Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Pemerintah timbang hukuman lebih berat, pengguna daftar dron

Langkah lebih ketat susuli dua kejadian pencerobohan dron di Lapangan Terbang Changi
Jul 09, 2019 | 05:30 AM



PEMERINTAH mahu melaksanakan langkah mendaftar semua pesawat udara tanpa pemandu atau dron di sini dan mempertimbangkan langkah mengenakan hukuman lebih tinggi bagi mereka yang melanggar peraturan berhubung alat tersebut.



Ini merupakan antara langkah mengetatkan kawalan menyusuli dua kejadian pencerobohan dron di ruang udara sekitar Lapangan Terbang Changi Jun lalu.



Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan) Dr Lam Pin Min berkata satu rangka kerja perlesenan bagi juruterbang dron lebih besar dan lebih berupaya akan turut diperkenalkan.



Langkah pendaftaran dilaksana bagi memastikan pengendali dron maklum akan tanggungjawab dan peraturan mengendalikan peranti tersebut.



Dalam sidang semalam, Dr Lam turut mendedahkan langkah penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengendali dron yang ingkar terhadap peraturan.



Buat masa ini terdapat larangan menerbangkan dron dalam jarak 5km dari lapangan terbang atau pangkalan tentera, atau melebihi ketinggian 61m, tanpa permit.



Mereka yang melanggar peraturan boleh didenda sehingga $ 20,000 dan dipenjara selama setahun.



Minggu lalu, dua orang didakwa menjalankan operasi penerbangan dron berhampiran dengan sebuah lapangan terbang, manakala dua lagi kes sedang didakwa.



Semalam sebuah syarikat didenda $9,000 kerana mengendalikan dron tanpa permit.



Dr Lam memberikan respons sedemikian bagi menjawab pertanyaan tujuh Anggota Parlimen mengenai kegiatan penerbangan dron tanpa izin yang mengakibatkan 55 penerbangan ditangguh dan lapan penerbangan terpaksa dipesongkan pada 18 dan 24 Jun.



Siasatan polis sedang dijalankan, katanya.



"Daripada pengalaman lapangan terbang lain kami perhatikan langkah mengenal pasti penceroboh amat mencabar dan akan mengambil masa," tambah Dr Lam.



"Sementara itu, keutamaan kami adalah mengesan dron dengan segera dan mencegah mereka daripada menjejaskan trafik udara dan membahayakan keselamatan awam. Kami telah mengambil pendekatan pelbagai agensi dan menggunakan sumber kebangsaan untuk memastikan keselamatan operasi Lapangan Terbang Changi."



Keupayaan menangkis dron juga diperkukuh di lapangan terbang.



"Kami bersedia melabur dan menggunakan keupayaan tambahan untuk memantau dan menguatkuasakan keselamatan ruang udara kami," kata Dr Lam.



Kejadian melibatkan dron baru-baru ini merupakan kejadian pertama menjejas Lapangan Terbang Changi, katanya.



Walaupun kesannya agak sederhana, gangguan tersebut boleh memberi kesan yang teruk terhadap operasi lapangan terbang, tambahnya.



Di Lapangan Terbang Gatwick dekat London tahun lalu, pencerobohan dron menutup keseluruhan lapangan terbang itu selama tiga hari, menjejaskan kira-kira 1,000 penerbangan.



Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Dennis Tan menggenai penggunaan teknologi geobatas di lapangan terbang, Dr Lam berkata biarpun teknologi itu dapat mencegah dron daripada memasuki kawasan larangan, terdapat beberapa batasannya.



Agar teknologi itu boleh berfungsi, dron mesti dipasang dengan perisian yang diperlukan menggunakan sistem penentu sejagat (GPS) dan isyarat satelit navigasi lain yang secara automatik membantu mencegah alat itu daripada terbang masuk ke lokasi sensitif.



Dalam kes pencerobohan dron di Lapangan Terbang Changi, Dr Lam berkata keupayaan geobatas dron itu telah dimatikan dan oleh itu teknologi geobatas tidak akan dapat menghalang pencerobohan dron tersebut.



Begitu juga sistem pengurusan penerbangan pusat yang dicadangkan yang boleh memantau penerbangan dron di seluruh pulau dan membenarkan pihak berkuasa memeriksa sama ada mereka beroperasi di bawah permit yang sah, hanya berfungsi untuk pengendali koperasi.



Untuk menangani pelaku, pendekatan "pendekatan risiko berperingkat" diperlukan agar keutamaan diberikan kepada kawasan sensitif, contohnya, berhampiran lapangan terbang, katanya.



Pencerobohan di Changi baru-baru ini telah menyebabkan beberapa pihak menyuarakan saranan supaya Singapura mengharamkan penggunaan alat tersebut, namun Dr Lam berkata dron juga mempunyai kegunaan yang bermanfaat.



Selain aplikasi komersil seperti penghantaran dan pemeriksaan menggunakan dron, terdapat juga banyak pengguna rekreasi di Singapura.



Sekolah dan institusi pengajian tinggi juga menggunakan dron untuk mengajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem), termasuk robotik dan memprogram.



Dr Lam berkata:



"Oleh itu adalah penting bahawa kita terus mengambil pendekatan seimbang."



Beliau menegaskan bahawa secara umum, pengguna dron di sini menjalankan kegiatan dengan bertanggungjawab dan sensitif terhadap keperluan dan keprihatinan pengguna lain.



Seperti dengan teknologi baru yang lain, mencari keseimbangan dari segi peraturan akan mengambil masa, terutamanya kerana teknologi dron terus berkembang dengan cepat, kata Dr Lam.



Inilah sebabnya Penguasa Penerbangan Awam Singapura menubuhkan Panel Penasihat UAS ( Pesawat Udara Tanpa Pemandu) awal tahun ini untuk membantu mengkaji dan mengesyorkan peningkatan kepada rangka kerja penggunaan alat tersebut.




"Daripada pengalaman lapangan terbang lain kami perhatikan langkah mengenal pasti penceroboh amat mencabar dan akan mengambil masa... keutamaan kami adalah mengesan dron dengan segera dan mencegah mereka daripada menjejaskan trafik udara dan membahayakan keselamatan awam.
- Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >