspek perlindungan rang undang-undang ini



  • Rang undang-undang ini menangani kepalsuan yang menjejas kepentingan awam

  • Hak kemukakan rayuan kepada mahkamah, yang mempunyai kata muktamad tentang kepalsuan itu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >