Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS: MENDEKATI GOLONGAN MUDA

Pelbagai program mesra orang muda diadakan masjid setempat

Jan 23, 2022 | 05:30 AM



Masjid-masjid, badan dakwah dan penyedia khidmat pendidikan kerohanian setempat telah mengadakan pelbagai usaha untuk menarik minat golongan belia dan remaja untuk berjinak-jinak dengan kegiatan agama. BERITA MINGGU menyingkap usaha dan program - daripada kelas agama, kegiatan sukan, sesi sembang, baik secara fizikal mahupun menerusi webinar dalam talian dan acara kemasyarakatan - yang dianjurkan untuk memikat golongan itu.



PELBAGAI program mesra belia dan orang muda telah diperkenal dan diadakan di masjid-masjid serata Singapura untuk menarik minat golongan itu untuk berjinak-jinak dengan kegiatan agama.



Program-program tersebut - daripada kelas berbentuk fizikal, sesi sembang dan soal jawab agama, bersukan serta solat kepada syarahan dan kelas mengaji Al-Quran secara dalam talian - sedikit sebanyak berjaya menarik perhatian golongan itu.



Ada juga masjid yang menyediakan kelas-kelas madrasah dengan program khusus bagi kanak-kanak dan belia seperti program aLIVE bagi golongan berusia antara lima dengan 20 tahun yang diuruskan Pejabat Pengurusan dan Hab Pembelajaran Islam (Ilham) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Beberapa pengurus dan pegawai dakwah masjid yang dihubungi Berita Minggu berkata penyertaan dan keberkesanan program-program bagi golongan muda yang lebih dewasa pula, bagaimanapun, bergantung pada topik dan trend terkini yang mesra orang muda.



"Sebenarnya, tidak sukar menarik minat golongan muda ini berjinak-jinak dengan masjid selagi kita dapat menunjukkan sebahagian trend terkini dan menganjurkan program mengikut rentak golongan muda," jelas Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang, Pengurus Masjid An-Nur, di Admiralty.



"Begitu juga ceramah atau kelas anjuran masjid secara umum, jika topik dan penceramah yang diingini dan diminati diundang, mereka akan datang."



Kelas-kelas yang mendapat sambutan di Masjid An-Nur, katanya, adalah 'Belajar Jap!', yang membicarakan topik belia dan masalah fikah; dan 'ONZXONZ' iaitu kelas mengaji secara fizikal dan Zoom setiap hari mengikut jadual mereka.



"Kebiasaannya sebelum pandemik, golongan muda akan hadir antara 20 dengan 40 peserta.



"Kami juga ada program 'Silat & Solat' setiap Jumaat yang pernah menarik sekitar 100 lebih peserta," tambah Ustaz Bahrul- Ulum.



Program 'Silat & Solat' itu, katanya, ditutup buat sementara, tetapi akan dibuka semula akhir bulan ini.



Masjid En-Naeem, di Hougang, pula menggunakan media sosial seperti Instagram dan klip video pendek untuk mendekati golongan muda.



"Banyak usaha pendekatan kami semenjak pandemik dilakukan secara dalam talian, dengan video ringkas yang memuatkan maklumat dan penerangan Islamik melalui wadah yang diminati golongan muda.



"Kami juga mempunyai barisan asatizah yang muda dan daripada pelbagai latar belakang untuk menarik mereka.



"Sebelum pandemik juga, kami pernah adakan karnival dan kami jemput selebriti setempat seperti penyanyi Didicazly dan pelakon Alfaeeza Ulhaq. Pendekatan ini berjaya menarik minat lebih 70 orang muda," terang Ustaz Muhammad Khairani Basiran, Ketua Komunikasi Strategik Jalinan Masyarakat Masjid En-Naeem.



Menurut beliau, masjid itu juga mengadakan kelas agama bagi golongan dewasa (ADIL), yang modul-modulnya disiapkan oleh Muis.



Buat masa ini, katanya, sekitar 25 peserta mengikuti kelas itu, yang mengupas tajuk, antaranya, menjadi Muslim di Singapura, fikah pesakit dan banyak topik lain.



Untuk memenuhi cita rasa golongan muda, Masjid Ar-Raudhah, di Bukit Batok, ada mengadakan kelas-kelas dalam bahasa Inggeris.



"Orang muda hari ini lebih tertarik kepada kelas yang diadakan dalam bahasa Inggeris dan yang mengupas isu-isu kontemporari atau yang boleh dikaitkan dengan kehidupan mereka.



"Oleh itu, kami ada menganjurkan kelas 'The Sacred Path' yang mengupas sirah Nabi dengan merujuk kepada As-Syamail Al-Muhammadiyah dalam bahasa Inggeris. Kelas ini dapat menarik menarik sekitar 10 hingga 15 peserta," kata Ustaz Hanan Farihin Jasmani, Penolong Ketua, Penglibatan Masyarakat & Pembangunan Dakwah yang juga Imam Eksekutif Masjid Ar-Raudhah.



Namun, ada juga masjid yang menghadapi kesukaran menarik perhatian golongan muda.



"Minat peserta muda mengikuti program dan kelas di Masjid Al-Amin adalah berdasarkan bentuk program, topiknya dan tenaga pengajar.



"Jika program berbentuk kursus dan ia membincangkan topik berkaitan memahami bacaan dalam solat, sains Islam atau ekonomi seperti riba dan sebagainya, golongan muda akan ikuti. Bagi program seperti ini 30 hingga 50 pesertanya terdiri daripada golongan muda," terang Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin.



Menurut beliau, jika program yang diadakan berbentuk syarahan, agak susah menarik perhatian golongan muda, melainkan jika asatizah tertentu yang dijemput.



"Daripada pemerhatian kami di Masjid Al-Amin, penduduk di kawasan sekitar masjid di estet Telok Blangah ini sebilangan besarnya warga emas dan kurang golongan muda.



"Jika program yang diadakan lebih mengikuti cita rasa golongan muda, golongan yang berusia 40-an tahun ke atas akan kurang menyertainya.



"Jika kuliah harian, boleh dikatakan kurang daripada 5 peratus golongan muda menyertainya. Pengalaman dan data di masjid-masjid lain mungkin berbeza," tambah Ustaz Syafiee.



Bagi Masjid Al-Falah, di Orchard Road, ia perlu lebih meneliti program yang benar-benar boleh mendapat sambutan untuk memastikan penyertaan yang ramai.



"Oleh sebab kelas-kelas agama sudah mudah didapati secara dalam talian dan juga keadaan yang tidak menentu disebabkan Covid 19, memang tidak mudah mendapatkan penyertaan, terutama golongan muda bagi program kami.



"Cabaran dan kesukaran memikat dan menarik minat golongan muda/dewasa sentiasa ada dan berubah-ubah mengikut keadaan, latar belakang dan minat mereka seperti kepelbagaian dalam fasa hidup," kata Ustaz Ahmad Faritz Mohamed Hairudin, Ketua Bimbingan Agama dan Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Falah.



Namun, masjid yang terletak di tengah-tengah kawasan beli-belah dan tumpuan utama remaja itu tidak berdiam diri dan terus melakar pelbagai program mesra orang muda.



"Kami ada menganjurkan kegiatan seperti 'Claim the Night' yang diadakan secara dalam talian yang merangkumi aktiviti menggunakan wadah seperti Kahoot!, Padlet dan Zoom," tambah beliau.



Program ini, katanya, melibatkan perbincangan dan perkongsian isi hati antara orang muda mengenai hal ehwal semasa seperti keadaan mental dan proses melalui kesukaran dalam kehidupan, lebih-lebih lagi dengan keadaan Covid-19 yang penuh dengan ujian.



"Ada juga perkongsian mengenai nilai-nilai murni Islam yang dapat diambil sebagai iktibar dan pedoman.



"Kami lebih banyak mengadakan kelas secara dalam talian dan setiap kali secara purata kehadiran boleh mencapai 25 orang dan kami juga cuba mengadakan program yang diadakan secara bersua-muka secara serentak," ujar Ustaz Ahmad Faritz.




IKUT TREND, MEREKA AKAN DATANG



"Sebenarnya, tidak sukar menarik minat golongan muda ini berjinak-jinak dengan masjid selagi kita dapat menunjukkan sebahagian trend terkini dan menganjurkan program mengikut rentak golongan muda.

Begitu juga ceramah atau kelas anjuran masjid secara umum, jika topik dan penceramah yang diingini dan diminati diundang, mereka akan datang."

- Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang, Pengurus Masjid An-Nur, di Admiralty.



CABARAN TARIK MINAT GOLONGAN MUDA MEMANG ADA



"Oleh sebab kelas-kelas agama sudah mudah didapati secara dalam talian dan juga keadaan yang tidak menentu disebabkan Covid 19, memang tidak mudah mendapatkan penyertaan, terutama golongan muda bagi program kami.

Cabaran dan kesukaran memikat dan menarik minat golongan muda/dewasa sentiasa ada dan berubah-ubah mengikut keadaan, latar belakang dan minat mereka seperti kepelbagaian dalam fasa hidup."

- Ustaz Ahmad Faritz Mohamed Hairudin, Ketua Bimbingan Agama dan Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Falah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >