Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

4 bulan gelandangan di kolong blok, lega masjid jadi tempat berteduh

Ini antara pengalaman gelandangan pelbagai bangsa dan agama yang manfaat program tempat tidur selamat di Masjid Assyakirin
Jan 20, 2022 | 05:30 AM



SELAMA hampir empat bulan, kolong blok serta kawasan tangga perumahan HDB di kawasan Bukit Gombak menjadi tempat Encik Zainul (bukan nama sebenar) tidur dan berehat.



Hidup sebagai seorang gelandangan ini merupakan detik yang sukar yang terpaksa dilaluinya dengan tabah.



"Sementara menunggu untuk mendapatkan rumah sewa, saya terpaksa jadikan tepi-tepi tangga sebagai tempat saya berehat semalaman.



"Itulah tinggal di tempat sebegini kita memang tidak ada bekalan elektrik atau air, jadi kalau hendak mandi saya akan ke mana-mana tandas berhampiran untuk mandi.



"Ini pun saya harus lakukan dengan senyap-senyap agar orang lain tidak tahu supaya tidak dihalau keluar.



"Kadangkala di waktu malam akan berasa panas dan saya pula tidur tanpa kipas, jadi memang kurang selesa," kata beliau yang kini berusia 76 tahun.



Mengenang tentang nasibnya itu, Encik Zainul berkata hampir setiap malam beliau akan berdoa kepada Tuhan agar memberinya tempat yang lebih selesa untuk menumpang teduh.



Doanya bagaikan dimakbulkan setelah beliau dihampiri seorang pekerja sosial yang membantunya mendapatkan penginapan sementara di Masjid Assyakirin sekitar enam bulan lalu, sementara merancang untuk mendapatkannya tempat tinggal buat jangka masa panjang.



Masjid terletak di Taman Jurong itu adalah antara pertubuhan masyarakat setempat yang tampil untuk menyediakan tempat tidur buat golongan gelandangan sewaktu tempoh pandemik ini.



Encik Zainul merupakan antara 12 gelandangan yang telah memanfaatkan program tempat tidur selamat atau Safe, Sound Sleeping Places (S3P) di bawah Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (PEERS), sejak masjid itu tampil menyahut panggilan pemerintah untuk membantu golongan ini semasa tempoh pemutus litar pada 2020.



S3P menyediakan sekitaran selamat di premis rakan masyarakat, seperti masjid bagi golongan gelandangan berehat pada waktu malam.



Ia juga memudahkan agensi khidmat sosial mencari mereka dan mendekati mereka dengan secepat mungkin.



Menurut ketua bahagian Sosial dan Penjagaan Masyarakat Masjid Assyakirin, Ustaz Muhd Aizat Zulkifli, golongan ini telah dirujuk kepada pihak masjid oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) atau Pejabat Khidmat Sosial (SSO).



Ramai di antara mereka yang memohon mendapatkan tempat tidur di ruang khas yang disediakan merupakan mereka daripada golongan yang mudah terjejas seperti warga emas, tambah beliau.



"Mereka yang telah memanfaatkan program S3P ini di masjid ini berusia antara 38 dengan 70 tahun dan mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama," kata beliau.



Masjid Assyakirin telah menyediakan sebahagian ruang tingkat bawah tanah masjid sebagai tempat berehat bagi gelandangan ini.



Ruang tersebut menempatkan lima katil, meja dan kerusi serta pantri kecil bagi minuman dan snek. Mesin pencuci dan pengering pakaian, dan WiFi juga disediakan bagi kegunaan mereka.



Ustaz Aizat turut menarik perhatian bahawa pihak masjid juga akan menilai apa yang diperlukan golongan gelandangan ini.



"Ramai di antara mereka merupakan warga senja yang tidak bekerja dan mereka memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai wang untuk ke klinik berjumpa doktor.



"Jadi kami akan membantu mereka memohon untuk mendapatkan kad Skim Bantuan Kesihatan Komuniti (Chas).



"Sekiranya mereka perlukan bantuan kewangan, kami juga boleh membantu menerusi bantuan kewangan zakat kami," kata beliau lagi.



Meluahkan kesyukurannya kerana diberi peluang mendapat perlindungan di masjid itu, Encik Zainul berkata:



"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dapat tempat yang selesa untuk tidur dengan kemudahan lain.



"Di sini juga saya dapat membuat ramai kawan baru yang senasib dengan saya."



Ustaz Aizat, yang sudah hampir 10 tahun bertugas di Masjid Assyakirin melahirkan harapan agar masjid itu dapat terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat umum.



"Kami ingin mendekati segmen masyarakat yang lebih meluas, terutama yang tidak atau kurang mendapatkan bantuan.



"Kami juga berharap menerusi usaha kami ini, ia membuka peluang kepada pertubuhan atau masjid-masjid lain untuk turut sama membantu golongan gelandangan ini," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >