PENGUASA Pasaran Tenaga (EMA) menggalak pengguna agar menjimatkan tenaga elektrik dalam tempoh tidak menentu ini.
Ini sedang Singapura mengambil langkah memastikan keselamatan bekalan elektrik dan bahan api di tengah-tengah gangguan sejagat yang menyebabkan harga menjulang ke paras tinggi.
"Semasa tempoh ini, kami menggalak pengguna untuk menjimatkan bekalan jika perlu.
"EMA akan terus memantau perkembangan di peringkat sejagat dan sektor bekalan tenaga domestik dengan teliti dan akan memperkenalkan langkah selanjutnya jika perlu,'' kata EMA dalam kenyataan semalam.
Sebagai langkah berjaga-jaga, EMA telah membentuk kemudahan bahan api tambahan bagi membolehkan syarikat pembekal tenaga (gencos) menjana elektrik jika perlu.
EMA menambah ia telah memaklumkan kepada firma-firma untuk mendapatkan kontrak bahan api yang mencukupi agar sekurang-kurangnya dapat memenuhi permintaan pelanggan dalam cabang runcit mereka.
Syarikat-syarikat yang cuba menjual bekalan gas asli berlebihan telah diberitahu agar memberikan syarikat-syarikat pembekal tenaga terlebih dahulu jika mereka perlu sebelum menjualnya ke pihak lain.
EMA juga menambah firma-firma gencos akan diarah untuk menjana elektrik menggunakan bahan api dari kemudahan tambahan bagi memastikan kestabilan sistem.
"Langkah-langkah ini adalah luar biasa tetapi perlu bagi memastikan bekalan bahan api dan elektrik selamat.
"Kami akan menyemak jika langkah-langkah ini masih perlu menjelang 31 Mac 2022,'' kata EMA.
Minggu lalu, EMA berkata pasaran bekalan tenaga sedang melalui keadaan luar biasa yang menyebabkan beberapa peruncit elektrik menghentikan operasi mereka.
Beberapa syarikat peruncit elektrik termasuk iSwitch Energy dan Ohm Energy mengumumkan keputusannya meninggalkan pasaran elektrik terbuka.
iSwitch, peruncit elektrik keempat terbesar, akan menghentikan semua operasi runcit dari bulan depan. Ohm menyatakan ia akan mengambil tindakan yang sama.
Mereka menukil sebab pasaran tidak menentu dan pelan harga yang tidak bertahan sebagai sebab keputusan mereka itu.
Syarikat Union Power menyatakan akan mengecilkan operasinya dengan menutup beberapa akaun runcit tetapi ia tidak akan meninggalkan pasaran elektrik terbuka Singapura.
Pasaran Elektrik Terbuka diperkenalkan EMA bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Sejak Julai lalu, harga elektrik semasa lebih tidak menentu. EMA berkata permintaan elektrik semasa di pasaran lebih tinggi dan gangguan di beberapa unit loji penjana tenaga merupakan antara faktor yang mendorong kenaikan harga.
Faktor lain yang menyebabkan kenaikan harga adalah pengurangan gas dari Natuna Barat Indonesia dan tekanan rendah gas yang dibekalkan dari Sumatera Selatan, tambah EMA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg