Amerika Syarikat (AS) mengucapkan tahniah kepada Encik Tharman Shanmugaratnam kerana dipilih sebagai Presiden ke-9 Singapura dan mengalu-alu kerjasama rapat untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Menyampaikan demikian dalam surat yang dikirim pada Sabtu, Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Matthew Miller berkata AS dan Singapura berkongsi kerjasama yang teguh buat sekian lama yang dibina atas kepentingan bersama, nilai bersama dan sifat saling menghormati.
“Kami menanti-nantikan kerjasama rapat dengan Presiden Dipilih Shanmugaratnam dan rakyat Singapura agar memperkukuh lanjut ikatan berkekalan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara kita,” katanya.
Beliau berkata AS juga melahirkan penghargaan kepada Presiden Halimah Yacob atas sumbangannya kepada hubungan dua hala AS dan Singapura sewaktu tempoh bersejarah beliau memegang jawatan sebagai Presiden wanita pertama Singapura.