Kurangkan kegiatan tak penting dua minggu ini: Lawrence Wong

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kurangkan kegiatan tak penting dua minggu ini: Lawrence Wong

Terutama warga tua dan orang tinggal bersama ahli keluarga berusia, sedang kes Covid-19 tular dengan pantas
Sep 7, 2021 | 5:30 AM

Kurangkan kegiatan tak penting dua minggu ini: Lawrence Wong

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ee6cf8fc-934b-406e-b6c6-c76ba6518017
-

PENDUDUK Singapura digesa mengurangkan kegiatan sosial tidak penting sepanjang dua minggu mendatang, terutamanya warga tua dan mereka yang tinggal bersama ahli keluarga sudah berusia.

Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, membuat gesaan itu semalam, sedang jumlah kes baru Covid-19 di Singapura berganda kepada lebih 1,200 minggu lalu - naik daripada sekitar 600 kes pada minggu sebelumnya.

Kelompok besar kes Covid-19 juga dikesan baru-baru ini di pusat pertukaran bas, pusat beli-belah Bugis Junction dan Hospital Besar Changi.

Bercakap kepada media di The Treasury semalam, ketika mengumumkan langkah pengurusan selamat diperketat bagi mengawal keadaan Covid-19 di sini, Encik Wong berkata:

"Semakin kita kerap bergaul, semakin kita banyak keluar (rumah) dan berinteraksi (dengan orang lain), akan sentiasa ada kemungkinan bahawa mereka yang kerap bergaul tanpa sengaja menjadi punca acara perebak utama seterusnya.

"Kami ingin meminta orang ramai supaya menyekat (kegiatan sosial mereka), terutama semasa tempoh ini sedang terdapat banyak kes dan virus menular dengan pantas.

"Sekiranya boleh, sekat dan hadkan interaksi sosial anda."

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya semalam berkata kumpulan sosial harus dihadkan kepada kumpulan kecil individu yang kerap bertemu, dan perhimpunan sosial harus dihadkan kepada satu dalam sehari, baik bersama isi rumah lain mahupun di tempat awam.

"Semua individu, termasuk kededuanya, individu sudah divaksin sepenuhnya atau belum divaksin, juga harus menguji kendiri menggunakan ujian pantas antigen (ART), terutamanya jika mereka mengambil bahagian dalam kegiatan berisiko tinggi atau menghadiri acara berskala besar," tambah MOH.

"Kit ART ini sekarang dijual di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit."

MOH menambah bahawa semua syarikat juga akan menerima lapan kit ART bagi setiap pekerja. Pekerja harus menjalani ujian mingguan sepanjang tempoh dua bulan dan melaporkan hasil ujian.

Encik Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) Covid-19, semalam juga mengumumkan bahawa rejim ujian rutin berjadual pantas dan mudah akan diperluas ke lebih banyak sektor.

Sebelum ini, hanya pekerja di sekitaran berisiko tinggi seperti kedai makanan dan minuman, khidmat jagaan peribadi, dan gimnasium serta studio kecergasaan perlu menjalani ujian sedemikian.

Tidak lama lagi, pekerja pusat beli-belah, kakitangan pasar raya, kakitangan penghantaran - termasuk pekerja penghantaran bungkusan dan makanan - serta pekerja pengangkutan awam dan swasta seperti pemandu teksi, pemandu kereta sewa privet dan semua kakitangan pengangkutan awam di barisan depan perlu menjalani rejim ujian itu.

Kekerapan ujian wajib juga akan ditingkat daripada sekali dua minggu kepada sekali seminggu mulai 13 September, kata Encik Wong. Ujian ini akan diteruskan, terutamamelalui skim Swab Sendiri Diselia Majikan.

Pemerintah akan memberi subsidi untuk membiayai kos semua ujian di bawah rejim pemantauan dipertingkat itu, bagi kededuanya, individu sudah dan belum divaksin, hingga hujung tahun ini, kata MOH.

Butiran lanjut mengenai rejim pemantauan dipertingkat itu akan dikeluarkan kelak, ukar kementerian itu.

"Dengan semua langkah ini, kami berharap kita dapat memperlahankan penularan tanpa perlu kembali ke (keadaan) kewaspadaan dipertingkat, atau pemutus litar," kata Encik Wong.

"Semakin kita kerap bergaul, semakin kita banyak keluar (rumah) dan berinteraksi (dengan orang lain), akan sentiasa ada kemungkinan bahawa mereka yang kerap bergaul tanpa sengaja menjadi punca acara perebak utama seterusnya. Kami ingin meminta orang ramai supaya menyekat (kegiatan sosial mereka), terutama semasa tempoh ini sedang terdapat banyak kes dan virus menular dengan pantas. Sekiranya boleh, sekat dan hadkan interaksi sosial anda." - Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) Covid-19

LANGKAH KESELAMATAN BARU S'PURA DALAM MENGAWAL COVID-19

- Pemerintah akan memberi Amaran Risiko Kesihatan (HRW) dan Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA) kepada individu yang mungkin terdedah selepas kelompok jangkitan Covid-19 dikenal pasti.

- Semua syarikat akan menerima lapan kit ART bagi setiap pekerja. Pekerja harus menjalani ujian mingguan sepanjang tempoh dua bulan dan melaporkan hasil ujian.

- Rejim ujian rutin berjadual pantas dan mudah akan diperluas ke lebih banyak sektor. Kekerapan rejim ujian wajib juga akan ditingkatkan daripada sekali dua minggu kepada sekali seminggu mulai 13 September.

- Orang ramai, khususnya warga emas dan mereka yang tinggal dengan warga emas, digalak kurangkan aktiviti sosial tidak penting sepanjang dua minggu ini.

- Orang ramai juga harus mengehadkan diri kepada satu perhimpunan sosial sehari.

- Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas akan mendapat undangan untuk mendapatkan suntikan penggalak, atau 'booster', Covid-19 dalam masa dua minggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg