Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

UCAPAN PENUH MENTERI SEKITARAN DAN SUMBER AIR, ENCIK MASAGOS ZULKIFLI, DI MAJLIS ULANG TAHUN KE-80 MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

Melahirkan agamawan pelita masyarakat dari madrasah

Oct 07, 2017 | 05:30 AM



AL-MAARIF MEMPUNYAI TRADISI SENDIRI



SELAMA 80 tahun Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah memberi sumbangan penting kepada pendidikan madrasah di Singapura, dan bersama madrasah yang lain, kepada pembangunan negara.



Allahyarham Kiyai Fadzlullah Suhaimi telah mengasaskan madrasah ini pada 1936 - bermula hanya dengan 60 pelajar lelaki dan perempuan. Kemudian, pada 1948 ia mencatat sejarah apabila tiga pelajarnya melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor Islam, Universiti Al-Azhar.



Antara yang meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar ialah anak beliau sendiri, Allahyarham Ustaz atau lebih dikenali sebagai Mu'allim Kamil Suhaimi, yang tamat pengajian Syariah dan Undang-Undang di Universiti Al-Azhar.



Setelah itu, beliau melanjutkan pengajian di London di Lincoln's Inn dan lulus peperiksaan undang-undang (Barrister at Law) di sana.



Tiga orang ini ialah tiga anak perempuan Kiyai Fadzlullah Suhaimi. Mereka merupakan pelajar Singapura pertama yang belajar di Universiti Al-Azhar. Beliau ke sana pada 1955.



Sekembali ke Singapura, Mu'allim Kamil Suhaimi meneruskan tradisi ilmiah ayahnya. Sebagai penyelia Madrasah Al-Maarif, beliau meletakkan batu asas visi beliau yang melangkaui zamannya.



Beliau berwawasan melahirkan pelajar yang seimbang dunia dan akhirat, yang menggabungkan disiplin ilmu "ukhrawi" dan "sekular." Beliau menyedari, pendidikan madrasah tidak terbatas pada pendidikan agama, tetapi boleh memberi sumbangan bermakna kepada kehidupan dan negara.



Ini beliau buktikan dengan dirinya sendiri sebagai seorang peguam berjaya di Singapura, dan seorang alim yang mendidik masyarakat dan memimpin madrasah.



Muallim Kamil memperkenal penyesuaian penting pada kurikulum Madrasah Al-Ma'arif termasuk mempersiap pelajarnya menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) pada akhir 1960-an dan kemudian peperiksaan peringkat 'A' pada 1973.



Semenjak itu, ia telah melahirkan karyawan yang membuat sumbangan penting kepada negara. Puan Hajbee Abu Bakar adalah antara produk awal sistem seimbang ini.



Setelah selesai di Ma'arif, beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Nasional Singapura (NUS) sebelum menjadi pustakawan. Setelah lebih tiga dekad berkhidmat di perpustakaan nasional Singapura, beliau kini menjawat jawatan penting sebagai Pembantu Pengarah di Perpustakaan Negara Singapura, Bahagian Perpustakaan Masa Hadapan (Libraries of the Future).



Beliau kini membantu mencorak perpustakaan masa hadapan Singapura.



Dr Siti Rahmah Mirza Abdul Karim juga seorang lagi contoh graduan Ma'arif. Setelah meraih ijazah Sarjana Muda Sains dengan pengkhususan dalam biokimia, genetik dan biologi molekul, beliau melanjutkan pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang bioetika daripada Universiti Otago di New Zealand di bawah Skim PosSarjana Muis (Postgraduate Scheme: PGS).



Kini, beliau kembali mendidik para pelajar di Ma'arif untuk meneruskan tradisi keseimbangan dan kecemerlangan.



Beliau turut memberi sumbangan kepada masyarakat sebagai anggota panel sumber dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta pernah mewakili Muis dalam Muzakarah Ulama Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) tentang Islam dan Bioetika.



Inilah beberapa kisah kejayaan tradisi Madrasah Al-Maarif.



Sempena ulang tahunnya yang ke-80, saya mengucapkan syabas kepada Madrasah Al-Maarif, kepimpinan mereka dan para pelajarnya yang telah menempa pelbagai kejayaan sebagai pelajar aliran madrasah.



CABARAN-CABARAN MASYARAKAT ISLAM SETEMPAT



Kita kini berhadapan dengan beberapa cabaran dan isu besar. Sejak kebelakangan ini, saya telah mengetengahkan beberapa cabaran ini.



Sewaktu saya di Brunei baru-baru ini, saya juga berbincang dengan teman-teman pemimpin saya, para ahli akademik dan para pelajar Singapura di sana mengenai isu-isu ini.



Kita melihat bagaimana elemen luar - kesan daripada globalisasi - dapat mempengaruhi cara sesetengah daripada kita menjalani kehidupan beragama di sini. Ia sedikit sebanyak mampu menghakis ciri dan nilai unik kebudayaan kita sebagai seorang Melayu/Islam di Nusantara ini, warisan Melayu yang harus kita banggakan dan terus pelihara.



Jelas pemahaman eksklusif dan tegar hanya dapat berakar di sini apabila ia berjaya menolak kesahihan adat tempatan Melayu pada kehidupan beragama kita. Kesannya telah dapat kita rasakan. Ia memecahbelahkan masyarakat kita, malah antara anggota keluarga. Hingga ia boleh mekar menjadikan seseorang itu ekstrem dan memilih jalan pengganasan atau terorisme. Kemudian berikrar membantu kumpulan-kumpulan tegar seperti ISIS.



Maka, antara perkara yang saya ajak pelajar-pelajar di Brunei fikirkan ialah bagaimana penguasaan bahasa Melayu kita dapat ditingkatkan dengan dokongan para pemimpin dan pendidik agama.



Ini pernah ditonjolkan melalui karya-karya ulama Islam awal Nusantara ini seperti Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Abd Samad Palembangi. Ramai lagi yang kita boleh sebutkan, termasuk yang masih hidup seperti Menteri Agama Negara Brunei, Pehin Badarudin Osman, yang juga seorang sasterawan yang terdidik di madrasah Singapura.



Mereka semua mengesahkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan yang sesuai menanam kesucian kerohanian di Nusantara hingga ke hari ini - justeru kelembutan watak orang Islam berbangsa Melayu yang cukup terkenal.



MENCIPTA DAN MENINGGALKAN TRADISI DAN MENCORAK MASA DEPAN



Kini izinkan saya kembali kepada hal warisan dan tradisi madrasah di Singapura. Seperti tradisi-tradisi lain, ia perlu terus dipelihara, dan bahkan bersedia untuk mencipta tradisi baru sesuai dengan perubahan masa, menyiapkan diri sesuai dengan transformasi zaman dan cabaran-cabaran baru.



Kita tidak mampu hanya bersikap nostalgik atau melankolia menoleh ke belakang.



Dalam kecelaruan yang dihadapi umat Islam di mana-mana, kita banyak mendengar seruan supaya kembali ke zaman silam, zaman gemilang Islam yang sangat dikagumi hingga sekarang.



Jelas ulama zaman kita cuba berusaha keras demi menghidupkan kembali jati diri umat Islam. Sayangnya yang dilihat mata dunia sekarang ini hanyalah lebih ramai orang Islam bergamis dan bertudung dan juga semakin ramai yang bertegas disediakan makanan bersijil halal. Memanglah baik kita menutup aurat dan makan yang halal.



Tetapi, itukah yang kita boleh sebutkan sebagai sumbangan kita kepada umat manusia, rahmah yang dibawa Islam?



Kita lupa bahawa apabila Islam muncul pada awalnya, Islam membuat perubahan transformasi yang sangat ketara dan bukan setakat yang zahir. Ia memberi jaminan dan gambaran masa depan yang cemerlang yang tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun pada waktu itu.



Antara lain, visi keamanan dan ketenteraman Rasulullah saw. Ketika umat Islam di Makkah ditindas dengan keras, seorang sahabat meminta Rasulullah saw berdoa mendatangkan pertolongan segera Allah meng- atasi keadaan genting yang dihadapi umat Islam pada waktu itu. Nabi saw menasihatkan beliau supaya sabar.



Nabi berjanji Allah akan menyempurnakan urusan agama-Nya hingga seorang pengendara berjalan dari San'a menuju Hadramaut (di Yaman) dalam keadaan tidak takut kepada sesiapa pun kecuali Allah atau khuatir kambingnya dimakan serigala.



Inilah visi kemanusiaan Rasulullah, visi keamanan dan keselamatan dunia. Atas visi inilah, Islam telah berjaya membangunkan ketamadunan dan kesejahteraan kehidupan.



Ia meyakinkan para sahabat dan bertekad tegas untuk mewujudkan masa depan baru yang menjunjung ilmu, akhlak, keamanan dan kesejahteraan - justeru satu gambaran masyarakat yang sangat berbeza dan lebih baik daripada zaman yang menjunjung kuasa, harta dan perkauman hingga menzalimi umat manusia pada zaman itu.



Satu masa depan yang sangat luar biasa dan menarik pada zaman itu. Ramai yang tertarik kepada Islam kerana visi mulia ini, akhlak, etika dan keperibadian luhur yang dipamerkan, bukan kerana penampilan luaran atau kerana terpaksa natijah daripada kekuasaan dan kekerasan yang digunakan, seperti yang mahu dilakukan oleh sebahagian kumpulan dan orang pada waktu ini.



Hinggakan imej Islam diburukkan lagi dengan aksi keganasan dan terorisme atas nama mewujudkan zaman gemilang tersebut.



Justeru, bagi saya, cabaran utama madrasah-madrasah setempat ialah merampas kembali tradisi mereka melahirkan cendekiawan agama yang menjadi pelita masyarakat Nusantara, menempa masa depan yang cemerlang dan tidak hanya memimpikan zaman semalam. Hanya dengan itu madrasah kita akan menjadi institusi yang disegani.



Mampukah ia kita wujudkan kembali?



Mari kita lihat pencapaian madrasah kita masa lalu. Pakar Kehakiman dan Perundangan Islam, Almarhum Profesor Dr Haji Awang Mahmud Saedon, Penasihat dan Pakar Rujuk Undang-Undang Islam Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei - yang merupakan tokoh kehakiman rantau ini dan bekas pelajar Madrasah Aljunied - adalah antara contoh ulama serantau.



Beliau terkenal dengan pandangan-pandangan kreatif yang menerobos pemikiran baru dalam perundangan Islam. Dalam memberi pandangan dan penyelesaian kepada permasalahan semasa, beliau tidak hanya bersifat legalistik, tetapi bersifat empati kepada masyarakat dan permasalahan mereka.



Perwatakan mesra menjadikan beliau seperti ayah kepada para pelajarnya. Sifat humor atau lucu beliau - tetapi tetap mendalam pemikirannya - menjadikan beliau seorang ulama yang mudah didekati anggota masyarakat, tua atau muda, oleh orang awam atau pemimpin dan pegawai negara. Beliau memahami jiwa dan hati masyarakat.



Beliau dilahirkan di Brunei pada 1943, belajar di Madrasah Aljunied dari 1955 hingga 1961, kemudian di Kolej Islam Malaya dari 1962 hingga 1967, melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar sehingga meraih ijazah Kedoktoran, dan menjadi pelajar Melayu pertama yang lulus ijazah Kedoktoran di Universiti Al-Azhar pada 1976.



Beliau meninggal dunia ketika mesyuarat Mabims pada Jun, 2002.



Saya sering mendengar ceramah-ceramah Almarhum Ustaz Syed Abdillah AlJufri. Saya juga berulang kali berinteraksi dengan beliau sewaktu beliau bertugas di Muis.



Lembut dalam pendekatan beliau dan selalu tenang mendengar dan memahami sesuatu permasalahan. Beliau menekankan sudut akhlak dan kepentingan memahami adat setempat, realiti dan sistem semasa dalam nasihat-nasihat beliau.



Ustaz Syed Abdillah membuat sumbangan penting melalui Jawatankuasa Fatwa Singapura. Beliau memahami konteks semasa, dan melalui kepimpinan beliau di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), membimbing masya- rakat - sebagai contoh, dalam permasalahan hijab beberapa tahun dahulu.



Begitu juga Mu'allim Kamil Suhaimi, tokoh Madrasah Al-Ma'arif, yang saya puji pada awal ucapan saya. Malah, bapa Mu'allim Kamil dan pengasas Madrasah Al-Ma'arif, Kiyai Fadzlullah Suhaimi, bukan calang-calang ulama - beliaulah yang mengasaskan madrasah supaya anak-anak perempuan turut diberi peluang yang sama dalam pendidikan.



Beliau menggunakan bahasa Melayu dalam khutbah supaya umat terbimbing; dan tidak hanya memahami teks secara literal, atau hanya menjalankan ritual tanpa kefahaman dan meninggalkan pusaka ilmu dalam bentuk dokumen dan buku.



Mereka semua adalah pelita di zaman kita yang lalu. Pelita bukan setakat ilmu yang dimiliki. Pelita masyarakat kerana mereka sebagai ulama yang peduli pada masyarakat.



Ini juga bermakna mereka hidup melibatkan diri dalam kehidupan masyarakat, hinggakan mereka tahu keadaan masyarakat.



Justeru, apabila diminta petunjuk, ilmu dan pengalaman mereka menjadikan mereka pemimpin yang penyayang, penuh rahmah dan bukan setakat penghukum.



Siapakah pelita masyarakat di Singapura sekarang? Apakah kerana belum jelas pelita masyarakat tersebut hingga terlahir ulama-ulama di Internet yang muncul secara mendadak bak cendawan selepas hujan - yang cepat menghukum satu sama lain dengan ilmu 'cut and paste'?



Atau anak-anak madrasah yang baru keluar universiti yang tidak segan silu menyalahkan guru sesepuh mereka hingga mencelarukan fikiran agama masyarakat?



Kita pernah melahirkan asatizah dan ulama bak pelita yang menerangi kehidupan masyarakat sebelum ini. Dan saya yakin kita mampu terus menghasilkan agamawan seperti ini.



Kalau kita tumpukan untuk keperluan negara kita sahaja, madrasah harus melahirkan agamawan setempat yang memahami budaya, sistem nilai dan etika setempat, memahami hakikat bahawa Singapura adalah negara sekular dan masyarakat berbilang kaum dan agama, dan peka akan realiti dunia semasa.



Mereka memahami kedudukan unik orang Islam di sini sebagai minoriti.



Jika terlahir agamawan seperti mana yang saya sebutkan tadi, pasti juga beliau menjadi pakar dan ilmuwan agama yang menjadi rujukan dunia kerana tukikan ilmu dan pengalaman yang unik itu.



Yang saya harapkan juga ialah, yang terbaik di kalangan keluaran madrasah mengejar ilmu agama mendalam dan pengalaman luas hingga menjadi agamawan tersebut. Memanglah hebat apabila seorang doktor perubatan dihasilkan menerusi sistem madrasah.



Teruskanlah!



VISI MASA DEPAN MADRASAH AL-MA'ARIF



Namun kita turut sedar doktor boleh dididik di sekolah nasional kita yang diiktiraf kepiawaiannya. Tetapi hanya madrasah sahaja yang berupaya melahirkan agamawan yang berilmu dalam dan luas, yang menjadi contoh kerana berakhlak tinggi dan mulia dan yang arif dalam mentransformasikan masyarakat. Inilah yang sangat diperlukan masyarakat Islam.



Saya gembira visi Madrasah Al-Ma'arif ialah melahirkan generasi umat Islam yang kukuh jati diri, relevan mengikut peredaran zaman dan sentiasa bersikap toleran terhadap masyarakat sekeliling.



Dengan visi ini, Madrasah harus terus menyesuaikan program pendidikan madrasah agar ia menyajikan mata pelajaran yang kontemporari, memantau cara mengajar serta pedagogi yang terkini dan melaksanakannya dengan baik, menumpukan perhatian kepada pembangunan asatizah dan guru madrasah, dan membuka lebih banyak laluan pendidikan untuk pelajar bagi mempersiap mereka dapat merebut peluang-peluang baru yang akan wujud pada masa depan.



Kesemua usaha ini memerlukan kesungguhan, ketelitian, perancangan yang rapi serta institusi madrasah yang kukuh dan mantap. Sokongan padu masyarakat yang berterusan juga penting untuk meneruskan usaha ini.



Sokongan anda semua akan memastikan bahawa Madrasah Al-Ma'arif dan madrasah-madrasah kita yang lain akan terus melahirkan golongan ulama dan karyawan Islam yang mempunyai asas kukuh dalam kededua bidang ukhrawi dan akademik, peka akan budaya dan adat setempat, luas ufuk pemikirannya, dan dalam sifat empatinya, memberi sumbangan kepada kemaslahatan bersama dan kebaikan kemanusiaan sejagat.



Moga madrasah Singapura melahirkan agamawan pelita masyarakat Nusantara yang kita harapkan.




"Bagi saya, cabaran utama madrasah-madrasah setempat ialah merampas kembali tradisi mereka melahirkan cendekiawan agama yang menjadi pelita masyarakat Nusantara, menempa masa depan yang cemerlang dan tidak hanya memimpikan zaman semalam. Hanya dengan itu madrasah kita akan menjadi institusi yang disegani. Mampukah ia kita wujudkan kembali?"
- Encik Masagos Zulkifli, Menteri Sekitaran dan Sumber Air.



"Kita turut sedar doktor boleh dididik di sekolah nasional kita yang diiktiraf kepiawaiannya. Tetapi hanya madrasah sahaja yang berupaya melahirkan agamawan yang berilmu dalam dan luas, yang menjadi contoh kerana berakhlak tinggi dan mulia dan yang arif dalam mentransformasikan masyarakat. Inilah yang sangat diperlukan masyarakat Islam."
- Encik Masagos Zulkifli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >