Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HARI WANITA ANTARABANGSA

Gadis nakal bangkit dari hidup merempat jadi usahawan kendali 3 jenama

Mar 08, 2021 | 05:30 AM



SEDANG pelajar lain melayari zaman persekolahan mereka seperti remaja lain, Cik Nina Zalyana Zazali sebaliknya terpaksa melalui satu pengalaman perit yang berbeza.



Akibat lari dari rumah semasa di menengah dua, Cik Nina terpaksa dimasukkan ke Rumah Tumpangan Remaja Perempuan (Girls' Home).



Kehidupan yang menurutnya "amat sukar" ekoran tingkah lakunya yang dikawal rapi, Nina menyifatkan kehidupan tiga tahun di sana sebagai antara yang paling teruk dalam hidupnya.



"Pendidikan paling tinggi yang saya ada ialah PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah).



"Memang kehidupan saya terumbang-ambing ketika itu," kata beliau, yang tangan dan kakinya bertatu.



Namun, di sebalik segala jerih-payah yang beliau lalui, hari ini, Cik Nina mampu bangkit dan keluar daripada kepompong kesukaran yang dilaluinya.



Dek kerja keras dan keinginan untuk berjaya demi keluarga dan anak-anak, ibu dua anak lelaki berusia dua tahun dan sembilan tahun itu kini merupakan usahawan yang mengendalikan bersama tiga jenama berbeza.



Ini termasuk Love, Nina Zazali yang menjual pakaian wanita; kafe Love, Food Club dan Raw Customs, yang membuat kerja-kerja pertukangan bagi pencinta haiwan seperti kucing dan burung.



"Saya rasa pengalaman yang saya lalui sebelum ini mencorak keperibadian saya hari ini. Ia memberi saya daya tahan lebih tinggi untuk ingin bingkas, maju dan mara ke hadapan," katanya.



Menyingkap kembali perjalanan hidupnya, Cik Nina, 34 tahun berkata beliau telah berkahwin muda pada usia 20 tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki.



Namun mahligai yang dibina itu mulai retak selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.



Tekad untuk menyara kehidupannya bersama anak yang baru dilahirkan ketika itu, Cik Nina memastikan anaknya itu mempunyai tempat teduh yang selesa.



"Gaji saya ketika itu berbentuk komisyen, dan saya hanya mampu membawa pulang $500 sebulan.



"Sekitar $300 saya akan berikan kepada penjaga bayi yang menjaga anak saya ketika saya kerja, $100 untuk keperluan anak, dan baki untuk saya.



"Ada kalanya duit pun tidak mencukupi. Pernah saya teringat saya tidak ada wang untuk membeli tepung susu anak.



"Mentelah lagi, ketika itu, saya memang tidak ada tempat tinggal. Jadi lepas kerja saya akan singgah di rumah penjaga bayi lihat anak, kemudian saya keluar.



"Oleh kerana tiada tempat tinggal, ada kalanya saya tidur di rumah kawan atau tidur di tepi tangga atau perhentian bas, secara senyap.



"Tetapi ada kalanya juga, penjaga bayi itu sudi membuka rumah mereka untuk saya dan anak. Saya amat, amat bersyukur ketika itu," katanya.



Selang beberapa bulan kemudian, barulah beliau mendapat rumah sewa dan setelah lima tahun, memutuskan pula untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi, buat kali kedua.



Namun, selepas Cik Nina diberhentikan kerja, keadaan kewangan keluarga amat terjejas.



Suaminya, Encik Suhari Mustaffa, 40 tahun ketika itu bekerja sebagai konsultan pelatih.



Dari situlah mulanya Nina mengorak langkah dan memberanikan diri menjual pakaian kanak-kanak dan pakaian terpakainya secara langsung di Facebook.



Perjalanan kehidupannya dikongsi bersama dengan pengikutnya yang tertarik dengan kecekalan dan semangat kental yang ditonjolkannya.



"Tanpa disedari dalam perkongsian saya, ada juga wanita yang mengalami nasib yang serupa seperti saya.



"Kini saya mahu memberi mereka inspirasi dan menunjukkan, jika saya mampu bertahan dan keluar daripada lingkaran hidup yang sedemikian, mereka juga mampu membuat yang serupa," ujarnya.



Hasil tempahan yang bertimbun, Cik Nina mula membuka kedai pakaiannya bulan lalu di 5 Mayo Street, empat tahun selepas memulakan perniagaan dalam talian.



Sebelum itu, beliau juga pernah mencuba-cuba membuka gerai di bazar Ramadan Geylang Serai sebelum membuka galeri kecil pertamanya di Dunlop Street.



Suaminya juga, menurut Cik Nina, banyak memberi sokongan dan merupakan tulang belakangnya.



Menurut Encik Suhari, pada awalnya beliau juga agak hairan melihat isterinya berbual sendiri di telefon bimbit semasa melakukan penjualan secara langsung di Facebook.



Namun, apabila melihat isterinya bersungguh-sungguh mahu mengembangkan perniagaannya, beliau memutuskan untuk membantunya sepenuh masa.



Nasihatnya kepada para suami lain: "Sebagai suami, kita tidak seharusnya mengetepikan sebarang idea atau usaha yang ingin dijalankan isteri. Usah pandang remeh terhadap kesungguhan mereka.



"Sebaliknya, kita perlu beri sokongan kepada mereka. Jika bukan sokongan daripada segi wang ringgit, beri sokongan dalam bentuk lain seperti daripada segi emosi ataupun buah fikiran. Bak kata pepatah, dalam rumah tangga, ia memerlukan dua tangan untuk bertepuk."




"Saya rasa pengalaman yang saya lalui sebelum ini mencorak keperibadian saya hari ini. Ia memberi saya daya tahan lebih tinggi untuk ingin bingkas, maju dan mara ke hadapan...



Kini saya mahu memberi mereka inspirasi dan menunjukkan, jika saya mampu bertahan dan keluar daripada lingkaran hidup yang sedemikian, mereka juga mampu membuat yang serupa."
- Cik Nina Zalyana Zazali, yang bangkit dan keluar daripada kepompong kesukaran yang dilaluinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >