Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Suratman cipta sejarah, antara 2 pemenang tertua Hadiah Sastera Singapura

Kedua-dua pemenang berusia 91 tahun; Suratman berjaya melalui karya 'Mengasah Kalam Jilid 2'; sementara Wang Gungwu menerusi memoir tulisannya, 'Home Is Where We Are'
Aug 27, 2022 | 06:37 AM



PADA usia 91 tahun, walaupun keadaan fizikalnya kian lemah, sasterawan Cikgu Suratman Markasan tidak membiarkan dirinya duduk lama tanpa bergerak aktif.



Fkirannya sentiasa diisi dengan bahan-bahan bacaan, tidak kira sama ada berunsur agama, sastera atau isu-isu semasa.



Bahkan beliau sentiasa mencabar diri untuk berfikiran kritikal, sehingga mampu mengulas karya-karya kreatif penulis-penulis hebat lain sehingga terhasil koleksi-koleksi esei dalam bentuk buku.



Kelmarin, Cikgu Suratman menjadi antara dua penulis Singapura yang mencipta sejarah sebagai pemenang tertua Hadiah Sastera Singapura (SLP).



Seorang lagi pemenang yang juga berusia senja ialah Wang Gungwu, juga 91 tahun, yang berjaya menerusi memoir tulisannya, Home Is Where We Are.



Majlis bagi pengumuman keputusan anugerah diadakan di Panggung Victoria kelmarin.



Selain itu, lapan daripada 12 penerima menjadi pemenang kali pertama dalam kumpulan pemenang yang terdiri daripada penulis mapan dan baru.



Cikgu Suratman berjaya memenangi SLP bagi karya beliau Mengasah Kalam Jilid 2.



Buku itu ialah kumpulan esei penulis yang meneliti sastera Melayu Singapura, antara lain, mengupas karya Masuri S.N, Isa Kamari dan Mohamed Latif Mohamed



Ulasan pengadil:



"Himpunan esei ini merupakan kritikan sastera Singapura yang mengangkat sastera Singapura ke permukaan dunia.



"Penulis menyimpulkan persoalan masa depan sastera Singapura; ke mana penulis sastera akan membawa pembacanya; dan siapakah generasi seterusnya yang akan meneruskan semangat kesusasteraan Melayu Singapura.



"Pada pendapat kami, tulisan Suratman menunjukkan gaya yang mantap yang menyumbang kepada perkembangan kritikan sastera di Singapura."



Sementara itu, Encik Farihan Bahron, pengasas bersama syarikat penerbitan Unggun Creative, menerima penganugerahan bagi kategori fiksyen Melayu SLP, menyusuli kemenangannya dalam kategori puisi Melayu SLP pada 2018.



Setiap pemenang dalam 12 kategori itu menerima hadiah wang tunai $ 3,000.



Mereka juga mendapat trofi khas buatan tangan dan kod hadiah yang sah digunakan selama 12 bulan di wadah buku audio, StoryTel.



Ketika dihubungi Berita Harian, Cikgu Suratman berkata buku kemenangannya adalah hasil ulasannya terhadap karya penyair-penyair mapan dan baru Singapura merentasi tempoh 20 tahun, termasuk karya Allahyarham Masuri SN dari permulaaan karya hingga sebelum akhir hayatnya. Ini adalah pertama kali beliu menang kategori bukan fiksyen



Apabila ditanya rahsia kemampuannya terus mampu berkarya pada usia lanjut, Cikgu Suratman berkata beliau mengikuti apa yang diajarkan dalam Al-Quran sebagai pedoman hidup.



"Al-Quran ada sebut pentingnya membaca. Saya sentiasa membaca, tak kira buku agama, sastera atau berita-berita semasa.



"Kalau tubuh perlukan makan berkhasiat untuk kesihatan, begitu juga dengan otak... perlu sentiasa berikan zat dengan bahan-bahan sihat termasuk pengisian ilmu," ujar beliau yang juga penerima Pingat Budaya.



Namun dari sudut fizikal, Cikgu Suratman mengakui beliau tidak berani untuk melakukan kegiatan lasak seperti bermain badminton - sukan kegemarannya sejak muda - untuk mengelakkan diri terjatuh.



Beliau mendedahkan sedang menyiapkan beberapa buku lagi termasuk trilogi dan sebuah memoir yang dijangka diterbitkan pada akhir tahun ini.



Seorang lagi pemenang, Encik Farihan menang menerusi Kumpulan cerpen Kepala Kotak yang menyajikan 15 buah cerpen yang ditulis dari 2017 hingga 2021.



Tema-tema yang diangkat dalam kumpulan ini merangkumi pergelutan antara manusia dengan teknologi dan dunia masa depan.



"Ada tiga daripada cerpen ini ditulis semasa Singapura melalui tempoh pemutus litar akibat pandemik pada 2020.



"Cerita-ceritanya disulam dengan pengalaman peribadi dan sejarah hidup," kata Encik Farihan yang pernah memenangi beberapa anugerah sastera termasuk Anugerah Harapan 2017.



Ditanya resepi beliau mencuri perhatian pembaca menerusi karyanya, Encik Farihan berkata beliau sentiasa mencari pencetus insiden yang dapat mengembangkan cerita.



Seorang lagi pemenang, Cik Hartinah Ahmad ialah wanita pertama yang menjadi pemenang tunggal kategori puisi (menerusi buku Gandoura) dalam bahasa Melayu dalam sejarah SLP, menurut Majlis Buku Kebangsaan.



Cik Hartinah menerima hadiah dalam kategori yang sama pada 2016, tetapi untuk buku yang telah dikarang bersama-sama Hamed Ismail dan Samsudin Said.



Menurut ulasan pengadil, puisi-puisi dalam Gandoura mengundang pembaca mengembara di samping bermuhasabah tentang nilai kehidupan manusia.



Semuanya dianyam begitu mulus dan lembut walaupun kadang ia meninggalkan kesan dramatik kerana berkesannya fungsi metafora dan simbolisme yang banyak digunakan oleh penulis.




BIODATA SURATMAN MARKASAN



Anak watan Singapura lahir di Pasir Panjang pada 1930



PENDIDIKAN



Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim, Perak



Universiti Nanyang pada 1971 dalam Pengajian Melayu



KERJAYA



Setelah tamat pengajian, mengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah di Singapura



  • Julai 1976: Dilantik Inspektor Pakar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Kementerian Pelajaran Singapura

  • Januari 1980: Dilantik Penolong Pengarah Pengajian Melayu dan Tamil di tempat yang sama

  • September 1981: Menjadi pensyarah bahasa dan sastera Melayu di Institut Pendidikan Singapura sehingga bersara pada 1995

ANUGERAH



Anugerah Tun Sri Lanang (1999)



Anugerah Sastera Nusantara (1999)



Anugerah Abdullah Munsyi (2010)



Anugerah Pingat Budaya (2010)



Anugerah Tokoh Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) (2014)



KARYA



Siri Karya 'Kembali Ke Akar Melayu Kembali Ke Akar Islam';



'Tiga Lelaki, Dunia Bukan Kita Punya';



'Perempuan Kerudung Hitam';



'Kembali Kepada Al-Quran';



'Dari Perang Datang Sampai Kamoe San Masuk Melayu (Kumpulan Cerpen)';



'Penghulu Yang Hilang Segala-Galanya' dan banyak lagi




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >