Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semua cawangan Hjh Maimunah ditutup selepas beberapa staf positif Covid-19

Sep 22, 2021 | 05:30 AM



BEBERAPA kakitangan yang bekerja di cawangan berasingan restoran Hjh Maimunah telah mendapat hasil ujian positif selepas melaksana ujian Covid-19 kendiri, kata pemilik bersama restoran itu Cik Mastura Didih Ibrahim.



Kebanyakan kakitangan itu bekerja di cawangan di Jalan Pisang dan Tampines.



Ini selepas Cik Mastura diberitahu Kementerian Kesihatan (MOH) pada malam kelmarin tentang satu insiden Covid-19 di salah sebuah cawangannya dan beliau diarah menutup semua restoran dan gerainya untuk dibersihkan.



Menyusuli itu, Cik Mastura, 35 tahun telah mengarahkan kesemua kakitangannya untuk melaksanakan ujian sendiri menggunakan kit ujian pantas antigen (ART).



Beliau memberitahu Berita Harian (BH) beberapa stafnya telah mendapat hasil ujian positif, tetapi enggan memberi butiran lanjut.



"Kami telah menyuruh kakitangan yang terjejas untuk ke klinik bagi mengambil ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 untuk mendapatkan kepastian lanjut," ujar Cik Mastura.



"Justeru buat masa ini kami tidak dapat mendedahkan bilangan sebenar mereka yang didapati positif Covid-19.



"Apa yang kami tahu, kakitangan yang terjejas kebanyakannya di cawangan Jalan Pisang dan Tampines," katanya,



Kesemua empat cawangan Hjh Maimunah di Joo Chiat, Jalan Pisang, pusat beli belah City Square dan Tampines Mall telah ditutup sejak semalam.



Satu lagi cawangannya, di Hong Leong, memang ditutup buat sementara kerana ia terletak di kawasan bandar dan kurang pelanggan sedang pekerja bertugas dari rumah.



Cik Mastura berkata beliau masih menantikan maklumat lanjut daripada MOH untuk langkah selanjutnya.



BH telah mengutarakan soalan kepada MOH berhubung insiden Covid-19 yang dikaitkan dengan Hjh Maimunah ini.



Namun, respons belum diperolehi sehingga akhbar ini dicetak.



Menurut Cik Mastura, beliau masih belum tahu sama ada kes Covid-19 yang dikesan buat masa ini berpunca dari pelanggan atau kakitangannya.



Namun katanya, sejak restoran dibuka semula, syarikatnya telah memastikan kesemua staf mengambil ujian ART sendiri setiap dua minggu.



Kali terakhir mereka mengambil ujian itu adalah pada minggu lalu dan tiada kes dikesan, kata Cik Mastura.



Dalam kenyataannya semalam, restoran itu berkata semua cawangan akan ditutup sehingga notis lanjut akibat insiden berhubung Covid-19 di salah satu cawangannya.



"Sebagai langkah perlindungan, kesemua cawangan akan ditutup bagi pembersihan rapi dan usaha membasmi kuman untuk melindungi para pelanggan dan pekerja kami."



Restoran itu tidak lagi menerima tempahan dan semua tempahan awal dibatalkan, dengan wang dikembalikan kepada pelanggan, kata kenyataan itu lagi.



Cik Mastura berkata perniagaannya dijangka terjejas kerana penutupan ini, tetapi menekankan keselamatan pelanggan dan kakitangannya harus diutamakan.



Beliau menggalak pelanggan yang mengunjungi semua cawangan Hjh Maimunah baru-baru ini supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >