Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Keputusan batal 16 kesalahan syariah Kelantan cetus pelbagai reaksi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Keputusan batal 16 kesalahan syariah Kelantan cetus pelbagai reaksi

Feb 13, 2024 | 02:38 PM



KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, mengundang pelbagai reaksi.


Tidak kurang juga ada pihak yang mengaitkan keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Cik Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, itu dengan isu politik.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu memperlihatkan ada kepincangan yang perlu diperbetulkan segera.

“Ada yang kata biarlah 16 hukuman jenayah syariah itu tidak sah, Mahkamah Sivil masih ada, ia juga takzir dan hukumannya lebih berat.

“Bagi saya jenayah sivil itu bukan sepenuhnya takzir, malah wujud perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan.

“Hakim Mahkamah Sivil tidak dilatih dalam bidang penghukuman takzir kerana hanya sesetengah yang belajar (mengenainya),” katanya lapor Berita Harian Malaysia.


Takzir atau ta’zir adalah hukuman yang tertakluk kepada budi bicara pemerintah, badan perundangan atau hakim kerana hukuman bagi kesalahan ini tidak disebut di dalam al-Quran atau hadis.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata semua pihak perlu menerima keputusan berkenaan dan jika tidak berpuas hati, mereka boleh berusaha mencari jalan supaya peruntukan dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.

“Kata bidalan ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, jadi cubalah mohon bantuan pakar dalam bidang undang-undang bagi menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga bertujuan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya. Isu ini tidak perlu dipolitikkan, sebaliknya sama-sama fikirkan cara berkesan bagi memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis digesa mengambil tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Persekutuan berkaitan 16 peruntukan kesalahan dalam enakmen syariah Kelantan itu.

“Kerajaan juga perlu segera mewujudkan satu mekanisme penyelarasan penguatkuasaan jenayah antara pihak berkuasa agama dan polis.

“Ini agar keputusan kes Nik Elin tidak menyebabkan wujud kelompangan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah yang digugurkan dari enakmen jenayah syariah dan kesalahan lain yang wajar ditangani secara bersama,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel sembilan hakim memaklumkan penghakiman itu dicapai melalui majoriti 8-1.

Beliau berkata petisyen itu dibenarkan kerana Dewan Undangan Negeri Kelantan membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Antara kesalahan dalam enakmen itu yang diisytiharkan batal dan tidak sah adalah memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, liwat, persetubuhan dengan mayat, hubungan seksual dengan bukan manusia, gangguan seksual dan urus niaga melalui riba.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >