Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Asatizah perlu beri panduan, bimbingan bagi elak kekeliruan konflik di Timur Tengah: Mufti

Irsyad bagaimana asatizah dapat dekati masyarakat tentang konflik bakal dikeluarkan
Nov 02, 2023 | 08:34 PM



Terdapat pelbagai reaksi, maklum balas dan naratif yang datang dari pelbagai sumber terutama di dalam media sosial yang menimbulkan kekeliruan mengenai apa yang harus dilakukan oleh umat Islam, khususnya sebagai Muslim di sini, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Disebabkan itu, adalah penting bagi pemimpin agama dan asatizah agar terus memberi bimbingan yang baik kepada masyarakat bagaimana mereka dapat menghadapi keadaan yang sedang bergolak di Timur Tengah. 

“(Konflik yang sedang berlaku di Gaza) pasti menjejas perspektif dan juga perasaan banyak masyarakat dan juga golongan manusia termasuk masyarakat Islam di Singapura dan tentu sekali kekejaman dan keganasan sedemikian harus berhenti dengan serta-merta. 

“Tetapi kami juga akur bahawa ada kesan dan impak dalam pemikiran masyarakat apabila melihat konflik ini, khusus apabila mereka mendengar dan mendapatkan pelbagai reaksi respons dan juga naratif yang datang dari pelbagai sumber di media sosial dan sebagainya. 

“Maka timbul kebingungan dan juga kekeliruan, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam dan sebagai seorang Muslim? 

“Dan di sini saya lihat adalah penting untuk kepimpinan agama dan asatizah kita terus memberi bimbingan yang baik kepada masyarakat, bagaimana mereka dapat menjalani ataupun menyalurkan emosi yang mereka rasakan itu dengan cara yang bertepatan dengan prinsip serta nilai agama,” kata Dr Nazirudin kepada wartawan selepas Forum Kepimpinan Agama 2023, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan Islam pada Khamis.

Di acara yang berlangsung di Hotel Royal Plaza on Scotts di kawasan Orchard Road itu, Dr Nazirudin menekankan asatizah juga harus terus berhemah dalam memberikan respons kepada persoalan yang diajukan masyarakat Islam di sini, dengan respons diberikan perlulah membina dan memperbaiki keadaan bukan hanya di tempat konflik, malah di Singapura.

Mereka juga perlu bersikap prihatin dalam memberikan sesuatu respons agar tidak menimbulkan isu lain yang mungkin menghambat usaha dalam membina masyarakat yang baik di Singapura, tambah beliau.

Forum Kepimpinan Agama yang diadakan buat julung kalinya itu dan bertemakan Membimbing Masyarakat Muslim Singapura Mengenai Konflik Timur Tengah dihadiri seramai 120 asatizah setempat.


Forum ini bertujuan untuk memupuk pemahaman yang mendalam tentang isu yang dihadapi dari sudut pandangan Islam tempatan.

Melalui forum ini, ia juga berharap dapat meneroka cara bagaimana pertubuhan agama di sini juga boleh membimbing masyarakat Islam Singapura ke arah mendalami dan memahami serta bagaimana mereka dapat menangani isu yang mencabar ini.

Muis dengan kerjasama Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Rangkaian Belia Asatizah (AYN) sedang berusaha mengeluarkan ‘irsyad’ atau ‘panduan’ mengenai bagaimana asatizah dapat mendekati segmen berbeza masyarakat Islam Singapura dalam memberi bimbingan tentang konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Pejabat Mufti akan mengeluarkan panduan itu dalam masa terdekat. 

Menyentuh tentang panduan ini, Dr Nazirudin berkata panduan yang telah kami kongsikan dan ketengahkan kepada pemimpin agama di forum ini adalah untuk membantu masyarakat Muslim melihat “kesan yang timbul dari konflik ini dan bagaimana kita boleh menguruskannya dengan bijak, membina dan positif”.

“Antaranya ialah memperkukuh kerohanian dan terus berpandukan prinsip dan nilai Islam serta menyalurkan usaha membantu mangsa melalui kerja kemanusiaan, mendoakan mereka dan juga memberi tumpuan kepada perkara positif.

“Tugas dan tanggungjawab kami di sini adalah untuk terus mengukuhkan hubungan dengan masyarakat lain bagi menunjukkan bahawa kewujudan bersama secara aman mampu berlaku di tengah-tengah kepelbagaian agama di sini dan ini adalah salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh banyak masyarakat di luar,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >