Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jurupulih kanan galak lebih ramai wanita ceburi bidang pemulihan

Mar 08, 2021 | 05:30 AM



KAKITANGAN wanita dalam bidang penjagaan kesihatan, khususnya bidang pemulihan cara kerja atau occupational therapy, memiliki pelbagai kelebihan.



Contohnya, mereka mampu membina pertalian emosi lebih erat bersama klien. Justeru lebih ramai kakitangan tersebut diperhatikan terdiri daripada kaum Hawa.



Demikian pandangan jurupulih cara kerja kanan badan amal AWWA, Cik Nur Atiqah Hairodin, 30 tahun. Beliau ditemui di bangunan AWWA, 9 Lorong Napiri, Hougang, baru-baru ini.



"Kelembutan wanita menjadikan kami lebih peka terhadap keperluan klien. Selain menghadapi cabaran pergerakan jasmani, klien menghadapi pergolakan emosi.



"Mereka mungkin tidak mampu menerima keadaan baru seperti kecacatan mendadak atau kesukaran bergerak.



"Justeru hubungan terapeutik antara jurupulih dengan klien mampu kami wujudkan sebagai kakitangan wanita," ujarnya yang berkhidmat dengan AWWA sejak 2013.



Wawancara bersama Cik Atiqah diadakan sebagai sebahagian daripada siri rencana khas Berita Harian sempena meraikan Hari Wanita Sedunia hari ini.



Dalam pada itu, perihal daya inklusif masyarakat sudah sering menjadi teras perbincangan Republik ini.



Hal tersebut menekankan lagi kepentingan kerja jurupulih cara kerja sepertinya yang membantu klien dengan pelbagai keupayaan.



Karyawan sepertinya membantu klien yang menghadapi beraneka jenis isu seperti masalah urat saraf ekoran serangan angin ahmar, kecederaan pada otak dan palsi serebrum.



Setiap klien memerlukan tempoh pemulihan berbeza bergantung pada keadaan, iaitu dari sehari sahaja kepada empat tahun.



Sebagai jurupulih cara kerja kanan di bawah naungan Hab Terapi AWWA, Cik Atiqah ditugaskan membantu klien berusia 16 tahun ke atas.



Beliau memegang ijazah sarjana muda sains bidang pemulihan cara kerja Universiti Queen Margaret di Scotland dan diploma bidang sama di Politeknik Nanyang (NYP).



Selain itu, beliau memiliki lesen berkhidmat daripada Majlis Kerjaya Kesihatan Bersekutu (AHPC) di bawah Kementerian Kesihatan (MOH).



Hari ini, Cik Atiqah membantu dua klien dan melatih jurulatih mengendalikan pelbagai kegiatan di agensi khidmat sosial tidak meraih keuntungan SUN-DAC Chua Chu Kang. Selain itu, AWWA menghantarnya ke Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) di Toa Payoh Rise untuk membantu empat klien.



Jelasnya, tugas jurupulih cara kerja berbeza dengan ahli fisioterapi.



Ahli fisioterapi menumpukan perhatian terhadap otot dan fisiologi manusia manakala jurupulih cara kerja merangsang pemulihan demi melaksanakan kegiatan harian seperti mandi dan pakai baju.



"Cabaran kerja ini ialah cara kita mempersiap diri bagi mengendalikan sesi pemulihan selanjutnya. Ada kalanya, jadual sesi pemulihan antara klien sangat rapat.



"Namun, saya suka bekerja dalam sektor ini. Tugas ini memberikan kami peluang menyaksikan kesan baik yang berlaku terhadap kehidupan klien," ujarnya.



Secara peribadi, Cik Atiqah berkata Singapura sudah banyak mencapai penanda aras baik dari segi merangsang daya inklusif masyarakat. Namun, beliau berharap kesedaran tentang warga berkelainan upaya terus dipertingkat terutama sekali dalam kalangan belia.



"Kita yang memahami perlu sentiasa berkongsi dengan anggota keluarga dan rakan. Usaha sebegini akan mencipta persekitaran lebih baik buat warga berlainan upaya," ujarnya.



Akhir kata, beliau berharap lebih ramai wanita akan menceburi bidang pemulihan sepertinya.



"Kerja ini kerja yang mulia. Kita kedepankan diri demi membantu sesama manusia. Tugas ini turut merubah diri dan sudut pandangan saya sejak menceburinya 10 hingga 11 tahun lalu.



"Kini saya memandang sesuatu perkara dari sudut pandangan berbeza, menghalang diri daripada menghukum sesiapa dan menjadi insan lebih bersifat ihsan secara keseluruhan," ujarnya.




"Kelembutan wanita menjadikan kami lebih peka terhadap keperluan klien. Selain menghadapi cabaran pergerakan jasmani, klien menghadapi pergolakan emosi. Mereka mungkin tidak mampu menerima keadaan baru seperti kecacatan mendadak atau kesukaran bergerak. Justeru hubungan terapeutik antara jurupulih dengan klien mampu kami wujudkan sebagai kakitangan wanita.''
- Cik Nur Atiqah Hairodin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >