Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hapus stigma barah buah dada, galak pemeriksaan kesihatan: Rahayu

Gesa wanita jaga pemakanan, tingkat aktiviti fizikal bagi kurangi risiko hidapi penyakit
Oct 01, 2023 | 02:49 PM



Sesetengah wanita mungkin masih teragak-agak untuk menjalani pemeriksaan buah dada kerana berasa takut atau mempunyai salah tanggapan mengenainya.

Ini walaupun ada usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai barah buah dada dan menggalak pengesanan awal penyakit itu, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.

Oleh itu, adalah penting masyarakat bekerjasama bagi menangani cabaran ini dan menggalak lebih ramai wanita mengutamakan kesihatan buah dada dan melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Hanya dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong, di mana perbualan tentang kesihatan buah dada digalak, kita boleh menghilangkan mitos dan menghapuskan stigma yang menyelubungi barah buah dada,” kata Cik Rahayu dalam ucapannya di Karnival Bulan Kesedaran Kanser Payudara Yishun Health di Pusat Belia Kemanusiaan Tzu Chi pada Ahad.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kadar penyakit barah buah dada, walaupun selepas disesuaikan menurut usia, telah meningkat hampir empat kali ganda berbanding lima dekad lalu.

Penyakit itu juga merupakan barah paling lazim berlaku dalam kalangan wanita Singapura berumur 30 hingga 79 tahun, dan ia semakin meningkat.

“Menurut Pendaftaran Barah Singapura, seorang dalam 13 wanita mungkin menghidap penyakit barah buah dada sepanjang hayat mereka.

“Antara 2017 dengan 2021, hampir 13,000 kes penyakit barah buah dada dilaporkan, membentuk hampir 30 peratus daripada semua kes penyakit barah dalam kalangan wanita,” kata Cik Rahayu.

Beliau menambah bahawa walaupun risiko menghidap barah buah dada disebabkan faktor seperti genetik dan sejarah keluarga tidak boleh dielak, wanita masih boleh menjaga pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal mereka untuk mengurangkan risiko menghadapinya.

“Adalah penting mengambil langkah ke arah gaya hidup sihat. Penyakit barah buah dada mempunyai salah satu daripada kadar kelangsungan hidup tertinggi berbanding penyakit barah lain yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita, terutamanya jika dikesan lebih awal.

“Oleh itu, pemeriksaan kesihatan buah dada berkala dan pemeriksaan sendiri setiap bulan adalah langkah penting yang boleh diambil untuk pengesanan awal dan intervensi tepat pada masanya,” kata Cik Rahayu.

Acara pada Ahad itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit barah buah dada dan kesannya, serta menggalak pengesanan awal melalui pemeriksaan berkala.

Yishun Health bekerjasama dengan Yayasan Barah Buah Dada, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Diagnostik Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional, Poliklinik Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional, Persatuan Rakyat (PA) dan Persatuan Barah Singapura untuk menganjurkan acara itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >