Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERUBAHAN PEMIMPIN KEAGAMAAN MUIS

Mufti Fatris teraju pembangunan dasar agama progresif

Jan 10, 2020 | 05:30 AM



SEPANJANG sembilan tahun sebagai Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, telah memperkukuh Pejabat Mufti selain memberi sumbangan penting kepada pembangunan guru, pegawai dan cendekiawan agama setempat.



Beliau juga telah menerajui pembangunan dasar-dasar keagamaan yang progresif bukan hanya dari sudut kepimpinan agama dalam isu-isu rumit, bahkan dalam membangunkan program dan institusi yang telah memperkukuh pembangunan generasi pelapis asatizah dan cendekiawan Islam.



"Ini termasuk membimbing anggota-anggota bersekutu yang lebih muda dalam Jawatankuasa Fatwa, membangunkan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dengan fokus kepada Pendidikan Profesional Berterusan dan Kod Etika serta Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa)," kata Muis dalam kenyataannya semalam.



Dr Fatris, 49 tahun, melepaskan jawatannya sebagai Mufti pada 1 Mac ini - setelah tamat penggalnya sekarang - sebagai memberi peluang kepada pemimpin lebih muda untuk membimbing kehidupan beragama masyarakat.



Mengulas keputusannya itu dalam catatan di Facebook Muis, Dr Fatris berkata tanggungjawab Mufti adalah untuk memberi bimbingan agama bagi keperluan keagamaan masyarakat Islam yang semakin rumit dan pantas berubah di tengah-tengah masyarakat berbilang budaya dan agama seperti Singapura.



"Bagaimanapun, Mufti tidak dapat melakukan ini seorang diri. Beliau melakukannya secara bersama dengan tokoh-tokoh agama mapan dalam masyarakat dan dengan sokongan kukuh daripada pasukannya di Pejabat Mufti.



"Bagi Singapura pula, kita juga mempunyai lebih 4,000 asatizah yang berkhidmat untuk masyarakat," ujarnya.



Mufti menambah, hari ini masyarakat Islam di Singapura sudah berintegrasi dengan baik dalam sekitaran berbilang budaya dan agama di negara ini selain menyumbang dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.



"Justeru, kita dihormati dan dikagumi oleh cendekiawan luar negara dan saya telah berpeluang dijemput untuk berkongsi pengalaman ini di pelbagai wadah.



"Saya juga amat menghargai persahabatan utuh yang telah dibina dengan pemimpin agama yang lain di Singapura. Hubungan ini telah terus diperkukuh dari tahun ke tahun," tambah Mufti.



Mengulas penggantinya, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir dan dua Timbalan Mufti baru, Ustaz Mohd Murat Md Aris dan Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, Mufti berkata:



"Setelah bekerja rapat dan menjadi mentor kepada Dr Nazirudin, Ustaz Murat dah Dr Hannan untuk bertahun lamanya, saya yakin mereka akan dapat memimpin masyarakat ke tahap lebih tinggi."



Dr Fatris ialah seorang cendekiawan Islam yang telah mendalami pengajian dalam bahasa Arab dan pelbagai bidang Sains Islam.



Beliau merupakan lulusan bidang Teologi dari Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir.



Dr Fatris juga memegang ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Islam dari Universiti Birmingham, Britain.



Sumbangan beliau pula melebihi bidang keagamaan.



Dr Fatris menyumbang sebagai anggota Lembaga Rayuan, Mahkamah Syariah Singapura dan anggota Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama.



Beliau juga anggota Lembaga Pengamanah Forum Keamanan yang berpangkalan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) selain menganggotai Lembaga Gabenor Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan anggota Masyaikh Pergas.




"Selain bekerjasama dengan rakan-rakan untuk menyediakan bimbingan keagamaan yang baik dan relevan kepada masyarakat, saya juga melihatnya sebagai tanggungjawab saya untuk membangunkan generasi pelapis asatizah dan ulama."
- Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >