Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KEPUTUSAN GCE PERINGKAT ‘N’

Kesempitan hidup tidak lemahkan semangat capai kejayaan

Dec 18, 2018 | 05:30 AM



KESEMPITAN hidup tidak melemahkan semangatnya menuju gerbang jaya, tetapi sebaliknya meluaskan pandangannya agar sentiasa melihat ke arah positif.



Walaupun perlu menempuh pelbagai dugaan, Muhamad Syazrin Saini, 16 tahun, kekal fokus kepada apa yang beliau idamkan, iaitu kejayaan.



Pada usia 11 tahun, anak bongsu itu perlu berkongsi ruang flat sewa dua biliknya bersama lapan ahli keluarga lain, termasuk datuk, nenek dan pak ciknya.



Sejak itu, setiap kali dia ingin belajar, Syazrin akan ke tempat lain seperti perpustakaan dan pusat makanan ringkas supaya dapat belajar dengan tumpuan penuh.



Kolong blok tidak terkecuali, dan itulah tempat pilihan terakhir jika tempat lain terlalu penuh dengan pelajar lain.



"Kolong blok terlalu bising dan mengganggu tumpuan saya...



"Jadi, saya akan mendengar muzik melalui alat pendengaran saya (earpiece)," jelas pelajar aliran Normal Teknikal itu dengan nada positif.



Bagaimanapun, usahanya mengatasi cabaran mencari tempat belajar dalam suasana kondusif berbaloi.



Semalam, pelajar Sekolah Menengah Serangoon Garden itu menerima keputusan peperiksaan GCE Peringkat 'N' dan puas hati dengan keputusan itu.



Tahun ini, 97.5 peratus daripada 4,715 pelajar aliran Normal (Teknikal) lulus peperiksaan GCE Peringkat 'N'.



Beliau meraih gred A bagi aplikasi komputer, B untuk seni dan sains, dan C bagi bahasa Inggeris dan Melayu.



"Saya amat gembira dan terkejut apabila melihat Sains saya lebih baik. Sebelum ini, saya sentiasa mendapat gred C atau D, namun kali ini saya mencapai gred B," ujarnya yang mempunyai seorang abang.



Ibunya, Cik Rosmawati Hanipan, 41 tahun, turut berkongsi kegembiraan.



"Saya berharap dia tidak putus asa bagi pelajarannya akan datang, dan semoga dia mencapai cita-citanya," kata Cik Rosmawati yang merupakan penolong penjagaan kesihatan.



Menurut Syazrin, yang bercita-cita mahu mendalami reka fesyen, ibunya itu salah satu pemangkin semangatnya untuk berjaya.



Pada usia lapan tahun, ibu bapa Syazrin bercerai dan sejak itu, dia melihat ibunya memikul tanggungjawab sebagai pencari nafkah tunggal keluarga.



"Jika saya cemerlang, saya dapat mencari pekerjaan yang lebih baik bagi membantu keluarga saya... Sebelum ini, keadaan kewangan kami amat sempit," jelasnya yang menerima bantuan kewangan di sekolah.



Selain itu, Syazrin pernah menjadi mangsa buli di sekolah rendah dan peringkat awal sekolah menengah.



Walaupun satu persatu rintangan menduganya, Syazrin tidak pernah memandangnya sebagai sesuatu yang negatif.



Malah, tatkala menceritakan balik perjalanannya, Syazrin sentiasa tersenyum dan tenang.



Disebabkan kemampuannya kekal positif, Syazrin tidak mempunyai masalah mengimbangi masa.



Bukan sahaja aktif di luar darjah, sifat kepimpinannya juga terserlah.



Di samping menjadi ketua kelas dan ahli jawatankuasa bagi kegiatan ko-kurikular (CCA), Belia Red Cross, projek yang pernah diketuainya bagi warga emas yang mengalami demensia mendapat anugerah emas daripada Singapore Kindness Movement.



Tahun lalu, dia diiktiraf dengan Anugerah Edusave bagi Pencapaian, Kepimpinan Baik dan Perkhidmatan (Eagles) dan Anugerah Watak Edusave (ECHA).



Kini, Syazrin dan keluarganya sudah berpindah ke flat tiga bilik.



Meskipun kehidupannya serba sederhana, dia merasakan ia cukup sempurna.



Ini berbekalkan semangat positif yang membara dalam jiwanya.



"Jangan pandang pada masa lalu, sebaliknya lihat ke hadapan dan percaya dengan kemampuan diri. Jangan terlalu fikirkan cabaran itu, tetapi fokus kepada bagaimana mahu mengatasinya," nasihat Syazrin.




APA KATA PM LEE



Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam meraikan pelajar yang menerima keputusan Peperiksaan GCE Peringkat 'N' mereka dengan kata-kata pembakar semangat.



Menerusi tulisannya yang disiarkan di Facebook, PM Lee berkata penantian bagi mereka yang menduduki peperiksaan tersebut kini sudah berakhir.




''Ambil masa terima keputusan itu dan fikirkan langkah selanjutnya bagi perjalanan anda. Berikan anda masa untuk meraikan pencapaian ini bersama ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang telah mengharungi perjalanan anda bersama-sama.



Apa pun keputusan yang anda perolehi, saya harap anda tetap bersemangat. Genggam impian anda dan biarkan ia terus bersemarak.''




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >