Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

INDONESIA

Apakah erti pentadbiran Prabowo bagi S’pura?

Feb 26, 2024 | 05:30 AM



Seperti yang diramalkan oleh pemerhati terkemuka Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia, walaupun secara tidak rasmi pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau mencapai kejayaan di luar jangkaan, dan diramal menang dalam satu pusingan.

Bagi kebanyakan kita yang menyaksikan pilihan raya Indonesia dari Singapura, satu persoalan yang timbul adalah, apakah yang boleh kita jangkakan daripada kepresidenan Encik Prabowo, daripada segi hubungan Indonesia-Singapura pada masa hadapan?

Memandangkan Encik Prabowo adalah rakan baik Singapura, terutamanya sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Pertahanan Indonesia, ini memberi petanda baik bahawa hubungan Indonesia-Singapura akan terus stabil.

Sebagai seseorang yang telah berkempen untuk meneruskan banyak dasar Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi), kita boleh membuat kesimpulan munasabah bahawa Encik Prabowo akan meneruskan sebahagian besar dasar luar Indonesia di bawah pentadbiran Encik Jokowi, termasuk hubungan dua hala dengan Singapura.

Setelah bertemu pemimpin politik tertinggi Singapura, dan dengan pemerintah menyampaikan kepada beliau anugerah tertinggi Singapura, Encik Prabowo telah membina tahap kepercayaan politik dan hubungan erat diplomatik yang mencukupi dengan pemimpin Singapura.

Ini seterusnya menjadi petanda baik bagi kestabilan hubungan dua hala Indonesia-Singapura yang berpanjangan.

Malah, pasangan calonnya bagi jawatan Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang juga merupakan anak Encik Jokowi, disenangi Singapura.

Ini terutamanya kerana beliau pernah mengikuti pengajian di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS), dengan bapanya, Presiden Indonesia, turut hadir semasa majlis penyampaian ijazahnya pada 2014.

Bagi Singapura, ia seperti mendapat “dua pada harga satu”, iaitu kedua-dua Encik Prabowo dan Encik Jokowi, melalui anaknya, Encik Gibran.

‘FAKTOR JOKOWI’

“Faktor Jokowi” adalah penting bagi Singapura kerana hubungan erat antara Encik Jokowi dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, penting dalam mencapai hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan stabil.

Ini juga kian menghilangkan pemikiran dan sikap “abang besar” Indonesia terhadap Singapura, serta tanggapannya bahawa Singapura hanyalah “titik merah kecil”.

Ini menggambarkan kesaksamaan dalam hubungan dua hala yang penting untuk menjamin hubungan Indonesia-Singapura yang berpanjangan pada masa depan.

Individu sememangnya memainkan peranan utama dalam diplomasi dua hala yang berkesan, dan dengan itu, amat penting bagi Encik Prabowo meneruskan hubungan erat antara beliau dengan Encik Lee, dan selanjutnya, antara beliau dengan Perdana Menteri Singapura yang seterusnya, Encik Lawrence Wong.

Pada tahap peribadi, pasangan Prabowo-Gibran akan disambut baik oleh pemimpin politik Singapura, seperti yang digambarkan oleh Encik Lee, yang mengucapkan tahniah kepada Encik Prabowo atas prestasi cemerlangnya dalam Pilihan Raya Presiden.

Beliau turut menyampaikan tahniah kepada Encik Jokowi di atas kelancaran dan kejayaan pilihan raya itu.

Dengan mandat sihat yang diterima Encik Prabowo daripada rakyat Indonesia, kita boleh menjangkakan kestabilan politik selepas pilihan raya ini.

Ini penting bagi Singapura, kerana ia adalah pelabur dan rakan niaga terkemuka Indonesia.

Memandangkan Encik Prabowo adalah sebahagian daripada pemerintah Encik Jokowi dan anak lelaki Encik Jokowi adalah naib presiden negara itu yang seterusnya, kita boleh menjangkakan kesinambungan dasar mengenai perdagangan dan pelaburan, serta pertahanan dan keselamatan dalam hubungan Indonesia-Singapura.

Indonesia di bawah pentadbiran Encik Prabowo yang dipandang sebagai kuasa sederhana, majmuk dan bertamadun, adalah sejajar dengan Singapura kerana ia merupakan petanda baik bagi keamanan dan kestabilan serantau.

Pentadbiran Encik Prabowo yang diramal memberi penekanan kepada dialog peradaban dan kepelbagaian budaya, khususnya di peringkat rakyat dengan rakyat, akan memantapkan lagi hubungan Indonesia-Singapura, apatah lagi dengan berperanan sebagai tindakan balas terhadap ekstremisme, pengganasan dan radikalisasi, yang merupakan cabaran berulang bagi kedua-dua Indonesia dan Singapura.

S’PURA INGINKAN INDONESIA YANG STABIL

Singapura menginginkan Indonesia yang stabil, bukan sahaja demi hubungan dua hala, malah hubungan pelbagai hala.

Kepresidenan Encik Prabowo juga menjadi petanda baik untuk kestabilan serantau.

Ini kerana beliau akan memastikan Indonesia terus menjadi penyokong kuat Asean sebagai sebuah organisasi pelbagai hala penting yang menyelia hal ehwal Asia Tenggara di tengah-tengah perkembangan geopolitik Indo-Pasifik.

Kepresidenan Encik Prabowo juga dijangka mengukuhkan peranan Indonesia sebagai warga antarabangsa yang baik, dan sebagai kuasa pertengahan sekular yang mempunyai ciri-ciri Islam – satu peranan yang dijangka diterima baik oleh negara Asean sedang ia terus mengimbangi hubungan antara Amerika Syarikat dengan China.

Encik Jokowi meninggalkan pentadbirannya ketika hubungan Indonesia dan Singapura berada di puncak, dan ini menggambarkan beliau sebagai negarawan ulung dalam sejarah diplomatik Asia Tenggara.

Beliau akan dikenang sebagai rakan baik Singapura yang boleh dipercayai, dan itulah sebabnya kerjasamanya dengan Encik Prabowo, melalui Encik Gibran, mungkin memberi jaminan bahawa kepresidenan Encik Prabowo akan terus menjalin hubungan mesra dengan Singapura selepas era Encik Jokowi.

Ujian litmus atau petunjuk penting bagi Encik Prabowo adalah sama ada, dalam usahanya untuk dipilih semula bagi penggal kedua, beliau mampu menghalang bidang kerjasama sedia ada antara Indonesia dengan Singapura daripada “dirampas” oleh politik dalam negeri.

Khususnya di Indonesia, Singapura sebelum ini sering digunakan sebagai pihak yang dikritik oleh ahli politik untuk meraih sokongan.

Isu yang boleh menimbulkan ketegangan, seperti jerebu rentas sempadan akan terus wujud.

Namun, dalam suasana positif ketika ini yang diwujudkan oleh Encik Jokowi, dan dengan rangka kerja perundingan dan kerjasama sedia ada, isu-isu perbalahan boleh diselesaikan secara baik di bawah pentadbiran Encik Prabowo.

Walaupun sekali-sekala terdapat liku-liku dalam hubungan dua hala, berita baiknya ialah kita melihat kerjasama pragmatik yang lebih matang dalam hubungan Indonesia-Singapura.

Trend ini dijangka berterusan walaupun dengan peralihan kepimpinan, kerana generasi pemimpin seterusnya di kedua-dua negara nampaknya menyedari kelebihan dan faedah bersama yang diraih daripada kerjasama ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >