Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Beri peluang tak terbatas pada wanita

Satu siri Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura bagi membincangkan cabaran dan peranan wanita di arus kemajuan kini sedang dijalankan. Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, merupakan antara tiga pemegang jawatan politik wanita yang menerajui semakan menyeluruh berkenaan isu melibatkan kaum wanita itu. Beliau diundang ke studio Berita Minggu baru-baru ini untuk mengongsi pandangannya tentang topik tersebut dalam episod terakhir musim kedua The BM Show. Berikut laporan kami.
Nov 29, 2020 | 05:30 AM



BUKAN sekadar perubahan dalam perundangan dan dasar, malah juga perubahan dalam pemikiran masyarakat dalam cara ia melayani dan menyokong golongan wanita mengharungi cabaran dalam kehidupan seharian mereka.



Itulah harapan Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkenaan siri Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura yang kini sedang dijalankan.



Siri dialog itu bertujuan mengenal pasti dan menangani isu-isu yang menjejas wanita Singapura serta meneliti isu wanita daripada pelbagai perspektif - rumah, sekolah, tempat kerja dan masyarakat.



Meskipun wanita Singapura telah mencapai kemajuan besar, masih terdapat lagi bidang yang boleh dipertingkat, kata Cik Rahayu, sambil menambah bahawa penglibatan kaum Adam dalam siri dialog itu juga penting.



Ini supaya mereka dapat menyokong dan memahami sepenuhnya cabaran yang dihadapi wanita dalam kehidupan mereka.



Misalnya, masih wujud lagi stereotaip lama bahawa wanitalah yang perlu melakukan peranan seperti menyiapkan makanan dan mengemas rumah dan ini boleh menjadi kesulitan bagi golongan ibu yang bekerja.



Turut menjadi keresahan dalam kalangan wanita dan lebih mendapat perhatian sejak kebelakangan ini ialah kes-kes gangguan seksual yang semakin ketara dan sering dibaca dalam laporan akhbar.



Cik Rahayu berkata ini mungkin berlaku disebabkan penggunaan alat bijak yang berleluasa, menyebabkan jenayah mengintai, atau voyeurisme, meningkat.



Pada masa yang sama, lebih ramai wanita juga berani untuk tampil ke depan dan menyuarakan ketidaksenangan dan memperjuangkan hak mereka.



Tahun lalu, Kanun Jenayah telah dipinda untuk mengenakan hukuman lebih berat bagi jenayah mengintai.



Perubahan itu dibuat di tengah-tengah kejadian rakaman video mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Monica Baey, ketika mandi di asrama, oleh Encik Nicholas Lim, mahasiswa kejuruteraan kimia.



Meskipun ia sesuatu yang dialu-alukan, Cik Rahayu berkata masyarakat perlu sedar bahawa langkah tersebut hanya sekadar satu perubahan infrastruktur.



Apa yang diperlukan daripada masyarakat adalah sikap lebih matang dan tegas dalam mengekang hal tersebut.



"Isu pada asasnya adalah wanita itu perlu dihormati dan tidak boleh dilayan sedemikian. Ini adalah sesuatu yang kita harus ajar anak-anak kita untuk menghormati antara satu sama lain dan ini perlu kita sampaikan kepada masyarakat.



"Ini kerana kalau kita ambil sambil lewa, orang akan rasa "Alah, saya usik saja" dan memandang itu enteng, ini akan berkembang menjadi sesuatu yang kita bolehkan.



"Tetapi apabila orang menyebut tentang wanita sebagai objek dan tidak menghormati wanita itu, kita kata ini tidak boleh kita terima dalam masyarakat kita, dan kita didik anak-anak untuk mengelak hal ini, itu saya rasa menjadi sesuatu yang lebih kuat dalam merubah landskap berkenaan dengan wanita," kata beliau.



Cik Rahayu berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu dalam episod terakhir musim kedua The BM Show hari ini, dengan episod itu mengupas topik tentang cabaran dan peranan wanita di Singapura.



Menerusi siri Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura yang sedang dijalankan, Cik Rahayu berharap masyarakat dapat sama-sama menyumbangkan idea dan struktur kepada isu-isu penting yang menjejas wanita yang harus diteliti dan mungkin boleh diubah pemerintah melalui perundangan atau dasar.



Selain kaum wanita itu sendiri, beliau turut mengalu-alukan penyertaan kaum lelaki dalam siri dialog itu untuk sama-sama berbincang dan memikirkan huraian bagi isu-isu yang menjejas wanita supaya akan ada pemahaman yang lebih mendalam dan mungkin perubahan yang lebih realistik dalam masyarakat.



Cik Rahayu bersama dengan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, dan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, merupakan tiga Anggota Parlimen (AP) wanita yang menerajui semakan menyeluruh berkaitan isu melibatkan kaum wanita.



Maklum balas dan saranan orang ramai yang diperolehi menerusi siri dialog itu kemudiannya akan dikemukakan sebagai Kertas Putih di Parlimen dan akan diikuti dengan satu pelan hala tuju bagi pembangunan wanita dalam masyarakat.



Cik Rahayu berharap wanita Singapura dapat terus diberi peluang untuk melakukan apa saja yang mereka inginkan dan tidak terbatas dengan stereotaip ataupun jangkaan yang diharapkan sebagai seorang wanita tradisional.



"Saya rasa banyak definisi yang telah berubah dan wanita juga dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di samping lelaki, dan dapat memberikan sumbangan yang amat besar kepada masyarakat.



"Saya mengharapkan peluang yang tak terbatas dan juga sokongan dari masyarakat dan keluarga untuk membolehkan mereka mencapai impian itu.



"Dan saya rasa ini yang dapat kita mula lihat dan saya harap ia dapat terus dibina, dan kita dapat bekerjasama dalam satu masyarakat untuk terus memajukan, memberi peluang kepada generasi akan datang," kata beliau.




PANDANGAN CIK RAHAYU MENGENAI...



Isu gangguan seksual



Isu pada asasnya adalah wanita itu perlu dihormati dan tidak boleh dilayan sedemikian. Ini adalah sesuatu yang kita harus ajar anak-anak kita untuk menghormati antara satu sama lain dan ini perlu kita sampaikan kepada masyarakat.



Ini kerana kalau kita ambil sambil lewa, orang akan rasa "Alah, saya usik saja" dan memandang itu enteng, ini akan berkembang menjadi sesuatu yang kita bolehkan.



Sumbangan wanita



Saya rasa banyak definisi yang telah berubah dan wanita juga dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di samping lelaki, dan dapat memberikan sumbangan yang amat besar kepada masyarakat.Saya mengharapkan peluang yang tak terbatas dan juga sokongan dari masyarakat dan keluarga untuk membolehkan mereka mencapai impian itu. "




SIRI PERBINCANGAN TENTANG PEMBANGUNAN WANITA SINGAPURA



Sejak September lalu, pemerintah telah bekerjasama dengan rakan daripada sektor masyarakat dan privet serta pertubuhan belia untuk menganjurkan bersama siri Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura.



Siri ini bertujuan mengenal pasti dan menangani isu-isu yang menjejas wanita Singapura serta meneliti isu wanita daripada pelbagai perspektif - rumah, sekolah, tempat kerja dan masyarakat.



Maklum balas dan saranan daripada perbincangan itu akan dikumpulkan dan kemudiannya dikemukakan sebagai Kertas Putih di Parlimen pada tahun depan.



Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling; dan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, merupakan tiga Anggota Parlimen (AP) wanita yang menerajui semakan menyeluruh berkaitan isu melibatkan kaum wanita itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >