Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kembara
36
0

RENCANA

Niat hati keliling dunia apakan daya Covid-19 melanda

Pesara polis singkap pengalaman kunjungi 21 negara dalam 44 hari semasa awal pandemik
Jul 10, 2023 | 05:30 AM



Covid-19 yang menular mulai Mac 2020 cukup menggerunkan lebih-lebih lagi bagi Encik Ismail Abu Bakar yang beberapa bulan sebelumnya sudah bersiap-siap untuk mengelilingi seantero dunia.

Beliau masih ingat nasihat isteri, anak-anak, saudara-mara dan kenalan yang menggesa beliau supaya membatalkan rancangan menjelajah enam benua, tiga samudera dan lebih 50 buah negara dalam 99 hari itu.

Alasan mereka ialah penyakit Covid-19 sedang menular di serata dunia dan sudah mula mengorbankan banyak nyawa.

Perasaan bimbang mencerut hati beliau. Fikiran beliau bercelaru dan tidak keruan kerana risiko bahaya yang bakal dialami itu.    

 Dua sahabatnya yang mulanya bersetuju mahu ikut sama, membatalkan hasrat mereka pada saat-saat akhir.

Semakin hari, tarikh keramat – 02-02-2020 – bagi memulakan ekspedisi tersebut semakin menjengah tiba.

“Saya semakin gusar dan sukar untuk buat keputusan... nak teruskan atau batalkan rancangan.

“Pening kepala  kerana saya dah tempah dan bayar tiket pesawat, hotel dan kereta api di beberapa negara yang bakal saya tuju,” kata Encik Ismail, pesara polis.

Namun, beliau tetap cekalkan hati – meneruskan kembara penuh nekad itu kerana telah memasang tekad mengelilingi dunia sejak kecil lagi.

Mentelah lagi, beliau berasa peluang hanya datang sekali dan ingin sekali menjadikan impiannya satu kenyataan.

Keluarga dan rakan taulan akhirnya merestui rancangannya meskipun mereka berat melepaskan beliau pergi seorang diri dan hanya berbekalkan doa agar semuanya berjalan lancar dan selamat.

Ayah lima anak yang menetap di Geylang East itu memulakan  perjalanan dengan terbang ke Lahore, Pakistan sambil membawa tiga bagasi seberat 50 kilogram.

Antara yang dibawanya ialah makanan kesukaannya seperti daging dendeng, gajus sangai, pelbagai jenis biskut, makanan ringan, pelitup dan cecair pembasmi kuman.

“Sedih juga meninggalkan keluarga tetapi saya berserah sepenuhnya kepada Allah agar dilancarkan perjalanan, dihindari daripada masalah, kesulitan, gangguan dan paling penting dijauhi daripada penyakit termasuk Covid-19.

“Saya juga kuatkan hati dan semangat untuk pastikan saya selamat sampai ke negara tujuan,” ujar Encik Ismail, 57 tahun.

Dari Pakistan, beliau terbang ke Dubai, Kazakhstan, Tajikistan, Uzbekistan, Georgia, Azerbaijan, Jordan, Mesir, Tunisia, Maghribi, Canada dan Amerika Syarikat.

Beliau kemudian berangkat ke dua buah negara Amerika Latin – Chile dan Argentina – dan  seterusnya ke Auckland, New Zealand dan Melbourne, Australia, sebelum pulang ke Singapura pada 17 Mac 2020 – ketika Covid-19 sudah menular di rantau ini.

Di sebalik perjalanan yang menjenuhkan dan makan minum dan tidur tidak menentu, beliau bersyukur kerana dapat melakukan solat di masjid-masjid di negara yang dilawati.

“Sebagai musafir berkelana, saya cari masjid dahulu untuk kumpul maklumat negara tersebut dan membuat kawan.

“Para jemaah yang saya dekati biasanya sedia membantu sehingga ada yang sanggup bawa saya jalan-jalan dan cari makanan halal,” tambahnya.

Beliau tidak menafikan rasa rindu kepada anak isteri dan negara sendiri apabila bersendirian di bilik hotel.

“Baru seminggu di rantau orang saya rasa sayu teringat keluarga dan jerih perih perjalanan sehingga air mata berlinangan tanpa saya sedari.

“Saya hanya tawakal dan berserah kepada Allah,” ujar Encik Ismail sambil melahirkan kebimbangan dijangkiti penyakit Covid-19 tetapi alhamdulillah beliau bebas daripada penyakit tersebut.

Berkongsi pengalaman kembara solonya yang menelan belanja lebih $15,000 daripada poketnya sendiri itu, beliau teringat betapa sesaknya stesen kereta api di bandar Dushanbe, Tajikistan, ke kota Termez, Uzbekistan.

“Para penumpang berebut-rebut dan memekik untuk naik kereta api sambil membawa pelbagai barang seperti pakaian, makanan, peralatan rumah dan tilam lipat untuk di bawa ke Moscow, Russia.

“Saya dapat naik kerana memang telah siang-siang tempah tiket,” ceritanya.

Beliau begitu teruja kerana di setiap negara yang disinggahi, ia menampilkan corak kehidupan, gaya hidup, adat resam, sosiopolitik, bahasa dan alam semula jadi serta rupa bumi yang rencam berbeza dari di Singapura.

Beliau tidak menafikan rasa rindu terhadap masakan Melayu kerana sukar mendapatkannya di rantau orang.

Namun, pintu seleranya kembali terbuka apabila sekumpulan pelajar Universiti Al-Azhar di Mesir belanja makan di sebuah restoran ala-Thai dekat Sungai Nil.

Di negara itu juga beliau dapat makan roti perata dan nasi lemak yang cukup menyelerakan.

Di Jordan, beliau yang ditemani sekumpulan pelajar Singapura di negara itu, dibawa melihat pokok Sahabi, yang dikatakan pernah menjadi tempat Nabi Muhammad saw berteduh lebih 1,400 tahun lalu.


Beliau mendapati negara Maghribi dan Tunisia agak miskin tetapi penduduknya, majoriti menganut Islam, kaya dengan sejarah dan pasar-pasar tradisional – begitu ‘happening’.

Namun, beliau terpinga-pinga berbual dengan para penduduk di Chile dan Argentina  yang rata-rata berbahasa Sepanyol.

“Di Chile, saya tunjukkan gambar Masjid As-Salam kepada pemandu teksi kerana beliau tak faham bahasa Inggeris. Berbual macam ayam dengan itik!” seloroh Encik Ismail ketika ditemui baru-baru ini.

Di sebalik ancaman Covid-19, beliau bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki di 21 negara dan sekali gus mengakhiri kembara dengan lancar tanpa sebarang masalah besar, dalam tempoh 44 hari.

“Saya asalnya merancang merentasi 51 negara dalam 99 hari tetapi hanya dapat separuh pun dah bagus dan pecah rekod sendiri,” kata Encik Ismail yang sudah menjejakkan kaki hampir ke semua negara di Asia Tenggara dalam rangka menjalankan projek kemanusiaan.

   “Singapura tanah airku dan tetap lebih baik daripada negeri orang,” tambahnya




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >