Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Maliki: Masyarakat Muslim S'pura tidak harus dipengaruhi kuasa asing

Sebaliknya harus orak langkah sendiri untuk maju dan bersatu dalam dunia yang semakin berpecah belah
Oct 08, 2019 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu/Islam Singapura tidak boleh dan tidak harus dipengaruhi oleh kuasa asing, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman.



Sebaliknya, mereka harus mengorak langkah sendiri untuk maju ke hadapan, berdasarkan nilai yang telah membolehkan Singapura dan rakyatnya terus maju dalam dunia yang semakin berpecah belah.



Berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Agama (Pindaan) di Parlimen semalam, Dr Maliki berkata masyarakat boleh berbangga dengan sokongan kuat masyarakat Islam di Singapura - melalui sumbangan bulanan kepada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).



Ini telah membolehkan masyarakat mengumpul dana sendiri untuk membina dan menaik taraf masjid di semua estet dan menyokong pendidikan di madrasah, tanpa memerlukan pembiayaan asing.



"Kita boleh dan mesti terus berdikari agar dapat memenuhi keperluan kita sendiri tanpa mendedahkan diri kita kepada pengaruh luar yang mempunyai agenda mereka sendiri, lantas menggadai keamanan dan keharmonian yang telah kita nikmati," kata Dr Maliki.



Tambahnya, amalan di masjid-masjid dan institusi agama di bawah naugan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sudah pun sejajar dengan perlindungan yang telah dipertingkat dalam pindaan terhadap MRHA seperti memastikan kepimpinan institusi agama dianggotai rakyat setempat serta peraturan mengenai pembiayaan asing.



Kini, semua anggota Majlis Muis dan anggota lembaga pengarah madrasah setempat merupakan warga Singapura.



Bagaimanapun menurutnya, lebih banyak usaha selain undang-undang MRHA diperlukan untuk memastikan masyarakat Islam di sini terus mempunyai asas yang baik dan kukuh untuk mengamalkan agama Islam dalam konteks Singapura yang berbilang agama.



Semua anggota masyarakat termasuk guru agama dan pemimpin juga harus terus bersikap proaktif dan yakin bahawa keharmonian agama adalah penting demi penakatan dan kejayaan Singapura.



Oleh itu, Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) telah diperkenal dan asatizah yang ingin mendaftarkan diri di bawah skim itu perlu mempunyai kelulusan yang bersesuaian serta mematuhi Kod Etika Asatizah, yang menyatakan bahawa ajaran agama tidak boleh menggalak ekstremisme atau keganasan, mahupun merendahkan agama lain.



Sebaliknya, ia perlu menyemai rasa hormat dan pemahaman terhadap orang lain.



ARS telah diperkenal sebagai skim sukarela pada 2005 dan telah mendapat sokongan kuat daripada masyarakat, termasuk daripada kalangan asatizah.



Sokongan kuat ini amat ketara apabila pemimpin masyarakat dan agama sendiri yang meminta agar ARS diwajibkan pada 2016.



Kini, lebih 4,500 asatizah telah didaftar di bawah ARS.



Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) bertanggungjawab menyelia ARS dengan sokongan Muis manakala asatizah ARS perlu menghadiri program latihan di bawah Pendidikan Profesional Berterusan, dengan kesesuaian mereka sebagai asatizah disemak dari masa ke semasa.



"ARS adalah sebuah sistem teguh dan dipelopori oleh masyarakat sendiri.



"Ini menunjukkan semangat dan komitmen masyarakat Islam Singapura untuk memastikan agar guru agama mereka boleh dipercayai dan ajaran mereka sejajar dengan konteks Singapura yang berbilang agama,"ujar Dr Maliki.



Mulai tahun depan juga, semua lulusan agama dari universiti Islam luar negara perlu menjalani program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) sebelum dapat mendaftarkan diri di bawah ARS.



PCICS akan membantu asatizah setempat untuk terus berpandukan konteks Singapura yang berbilang agama dan mereka akan belajar tentang agama lain di Singapura.



Dengan cara ini, mereka diharapkan dapat menghargai pentingnya untuk memahami agama lain dalam mengukuhkan perpaduan sosial.



Dr Maliki berkata masyarakat Islam Singapura faham bahawa hubungan antara agama yang aman dan harmoni sekarang tidak boleh diambil mudah.



Masyarakat juga tidak boleh memandang remeh pengaruh, idea dan amalan luar yang boleh memudaratkan masyarakat dan perpaduan sosial.



Tambahnya, orang Islam dan yang bukan Islam di Singapura telah menunjukkan kepada rantau ini dan dunia bahawa tidak mustahil untuk mencapai sebuah model yang berteraskan harmoni untuk hidup bersama secara damai serta menjalin hubungan yang jujur dan ikhlas antara pemimpin dengan penganut agama yang berbeza.



"Justeru, kami percaya bahawa sedang landskap sosio-agama global terus berubah, pindaan kepada MRHA akan memastikan ia kekal sebagai satu perlindungan undang-undang yang berkesan untuk menjaga keharmonian agama dan menyokong usaha berterusan masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan sosial kita.



"Rang Undang-Undang ini menekankan keyakinan Singapura bahawa kita tidak akan membiarkan golongan dan pengaruh luar untuk menentukan cara kita menjalankan kehidupan beragama kita," kata Dr Maliki.




Apa kata AP



"Saya faham tidak praktikal bagi pihak berkuasa untuk memantau hubungan privet. Tetapi jika ada hasutan rasa benci, meskipun dalam suasana privet, ini menjadi satu keprihatinan. Rasa benci yang lebih mendalam boleh berkembang dengan masa yang berlalu, menerusi perbincangan privet yang berulang dan dengan pelbagai kumpulan."
– Cik Rahayu Mahzam (GRC Jurong)



"Terdapat beberapa orang yang menjalankan ajaran agama atau berkhutbah dalam privasi domain mereka sendiri, seperti di rumah, dewan privet mereka dan sebagainya. Ini perkara biasa di kalangan orang asing yang mungkin lebih selesa bersama kumpulan dari bangsa dan bahasa yang sama, tetapi ia juga berlaku di kalangan penduduk setempat. Kebimbangan saya, kita tidak tahu apa berlaku di belakang pintu, penganjur mungkin cuba promosi tujuan politik tertentu, atau beri ideologi ekstremis di bawah nama agama."
– Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh)



"Saya menyokong keperluan bagi tindakan segera, awal dan muktamad untuk memelihara toleransi dan keharmonian kaum dan agama, serta untuk menangani ancaman kepada keamanan awam. Bagaimanapun, bolehkah Menteri beri jaminan bahawa kuasa lebih luas yang diberikan kepada Menteri adalah wajar dan berdasarkan perisikan relevan dan fakta yang telah disahkan, dan bahawa tiada kumpulan agama atau kaum rasa mereka disasarkan secara tidak adil?"
– Dr Intan Azura Mokhtar (GRC Ang Mo Kio)



"Saya alu-alukan penggunaan kuasa rang undang-undang ini ke atas mereka yang cuba memecahbelahkan masyarakat (Melayu/Islam) atau mana-mana masyarakat agama lain. Kami tahu ada pelbagai mazhab dalam hampir setiap agama, dan terdapat ketegangan, yang berbeza tahapnya, antara pelbagai kumpulan itu. Oleh itu, dalam Islam atau agama lain, saya percaya keharmonian agama mesti bermula di ‘rumah', dan setiap masyarakat agama harus menghormati perbezaan dalam kepercayaan mereka sendiri."
– Profesor Yaacob Ibrahim (GRC Jalan Besar)




CONTOH-CONTOH GUGATAN / KEJAYAAN KEPADA USAHA KEHARMONIAN KAUM



CONTOH 1



  • Encik Christopher De Souza (GRC Holland-Bukit Timah) memberi dua contoh bagaimana di beberapa negara, seseorang yang mengamalkan agama telah menjejas keselamatan, nyawa dan hartanah

  • Di Republik Czech, pembinaan sebuah masjid telah disambut dengan petisyen, tunjuk perasaan dan merosakkan rumah-rumah keluarga Muslim

  • Di Mesir, selama setahun sehingga Oktober tahun lalu, 15 gereja telah ditentang oleh golongan Muslim dan menyebabkan 11 daripadanya ditutup; manakala stereotaip dan salah tanggapan tentang Kristian dan amalan mereka berleluasa dalam kalangan kanak-kanak sekolah

CONTOH 2



  • NMP, Cik Anthea Ong berkongsi pengalamannya mengasaskan bersama projek kemasyarakatan, 'A Good Space'

  • Menurutnya dalam masa tiga hingga enam bulan lalu, projek itu dihampiri oleh tiga kumpulan berbeza yang menyokong mereka yang mengalami tekanan mental kerana diskriminasi agama atau yang disifatkan beberapa pihak sebagai trauma keagamaan

  • Antara kumpulan itu telah ditubuhkan empat tahun lalu bagi menangani trauma keagamaan untuk wanita

  • Kumpulan itu menyediakan sokongan bagi mereka yang mengalami bermacam isu, seperti kaum Hawa yang berdepan sikap agresif dan menerima kenyataan seperti "Skirt anda terlalu ketat", "Mengapa anda tidak memakai hijab?" dan gangguan seksual

CONTOH 3



  • Semasa meneliti pindaan dalam rang ini, NMP, Cik Irene Quay teringatkan teman keluarganya, Encik Muhammad Haniff Abdul Razak yang meluangkan sebahagian besar daripada hidupnya dalam kerja keharmonian antara agama

  • Encik Muhammad Haniff yang pada masa itu bertugas di Muis, telah ditugaskan oleh bekas presiden Muis untuk menubuhkan Pusat Harmoni, bersama Imam Habib Hassan dan Cik Hairani Hassan

  • Konsep Pusat Harmoni telah dikagumi oleh banyak persatuan antara agama di merata dunia

  • Pada 2010, Encik Muhammad Haniff diundang oleh Profesor Master Chin Kung dan Mendiang Ng Kim Suan menubuhkan pusat serupa di Australia, Toowomba; sejak itu melaksanakan model serupa di negara lain seperti Taiwan, United Kingdom dan Thailand

  • Ini mencerminkan bagaimana Singapura dapat menjadi inkubator bagi model inovatif dan mempengaruhi amalan di merata negara, mahupun dalam hal keharmonian agama

CONTOH 4



  • Encik Gan Thiam Poh (GRC Ang Mo Kio) berkongsi pemerhatiannya tentang kerjasama antara agama dan akur kini lebih banyak kumpulan keagamaan yang berganding bahu untuk menyokong satu sama

  • Misalnya, baru-baru ini sebuah kumpulan Buddhist telah membantu dalam usaha mengawal trafik bagi para pengunjung di sebuah masjid

  • Satu lagi contoh adalah program yang dikendalikan oleh Masjid Al-Mawaddah dengan kerjasama gereja dan kuil bagi membantu golongan susah, tidak kira bangsa dan agama




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >