Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S'pura sedia hulur bantuan tambahan kepada mangsa banjir

Jan 13, 2022 | 5:30 AM
MUSNAH: Beginilah antara keadaan rumah kedai yang ditelenggami air di Shah Alam, Selangor, Malaysia, dalam banjir buruk baru-baru ini. - Foto REUTERS
MUSNAH: Beginilah antara keadaan rumah kedai yang ditelenggami air di Shah Alam, Selangor, Malaysia, dalam banjir buruk baru-baru ini. - Foto REUTERS -

SINGAPURA bersedia menyediakan bantuan lebih lanjut kepada Malaysia jika mereka memerlukan lebih banyak sokongan bagi menolong warga Malaysia yang terjejas oleh banjir di negara itu, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Dr Vivian menjelaskan dalam jawapan bertulisnya bahawa banjir di Malaysia telah menyebabkan banyak nyawa hilang dan kemusnahan harta, kesusahan dan kesengsaraan dalam kalangan rakyat negara tersebut.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), jika terdapat usaha oleh pemerintah untuk menghulurkan sebarang jenis sokongan bagi menolong warga Malaysia yang terjejas oleh banjir.

"Singapura berdiri teguh dan bersama dengan Malaysia dalam masa sukar ini," tulis Dr Vivian.

Dalam jawapan bertulisnya itu, beliau menggariskan usaha menghubungi rakan sejawatannya, Dato' Sri Saifuddin Abdullah, pada Disember tahun lalu, bagi melahirkan takziah dan menawarkan bantuan Singapura.

Menurutnya, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak AS$60,000 ($81,000) sebagai dana permulaan untuk menyokong usaha Palang Merah Singapura mengumpul dana awam dalam usaha pemulihan semula dan bantuan bencana di Malaysia mahupun Filipina yang terjejas oleh Taufan Rai.

Sumbangan itu, kata Dr Vivian, saling melengkapi ikrar Palang Merah Singapura sebanyak AS$50,000 kepada Sabit Merah Malaysia, yang disalurkan kepada penjagaan kesihatan kecemasan dan pengagihan bekalan bantuan kepada pusat pemindahan.

"Kami bersedia untuk menyediakan bantuan lebih lanjut yang mampu dihulurkan jika Malaysia memerlukannya," tambah Dr Vivian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg