Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan

Golongan pendapatan rendah, pertengahan perlukan lebih sokongan

Fahmi Aliman gesa pemerintah perluaskan kriteria kelayakan golongan pertengahan terima lebih banyak subsidi
Feb 24, 2023 | 05:30 AM



LEBIH banyak sokongan harus dihulurkan kepada pekerja berpendapatan rendah hingga pertengahan, terutamanya di tengah-tengah cabaran ekonomi dan inflasi yang mendorong harga barang untuk meningkat, kata para Anggota Parlimen (AP) pekerja Melayu.



Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade) berkata sedang harga barangan dan perkhidmatan meningkat dek inflasi, kuasa beli pekerja berkurangan dan ia menjadi lebih sukar bagi mereka mempunyai kemampuan untuk membeli barang keperluan harian.



Dalam usaha membantu para pekerja, beliau antara lain menggesa pemerintah memperluaskan kriteria kelayakan dan meningkatkan pembayaran untuk mereka yang mempunyai tanggungan supaya dapat merangkumi lebih ramai pekerja berpendapatan pertengahan.



Menurut data Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Jabatan Statistik, gaji median tumbuh 21.5 peratus antara 2014 dengan 2019 selepas mengambil kira inflasi, namun bagi sesetengah kumpulan pekerja, pertumbuhan gaji median mereka lebih rendah berbanding pertumbuhan keseluruhan.



Khususnya bagi karyawan bersekutu dan teknisyen serta karyawan, gaji median sebenar mereka tumbuh antara 5 dengan 8 peratus dalam tempoh yang sama.



"Inflasi menjejas kumpulan pendapatan yang berbeza secara berlainan, dan pekerja berpendapatan pertengahan paling terjejas kerana mereka tidak dapat menerima subsidi dan sokongan pemerintah disebabkan gaji mereka yang biasanya lebih tinggi berbanding had kelayakan," kata Encik Fahmi di hari kedua perbahasan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Khamis.



"Mereka yang perlu menjaga tanggungan juga mungkin lebih terasa cabarannya. Akibatnya, inflasi boleh memberi kesan besar terhadap taraf hidup dan keupayaan mereka untuk menabung bagi masa depan," tambah beliau, yang juga Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).



Bagi pekerja berpendapatan rendah, Encik Fahmi menggesa pemerintah untuk menyemak Kelayakan Gaji Setempat (LQS) setiap tahun untuk memastikan gaji tumbuh seiring dengan sasaran penumpuan gaji bagi golongan itu.



Ini boleh dilakukan melalui mekanisme seperti Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) yang sudah pun menyediakan garis panduan mengenai julat pertumbuhan gaji progresif bagi pekerja bergaji rendah setiap tahun, tambah beliau.



Sejak September 2022, syarikat yang menggajikan pekerja asing dikehendaki membayar semua pekerja setempat mereka sekurang-kurangnya LQS sebanyak $1,400 sebulan.



Encik Fahmi berkata meskipun pelaksanaan LQS adalah perlu, demi melindungi pekerja setempat dan mengelakkan pekerjaan bergaji rendah dilakukan pekerja asing, jumlah LQS sebanyak $1,400 sekarang adalah jauh lebih rendah berbanding paras gaji pekerja di persentil ke-20 terbawah iaitu sekitar $2,800 pada 2022.



"Selanjutnya, kebanyakan gaji progresif juga disandarkan pada jumlah yang lebih tinggi, antara $1,500 bagi kerani kemasukan data, hingga $3,330 bagi pakar lif dan tangga gerak utama.



"Model Gaji Progresif (PWM) juga direka supaya gaji mereka dinaikkan pada kadar yang dipersetujui setiap tahun," kata beliau.



Sementara itu, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, pula menyentuh tentang pekerja platform, sambil berkata langkah bagi golongan itu menyumbang kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) adalah tindakan yang bertanggungjawab, demi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk memiliki rumah dan persaraan kelak.



November lalu, Jawatankuasa Penasihat Mengenai Pekerja Platform telah mengemukakan saranan, antaranya bagi kadar caruman CPF pekerja platform diselaraskan dengan kadar pekerja biasa dan majikan - iaitu masing-masing 20 peratus dan 17 peratus untuk pekerja berusia 55 tahun ke bawah.



Dalam Belanjawan 2023, ia telah diumumkan bahawa Skim Sokongan Peralihan CPF bagi Pekerja Platform (PCTS) akan disediakan untuk membantu pekerja platform warga Singapura berpendapatan rendah - yang meraih pendapatan $2,500 dan ke bawah sebulan - bagi tempoh empat tahun pertama selepas langkah meningkatkan sumbangan CPF bagi golongan itu dilaksana.



Encik Abdul Samad, yang juga naib presiden NTUC, berkata langkah tersebut tidak harus dipandang sebagai satu sekatan ke atas mata pencarian harian, dan sebaliknya, adalah satu tindakan bertanggungjawab pihak pemerintah.



"Ramai dalam kalangan ma-syarakat kita mempunyai kelayakan dan keupayaan yang membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang tetap. Andai kata ia tidak begitu, kita harus meningkatkan lagi usaha untuk meningkatkan kemahiran demi meraih peluang pekerjaan tetap yang sedia ada.



"Terdapat banyak sekali skim bantuan pemerintah yang membolehkan anda menjalani latihan meraih kemahiran yang diperlukan untuk anda meraih peluang pekerjaan yang tersedia," kata beliau.




"Inflasi menjejas kumpulan pendapatan yang berbeza secara berlainan, dan pekerja berpendapatan pertengahan paling terjejas kerana mereka tidak dapat menerima subsidi dan sokongan pemerintah disebabkan gaji mereka yang biasanya lebih tinggi berbanding had kelayakan.
Mereka yang perlu menjaga tanggungan juga mungkin lebih terasa cabarannya. Akibatnya, inflasi boleh memberi kesan besar terhadap taraf hidup dan keupayaan mereka untuk menabung bagi masa depan."
- Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman.



"Ramai dalam kalangan masyarakat kita, saya percaya, mempunyai kelayakan dan keupayaan yang membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang tetap. Andai kata ia tidak begitu, kita harus meningkatkan lagi usaha untuk meningkatkan kemahiran demi meraih peluang pekerjaan tetap yang tersedia ada."
- Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >